Isnin

Pesanan Sufyan Ath-Thauri.

‘TACKLE’ MURID DI TAPAK PERHIMPUNAN DENGAN 5 TIP DARI SUFYAN ATH-THAURI

Nak handle murid di tapak perhimpunan mesti ada skill tertentu. Bila murid berkumpul dalam jumlah yang agak ramai dan padat, cikgu cuba amalkan 5 tip di bawah. Moga bermanfaat untuk sahabat semua.

Pesanan Sufyan Ath-Thauri.

Pesanan ini selalu saya sebut di hadapan murid jika terlibat menyampaikan ceramah atau kendalikan sesuatu program.

Sebenarnya 5 pesanan daripada tokoh hadith ini merupakan disiplin ilmu terpenting.

أول العلم الصمت والثاني حسن الإستماع والثالث حفظه والرابع العمل به والخامس نشره

1.  As-sumtu maksudnya diam :

Disiplin paling asas dalam menuntut ilmu murid mesti diam, fokus pada guru dan tidak bercakap.

Boleh gugur pahala menuntut ilmu jika suasana bising dan pendengar tidak memberi perhatian kepada guru yang sedang bercakap di hadapan.

2.  Husnul istima’, pendengar yang baik.

Ajari murid menjadi pendengar yang baik, tidak mengelamun dan faham apa yang di sampaikan.

Setiap kali menyampaikan satu maklumat guru mesti menguji murid, cuba dengar jawapan mereka, jika tidak menyasar daripada apa yang disampaikan bermakna murid menyerap ilmu dengan baik.

Allah SWT menjanjikan rahmat kepada hambaNYA yang mampu mendengar setiap ilmu yang disampaikan dengan sabar dan tawadduk.

3.  Hifzuhu, hafaz dan ingat.

Ingat, hafaz maklumat yang diperolehi perkara paling penting dalam disiplin menuntut ilmu. Objektif utama guru menyampaikan ilmu ialah murid dapat menyebarluaskan ilmu yang disampaikan. Syarat utama ialah murid mesti ingat dengan baik dan mampu menyampaikan kepada orang lain dengan betul dan tepat.

4.  Wal ‘amalu, amalkan.

Ingatkan murid, ilmu yang mereka perolehi tidak akan berakhir sebaik sahaja keluar dari dewan. Seseorang itu tidak akan diiktiraf sebagai berilmu sekiranya tidak beramal dengan apa yang dipelajarinya. Serapkanlah apa yang di sampaikan oleh guru dalam amalan dan kehidupan seharian. Akhlak yang baik datangnya daripada kesan ilmu yang diamalkan, itu juga menjadi tanda keberkatan ilmu yang di sampaikan oleh guru.

5.  Wan-nasyr, sebarkan.

Dalam Pentaksiran Bilik Darjah ( PBD ) murid yang merangkumi 5 disiplin ini layak mendapat PT 6. Mampu menyampaikan semula ilmu dan maklumat yang diperolehi adalah nilai murni yang terbaik dan boleh dipuji.

Galakkan murid berkongsi ilmu dan mempunyai semangat ukhuwwah dan kasih sayang sesama rakan walaupun di mana mereka berada. Jangan terkejut jika daripada amalan menyebarkan dan berkongsi ilmu bersama rakan melahirkan murid yang penyayang, bertanggungjawab, berketerampilan dan mempunyai nilai integriti dalam diri mereka.

Pesanan paling "Deep" untuk cikgu..

Jika  mahukan murid jadi penuntut yang hebat,

1.  Cikgu mesti mulakan dengan arahan yang jelas, jangan berleter kerana ia menghilangkan kepercayaan dan rasa hormat murid pada guru.

2.  Kedudukan guru mesti sesuai, selalu bergerak dan tidak statik kerana murid sangat suka bergerak, walaupun sekadar menggerakkan kepala dan pandangan.

3.  Jika suasana berubah kerana guru meminta jawapan daripada murid, diamkan mereka dengan meminta murid betulkan kedudukan dan fokuskan pandangan kepada guru. In Sha Allah berkesan.

4.  Serahkan hati dan perasaan, murid dapat merasai jika bait ucapan guru itu ikhlas ditujukan kepada mereka. Semasa bercakap sebarkan emosi yang baik dan lembut kerana ia memberi kesan kepada hati murid.

Jika kita bercakap dengan perasaan marah, murid akan menyerap perasaan itu dan menyebarkannya kepada orang lain, malahan ia akan kekal lama dalam sanubari murid. Mungkin bila mereka pulang, perasaan marah ini disebarkan dalam keluarga pula, akhirnya ia tiada penghujung.

Jadilah artis pujaan kepada murid.. Sentiasa dirindui dan tidak sabar untuk bertemu.

- Aminah Mat Yusoff -

#ShareIlmuAllah
#UmmiWafaberbicara
#NikmatIlmuImandanIslam