Isnin

SIAPA ORANG MELAYU PERTAMA MENUNAIKAN HAJI?

Siapa orang Melayu yang pertama sekali menjejakkan kaki ke bumi Makkah dan menunaikan haji?

Tidak dapat dipastikan dengan jelas siapakah orang Melayu pertama yang pergi menunaikan haji,kerana tidak ada sumber-sumber yang menceritakan secara jelas siapakah orang Melayu pertama yang pergi menunaikan haji.

Namun,orang Melayu telah berlayar ke Makkah dan menunaikan haji sejak zaman awal penyebaran agama Islam di Kepulauan Melayu lagi.

Catatan seorang penulis Portugis,Tome Pires menceritakan bahawa dua orang pemerintah Kesultanan Melayu Melaka iatu Sultan Mansur Shah (1459 ~1477) pernah berhasrat untuk menunaikan haji ke Makkah namun tidak sempat kerana baginda telah mangkat sebelum berangkat ke sana.

Pengganti baginda,iatu Sultan Alauddin Riayat Shah (1477 ~1488) juga berhasrat untuk pergi menunaikan haji dan persediaan juga telah dibuat termasuklah menyediakan emas yang berganda banyaknya dan kapal untuk pergi menunaikan haji,namun baginda juga tidak sempat kerana baginda mangkat disyaki akibat diracun.

Jenazah Sultan Alauddin Riayat Shah akhirnya dikebumikan di Pagoh,Johor,dan dikenali sebagai Marhum Pagoh.

Mungki sumber kukuh yang terawal menceritakan mengenai orang Melayu pertama pergi haji ialah Hikayat Hang Tuah.Dalam hikayat itu,diceritakan dengan jelas bahawa Laksamana Hang Tuah pernah singgah ke Makkah untuk menunaikan haji dan juga pernah berziarah ke Madinah untuk menziarahi Makam Rasulullah s.a.w..Beliau sedang dalam perjalanan ke Rum (Turki) untuk membeli meriam dan kelengkapan senjata untuk pertahanan Kesultanan Melaka.

Pada abad ke 16 pula,semakin ramai orang dari Kepulauan Melayu mula pergi ke Makkah untuk menunaikan haji.Antara ulama yang terawal dari Kepulauan Melayu pergi menunaikan haji ialah Syeikh Hamzah Fansuri dan Syeikh Abdur Rauf Singkel pada akhir abad ke 16.Kedua-dua mereka berasal dari Acheh.

Pada masa itu juga,munculnya beberapa pelabuhan-pelabuhan besar di sekitar Kepulauan Melayu,yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat perdagangan entrepot malahan menjadi pusat persinggahan jemaah haji dari Kepulauan Melayu sebelum tiba di Makkah.

Syeikh Yusuf Tajul Khalawati al-Makasari juga antara ulama terawal di Kepulauan Melayu yang pergi menunaikan haji pada tahun 1644.Beliau ketika itu sedang dalam perjalanan mempelajari ilmu keagamaan daripada ulama-ulama terkenal di sekitar Yaman dan Syam.Selepas menghabiskan pembelajarannya di Tanah Arab,beliau akhirnya kembali ke Gowa di Sulawesi,namun apabila Gowa ditakluk oleh Belanda,beliau berlayar ke Banten dan di sana beliau menjadi penasihat kepada Sultan Ageng Tirtayasa (1633 ~1681).

Kesultanan Banten,yang pada masa itu menguasai pantai barat Jawa dan selatan Sumatera juga menghantar satu utusan untuk pergi menunaikan haji yang diketuai oleh Abu Nasr Abdul Kahhar,putera kepada Sultan Ageng Tirtayasa.Sekembalinya putera tersebut dari Makkah,beliau dikenali sebagai Sultan Haji.

Sebelum Perang Dunia Kedua,golongan yang paling banyak merantau ke luar negara,terutamanya ke Makkah dan Madinah ialah golongan alim ulama,cendekiawan dan para pembesar.Golongan rakyat biasa yang ingin menunaikan haji pada masa itu ada yang sanggup menjual seluruh harta dan tanah mereka untuk memastikan perbelanjaan di tanah suci mencukupi.

