Rabu

Nasihat alim ulama bagaimana cara menjalani umur yang sudah mencapai 40 hingga 70 tahun :

﷽ 
Nasihat alim ulama bagaimana cara menjalani umur yang sudah mencapai 40 hingga 70 tahun :

1 - Jangan berlebihan bergurau hingga terjebak dalam hal-hal yang tidak ada manfaatnya untuk akhirat.

2 - Jangan berlebihan berhias, bersolek dan berpakaian.

3 - Jangan berlebihan makan, minum dan berbelanja barang yang kurang diperlukan untuk mendukung amal soleh.

4 - Jangan berkawan dengan orang yang tidak menambahkan ilmu dan amal kepada kita.

5 - Jangan berjalan dan melancong ke sana sini tanpa manfaatnya yang dapat mendekatkan diri pada kehidupan akhirat.

6 - Jangan gelisah, berkeluh kesah dan kesal dengan kehidupan seharian. Selalu penuhi diri dengan rasa sabar dan bersyukur.

7 - Perbanyakkan berdoa mengharap keredhaan Allah agar mendapat husnul Khatimah ( mati dalam kesudahan yang baik ) dan dijauhkan dari Su'ul Khatimah ( mati yang tidak baik ).

8 - Perbanyakkan belajar ilmu agama, sering mengingati kematian dan bersiap menghadapinya.

9 - Persiapkan dan tuliskan wasiat yang berguna untuk kaum kerabatmu.

10 - Kembali menjalin hubungan silaturahim dan mendekatkan hubungan yang telah renggang sebelumnya.

11 - Minta maaf dan berbuat baik terhadap pihak yang pernah dizalimi.

12 - Rajin buat amal soleh terutama amal yang dapat terus memberi pahala dan syafa'at setelah kita mati.

13 - Memaafkan kesalahan orang kepada kita walau seberat apapun kesalahan itu.

14 - Langsaikan segala hutang yang ada dan jangan buat hutang baru walaupun untuk menolong orang lain.

15 - Berhentilah dari melakukan semua MAKSIAT ..!!!

16 - MATA, hentikan memandang yang tidak halal bagimu.

17 - TANGAN, hentikan dari menyentuh yang bukan hak mu.

18 - MULUT, hentilah makan yang tidak baik dan yang tidak halal bagimu, hentilah dari mengumpat, memfitnah dan hentilah dari menyakiti hati orang lain.

19 - TELINGA, hentilah mendengar hal-hal yang haram dan tidak berfaedah.

20 - Berbaik sangkalah kepada Allah ke atas segala sesuatu dugaan yang telah menimpa diri.

21 - Penuhi hati juga lisan kita dengan istighfar serta taubat buat diri sendiri, orang tuamu dan semua orang beriman.

22 - Perbanyakkan bersedekah dan sucikan harta dengan mengeluarkan zakat.

~ Imam Al Fudhail bin 'Iyadh

Fudhail bin Iyadh (seorang ulama besar) berkata kepada seseorang yang telah mencapai umur 45, 55, 60, 70 tahun, Maka nasihat Fudhail kepadanya : Bererti  kamu sekarang  berjalan menuju kepada Tuhanmu dan hampir sampai... Lakukan yang terbaik pada sisa usia senja-mu, lalu akan diampuni dosa-dosamu yang lalu. Tapi jika engkau masih berbuat dosa di usia senjamu, kamu pasti dihukum akibat dosa masa lalu dan masa kini sekaligus...!
 
Semoga bermanfaat bagi kita semua dan ALLAH lindungi kita dari segala musibah. Aaminn.
 
Bersabarlah kepada mereka yang sedang di uji dengan kesusahan, kesedihan, kesakitan, kelaparan. 
 
Ya ALLAH.. Angkatlah segala ujian dan musibah ini.
#peringatanuntukdirisendirijg

Isnin

Tuan Guru Haji Din Canai Intan, Bagan Tiang ( 1900 - 1980 )

Alhamdulillah lama dah berhajat untuk ziarah makamnya di Kampung Bagan Tiang, Parit Buntar setelah membaca kisahnya 4 tahun lepas. Hari ini Allah Taala izinkan.

Tuan Guru Haji Din Canai Intan, Bagan Tiang ( 1900 - 1980 )

Oleh : Tengku Yusuff 

Nama penuh tokoh ulama kawasan Bagan Tiang, Parit Buntar ini ialah Tuan Guru Haji Mahyuddin Bin Abdullah dan beliau dilahirkan pada tahun 1900 di Kampung Sungai Megat Aris, Bagan Tiang, Parit Buntar, Perak.

