
Ahad lalu saya ditemani isteri, 2 orang anak dan 4 ekor 'anak' menghantar pulang nenek ke rumahnya di Felda Bukit Permai, Layang-layang. Semua cucu memanggil nenek dengan panggilan "Mak Tok". Mak Tok sering berpindah ke rumah anak-anaknya. Biasanya Mak Tok tak lama di setiap rumah. Seringkali dia meminta untuk dihantarnya ke kampung. Tapi apabila sampai di kampung, Mak Tok ingin ikut pulang bersama yang menghantarnya. Itulah yang sering saya hadapi.
Bagi Mak Tok kampungnya bukan di Felda Bukit Permai, tapi di Tanjung Sembrong, Batu Pahat. Entah kenapa Mak Tok sering sebut tentang Tanjung sedang sudah lebih 40 tahun Maktok tinggal di Felda Bukit Permai. Mungkin kerana banyak kenangannya bersama arwah Pak Tok di Tanjung.
Lima setengah tahun dulu ketika saya pulang bercuti di Malaysia, keadaan Mak Tok tidak seperti ini. Walau ketika itu Pak Tok sudah tiada. Mak Tok gemuk, sihat, ingatan masih kuat dan begitu ceria. Tapi selepas lima tahun, saya kembali lagi ke Malaysia selepas tamat belajar keadaan Mak Tok berubah sepenuhnya. Mak Tok kurus, sakit-sakit, sering lupa dan bila direnung wajahnya tergambar kesedihan pilu di hatinya. Walaupun kata-katanya sering membuat saya ketawa kerana Mak Tok seorang yang 'kecoh'.
Melihat anak-anak Mak Tok yang ramai, saya tidak pelik kenapa Mak Tok semakin 'sakit'. Mak Tok dikurniakan Allah anak yang ramai, 5 lelaki dan 5 perempuan. Anak-anak merupakan nikmat (nun, 'ain, mim dan ta' marbutah) tapi apabila ibu bapa sudah mencecah usia emas, anak-anak sering kali menjadi nikmah (nun, kaf, mim dan ta' marbutah).
Mak Tok seakan-akan diabai oleh anak-anak sendiri. Kadang-kadang diherdik dan dimarahi kerana Mak Tok "banyak karenah dan sering lupa", kata mereka. Jarang sekali anak-anak datang menziarahinya, walaupun 9 daripada 10 anaknya tinggal di sekitar daerah Johor Bahru. Tiada masa, tiada kelapangan, tiada pengangkutan dan tiada duit. Mungkin ini antara alasan bagi membenarkan ketidaksempatan mereka menziarahi Mak Tok, apatah lagi mencurahkan kasih sayang kepadanya.

Pernahkah kita mendengar alasan ini diungkapkan ibu bapa kepada kita? Anak nak baju baru, mainan, peralatan dan sebagainya. Diusahakan juga walau ketika itu poket kosong, tiada motor untuk ditunggang bahkan tiada basikal untuk dikayuh. Anak menangis tengah malam kehausan, diberi susu badan tapi anak masih menangis, dikorek tin-tin susu yang kuat bunyinya, diberi minum susu botol barulah anak berhenti menangis. Anak bangun lagi selepas sejam, tidak nyenyak kerana digigit nyamuk. Ibu mengekang mata, menghalau nyamuk agar anak bisa nyenyak tidur. Pernahkah kita dengar ibu mengatakan "banyak karenah la kau ni"?
Benarlah kata-kata Ustaz Hasrizal bahawa ibu bapa dikurniakan Allah cinta tanpa syarat kepada anak-anak mereka. Tapi anak-anak sering meletakkan syarat untuk memberikan cinta mereka kepada ibu bapa. Anak yang ditatang, dibelai, dimanjai, dikasihi dan dihargai tidak pernah mengenangnya apatah lagi untuk membalasnya. Apabila sudah dewasa, punya isteri dan anak-anak, punya pekerjaan, rumah dan kereta. Ibu bapa disingkir dan diabaikan. Kerana kesilapan ibu bapa yang sedikit kerana pelupa dan banyak karenah, hingga lupa siapa diri kita. Dikandung sembilan bulan, disusukan dua tahun, diberi makanan, pakainan, penjagaan dan perlindungan. Tidak pernah diminta untuk anak-anak membalas dan membayar jasa mereka. Cukuplah sekadar sedikit perhatian dan layanan agar diri merasa mereka masih ibu dan bapa di mata anak-anak.
Moga Mak Tok mendapat perhatian dan layanan sepatutnya daripada anak-anak. Saya sering memikirkan bagaimanalah jika Allah menjemput Mak Tok mengadap-Nya, sedangkan anak-anak masih belum menunaikan tanggungjawab mereka. Ketika itu, wang ringgit sudah tiada nilainya. Air mata darah tidak boleh menghapuskan dosa tanggungjawab yang tidak tertunai.
Suatu ketika Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu dan beberapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua. Lalu beliau bertanya kepada perempuan itu, “apakah perihalnya kamu ini?”
Perempuan itu menjawab, “yang kudukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku”
Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu teruja dengan kejadian itu lalu berkata, “wahai sahabat, lihatlah perempuan ini. Beliau telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya”
Perempuan itu membalas, “tidak ya Amir al-Mu’minin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjagaku ketika aku kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaganya ketika dia tua, aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati!”
Binasalah si anak yang lupakan peringatan ini!