Antara penulisan terawal orang Melayu mengenai pengembaraan menunaikan haji ialah kitab Tuhfat al Nafis (ditulis sekitar tahun 1860-an) dan Hikayat Pelyaran Abdullah yang dikarang oleh Munsyi Abdullah yang pergi menunaikan haji di Makkah pada tahun 1854.

Selepas era imperialisme di Kepulauan Melayu oleh kuasa British dan Belanda,ramai kerabat diraja Melayu yang bertolak ke Makkah untuk menunaikan haji.Misalnya,Sultan Zainal Abidin III,sultan negeri Terengganu Darul Iman bersama kaum kerabatnya pergi menunaikan haji dan tiba di Makkah 19 Zulhijjah 1332 Hijrah.Kerabat keturunan diraja Johor dan Riau-Lingga juga pernah pergi menunaikan haji ke Makkah sekitar abad ke 19.

Apabila pihak British berjaya menguasai Tanah Melayu,mereka melantik Haji Abdul Majid Zainuddin sebagai Pesuruhjaya Jemaah Haji pertama yang bertanggungjawab ke atas segala hal jemaah haji termasuk masalah kesihatan, keselamatan, perjalanan, dan kebajikan para jemaah haji yang ketika itu menggunakan kapal laut untuk ke Tanah Suci.Beliau memuatkan pengalamannya mengurus jemaah haji dari Tanah Melayu selama 20 tahun dalam satu catatan bertajuk “A Malay Pilgrimage to Mecca”.

Ketika berada di tanah suci,bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa pemersatu seluruh jemaah haji dari Kepulauan Melayu,termasuklah dari Semenanjung Tanah Melayu,Sumatera,Jawa,Borneo,Sulawesi dan Kepulauann Maluku.

Ketika di Arafah,kesemua wakil jemaah haji dari seluruh kawasan Kepulauan Melayu akan berbincang mengenai masalah umat Islam sedunia yang dijajah oleh kuasa asing.Seorang cendekiawan Belanda,Snouck Hurgronje menceritakan bagaimana orang dari seluruh Nusantara ikut membicarakan mengenai perjuangan rakyat Acheh terhadap Belanda dan masalah penjajahan kuasa asing Barat terhadap umat Islam seluruh dunia.

Menjelang Perang Dunia Pertama,muncul banyak bukti yang lebih banyak berkaitan aktiviti mengerjakan haji masyarakat Melayu di Malaysia. Banyak artifak, manuskrip, bahan bercetak dan gambar direkodkan orang Melayu yang pergi ke Makkah menunaikan haji.

Selepas itu ramai cendikiawan Melayu dan golongan terpelajar yang pernah ke Makkah menunaikan haji dan umrah mengabdikan pengalaman mereka dalam bentuk tulisan bagi berkongsi ilmu dengan orang lain.

Beberapa manuskrip bertulisan jawi ditemui di Kepulauan Melayu menyentuh pelbagai aspek berkaitan haji, termasuk catatan peribadi dan maklumat mengenai haji bersifat keagamaan.

Cendikiawan Melayu Harun Aminurashid menulis pengembaraannya ke Makkah dengan kapal laut pada 1960 Masihi (1379 Hijrah) dalam bukunya bertajuk Chatetan ka-Tanah Suchi.

Tidak terkecuali juga,golongan alim ulama juga antara kelompok bangsa Melayu yang paling kerap menunaikan haji di Makkah seperti Tok Kenali,Haji Abdullah Fahim,Syeikh Nawawi al Banteni, Syeikh Mahfudz al Termasi dan Syeikh Ahmad Khatib al Minangkabawi sekitar abkhir abad ke 19 dan awal abad ke 20.Selesai menuntut ilmu dan mengajar ilmu di Makkah,mereka akan pulang ke tanah air dan seterusnya mengilhamkan gerakan-gerakan untuk mendaulatkan orang Melayu-Islam daripada penjajah.