Allahyarham adalah anak yang keempat dari 5 orang adik beradik. Beliau dibesarkan di dalam kehidupan yang sederhana oleh kedua ibu bapanya.

Beliau telah berkahwin dengan Hajah Zainab Binti Haji Man, dan hasil perkahwinan ini mereka dikurniakan 3 orang cahaya mata, iaitu :

1. Abdul Halim
2. Khalijah
3. Haji Abdul Rahman 

Tuan Guru Haji Mahyuddin memulakan alam pembelajaran dengan memasuki Sekolah Rendah Sungai Megat Aris, Parit Buntar, Perak. Beliau kemudian meneruskan pembelajaran menengahnya dengan berguru dengan beberapa orang ulama-ulama terkenal ketika itu seperti Tuan Guru Haji Bakar Jusoh dan Tuan Guru Haji ljoh Banjar.

Selepas beberapa tahun, beliau kemudiannya menyambung pelajarannya ke tanah suci Mekah al-Mukaramah membawa isterinya selama lebih kurang 7 tahun berguru di antaranya dengan Syeikh Ahmad Hijazi yang digelar "Syeikhul Maqori".

Setelah beberapa lama, Allahyarham berada dan belajar di Mekah, akhirnya beliau pulang ke tanah air pada tahun 1935 kerana isterinya ingin melahirkan anak mereka yang ketiga di Perak. Setelah pulang beliau telah dilantik memegang jawatan Guru Pelawat Ugama Hilir Perak.

Allahyarham mempunyai keistimewaan mempunyai suara yang lunak dan merdu. Keistimewaan beliau miliki ini membuatkan setiap tahun apabila menjelang Ramadhan, Allahyarham diundang ke Istana Iskandariah, Bukit Chandan oleh Almarhum Sultan Abdul Aziz untuk memperdengarkan suaranya membaca al-Quran. 

Oleh kerana keunikan suaranya dan kehebatan beliau dalam mendendangkan ayat suci al-Quran, baginda sultan memberinya gelaran "Canai Intan". Gelaran tersebut dinisbahkan padanya kerana apabila seseorang tukang ingin membentuk atau mencanai intan permata, mereka akan memperhalusi dengan lembah lembut supaya kualitinya menjadi terbaik. Begitulah yang diibaratkan kepada Allahyarham Tuan Guru Haji Mahyuddin. Dari situlah beliau digelar dengan nama "Haji Din Canai Intan".

Tan Sri Dato' Haji Hassan Azahari dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman @ Haji Man Mathaluhum adalah sahabat baik beliau. 

Pada 4 September 1947 di Masjid Jamek Abu Bakar, Johor Baharu telah diadakan Majlis Pertandingan Membaca al-Quran Se-Malaya dengan dirasmikan oleh Ustaz Ahmad Bin Yaakob selaku Ketua Majlis Pertandingan Membaca al-Quran.

Ketika itu, para peserta hanya terdiri daripada kaum lelaki sahaja. Pada malam penutupnya, penyampaian hadiah disempurnakan oleh Sultan dalam majlis jamuan teh di Istana Besar Johor pada 5 September 1947. 

Johan yang memenangi pertandingan ini terdiri daripada tiga orang peserta iaitu : 

1. Ustaz Abdul Rahman dari Pulau Pinang
2. Tuan Guru Haji Mahyudin dari Perak
3. Tan Sri Dato' Haji Hassan Bin Azhari dari Selangor

Allahyarham juga merupakan seorang hakim yang dipanggil untuk menghadiri pertandingan tilawah tiap-tiap tahun sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan. Di samping itu, di atas berkat usaha beliau dan beberapa orang sahabat yang seangkatannya, maka tertubuhlah sebuah Sekolah Agama yang dinamakan Maahad Tarbiah di Bagan Tiang.

Di sinilah beliau menumpahkan segala ilmunya saban hari sehinggalah beliau kembali kerahmatullah pada 11 Julai 1980 di ketika usianya 80 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Tiang, Parit Buntar. Di atas sumbangan dan jasanya yang tidak ternilai, maka beliau telah dianugerahkan pingat PJK dan PPT oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin 

*Sumber - Majalah Suara Majlis Perak dan maklumat tambahan dari Ustaz Radzi Abdul Rahman (cucu Allahyarham) pada 6 November 2022

#ZiarahMakam