Selepas merdeka,majoriti jemaah haji dari Tanah Melayu bertolak ke Makkah al Mukarammah dengan menaiki kapal laut,terutamanya kapal yang paling terkenal iatu kapal Malaysia Kita dan Malaysia Raya milik syarikat Great Malaysian Line.Kapal ini akan bertolak dari pelabuhan seperti Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang sehingga sampai ke Jeddah.

Mulai tahun 1960 ~1970,perkhidmatan kapal terbang diperkenalkan untuk pergi ke Tanah Suci dan majoriti jemaah akhirnya memilih kapal terbang kerana tempoh perjalanannya yang cepat.Walaubagaimanapun,perkhidmatan kapal laut masih menjadi pilihan sebilangan jemaah.

Menjelang awal 60-an, kesulitan itu semakin reda apabila pakar ekonomi negara, Prof Diraja Ungku Aziz mengesyorkan supaya Tabung Haji diwujudkan. Dalam memorandumnya berjudul `Pilgrims Economy Improvement Plan’ kepada kerajaan, Ungku Aziz mengesyorkan penubuhan sebuah perbadanan untuk mengurus dan mengendalikan urusan umat Islam negara ini yang hendak menunaikan haji dan umrah.

Tabung Haji ditubuhkan pada 1969 dan menguruskan pergi balik jemaah haji ke Makkah dengan licin dan teratur.Tradisi dan amalan menjual harta benda untuk ke Makkah hingga menyebabkan `kepapaan’ selepas jemaah haji kembali ke tanah air,juga semakin pupus.

Menjelang tahun 1970,perkhidmatan kapal laut untuk membawa jemaah dari Malaysia ke Tanah Suci akhirnya dihentikan.Tambahan pula,kapal-kapal haji Malaysia pada masa itu ada yang telah tenggelam seperti kapal Malaysia Kita yang tenggelam di 12 Mei 1974 ketika sedang berlabuh di Teluk Katong, Singapura dan juga kapal Malaysia Raya yang tenggelam akibat kebakaran di Pelabuhan Kelang pada 23 Ogos 1976.

-RAD-

Rabu

Garis Panduan Solat Dalam Keadaan Duduk Seperti Berikut:

Garis Panduan Solat Dalam Keadaan Duduk Seperti Berikut:

Solat adalah ibadah asas dalam Islam dan dipertanggungjawabkan kepada setiap mukallaf dalam apa jua keadaan termasuk ketika sakit. Cara perlaksanaannya ketika sakit hendaklah dilakukan mengikut kemampuan masing-masing.

Hadis Rasulullah s.a.w:

                                      صل قا ئما فإن لمتستطع فقاعدا فإن لم تستطع فعلى جنب

Maksudnya: Solatlah secara berdiri, jika kamu tidak mampu lakukanlah secara duduk, dan jika kamu tidak mampu juga, maka lakukan secara mengiring.

H.R al-Bukhari : 1066.

Berdiri dalam solat  fardhu merupakan rukun solat. Walau bagaimanapun, bagi pesakit yang tidak boleh berdiri dibolehkan solat dalam keadaan duduk. Duduk bersila adalah lebih utama. Walau bagaimanapun boleh sahaja solat duduk dalam bentuk-bentuk yang lain. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA, dia berkata:

                                  رايت النبي صلى الله عليه وسلم يصلي متربعا

Maksudnya: Saya pernah melihat Nabi s.a.w solat dengan duduk bersila.

(Hadis riwayat imam al-Nasa’i dalam Sunannya, kitab Qiyam al-Lail wa Thathauwu’ al-Nahaar, bab كيف صلاة القاعد  no:1661).

Kebelakangan ini muncul persoalan berkenaan solat secara duduk di atas kerusi bagi mereka yang uzur. Hal ini amat perlu ditangani dengan baik untuk memelihara kesempurnaan ibadah yang menjadi tiang agama.

A.        Kedudukan kerusi adalah seperti berikut:

Kedudukan bagi ma’mum yang menggunakan kerusi hendaklah di bahagian paling kiri atau kanan saf solat.
    
Jika keuzurannya adalah untuk duduk di atas lantai, atau ruku’ atau sujud namun masih mampu berdiri, maka hendaklah berdiri selari dengan orang bersebelahannya dalam saf solat.

Jika keuzurannya adalah untuk berdiri dan terpaksa menunaikan keseluruhan solat dalam keadaan duduk, maka kaki kerusi belakang hendaklah sama dengan kaki orang yang berdiri.

Kelurusan saf bagi orang yang terpaksa menunaikan keseluruhan solat dalam keadaan duduk dikira ketika jemaah lain dalam keadaan duduk.

B.        Beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh orang yang mengerjakan solat dalam keadaan menggunakan rukhsah seperti berikut:

Hendaklah bertakbiratul ihram dalam keadaan berdiri sekiranya mampu, kerana qiyam adalah sebahagian daripada rukun solat. HaI ini adalah bagi kes ketidakmampuan untuk ruku’, sujud atau berdiri lama. Manakala bagi kes ketidakmampuan untuk berdiri maka diharuskan bertakbiratul ihram dalam keadaan duduk.

Hendaklah terus berdiri ketika membaca al-Fatihah dan surah sekiranya mampu. Walau bagaimanapun, diharuskan duduk apabila tidak mampu atau terus duduk jika langsung tidak mampu.

Hendaklah berdiri dengan bertumpukan (i’timad) kedua-dua belah kaki jika mampu atau salah satu daripadanya jika tidak mampu, dan tidak berdiri sambil bersandar kepada sesuatu dengan merehatkan kedua-dua kaki atau salah satu daripadanya.

Tidak menggerakkan kerusi ke hadapan atau ke belakang ketika melakukan isyarat tunduk untuk ruku’ dan sujud.

Tidak menyandarkan belakang badan ke kerusi tanpa sebarang hajat atau keuzuran. Hal ini kerana ia menyalahi tatacara solat, dan keizinan duduk hanya sekadar untuk menampung keuzuran berdiri.

Hendaklah membezakan secara konsisten keadaan tunduk untuk ruku’ dan tunduk untuk sujud. Kedudukan isyarat tunduk untuk sujud hendaklah lebih rendah  daripada isyarat tunduk untuk ruku’.

Tidak sujud di atas sesuatu yang berada di hadapannya seperti yang dilakukan oleh sesetengah penumpang kapal terbang yang menjadikan meja makan sebagai tempat sujud.

Sekiranya keuzuran adalah untuk ruku’ atau sujud, maka hendaklah solat dalam keadaan berdiri dan apabila tiba masa untuk ruku’ atau sujud, barulah diizinkan duduk dan melakukan isyarat tunduk tanda ruku’ dan sujud mengikut kemampuan.

Hendaklah meletakkan tangan di atas kedua-dua lututnya ketika tunduk tanda ruku’ dan meletakkannya di tempat lain selain lutut ketika tunduk tanda sujud supaya ada perbezaan antara isyarat ruku’ dan sujud. Sebagai contoh, kedua-dua belah tangan boleh dilepaskan sahaja di kiri atau kanan peha ketika tunduk tanda sujud, atau diletakkan di atas kedua-dua belah paha kanan dan kiri, atau diletakkan pada kerusi jika ada.

Tidak digalakkan menjadi imam kepada ma’mum yang solat dalam keadaan sempurna tanpa duduk di atas kerusi atau lantai. Walau bagaimanapun, tiada halangan menjadi imam sekiranya semua makmum daripada kalangan mereka yang uzur atau solat dalam keadaan duduk. Begitu juga sekiranya imam berkenaan merupakan imam bertugas dan keuzurannya adalah sementara dan boleh sembuh. Manakala makmum pula tetap wajib berdiri sekiranya mampu.

Jika keuzurannya sementara dan boleh hilang, maka hendaklah solat dalam keadaan berdiri apabila hilang keuzuran tersebut. Sebagai contoh sekiranya sedang solat dalam keadaan duduk, tiba-tiba rasa sakit atau uzur yang menghalangnya berdiri hilang, maka ketika itu wajib ke atasnya berdiri dan begitulah sebaliknya.

Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.