Ahad

BERHATI-HATI FENOMENA AKHIR ZAMAN

BERHATI-HATI FENOMENA AKHIR ZAMAN

1. Banyak rumah semakin besar, tapi keluarganya semakin kecil.

2. Perubatan semakin canggih, kesihatan semakin buruk.

3. Melancong keliling Dunia, tapi tidak kenal dengan jiran terdekat.

4. Pendapatan semakin meningkat, ketentraman jiwa semakin berkurang.

5. Ilmu semakin tinggi, emosi semakin rendah.

6. Jumlah manusia semakin banyak, rasa kemanusiaan semakin menipis.

7. Pengetahuan semakin bagus, keadilan semakin berkurang.

8. Perzinaan semakin rancak, kesetiaan semakin pupus.

9. Semakin banyak kawan di dunia maya, tapi tidak ada sahabat yang sejati.

10. Minuman semakin banyak jenisnya, air bersih semakin berkurang jumlahnya.

11. Pakai jam tangan mahal, tapi tak pernah tepat waktu.

12. Ilmu semakin tersebar, adab dan akhlak semakin lenyap.

13. Belajar semakin mudah, Guru semakin tidak dihargai.

14. Teknologi semakin canggih, fitnah dan aib semakin tersebar.

15. Orang yang rendah ilmu banyak bercakap, orang yang tinggi ilmu banyak mendiamkan diri.

Semoga kita sedar dan Semoga kita semua tetap berada di dalam lindungan ALLAH Subhanahu Wa Ta'aa. 🤲

آمِيّنْ... آمِيّنْ آمِّيْنَ يَا رَبَ الْعَالَمِيْنَ

In sha ALLAH. Sama-sama kita muhasabah.

BENARKAH PENCERAMAH TIDAK BOLEH SAMPAIKAN HADITH DA’IF: SUATU PENJELASAN

BENARKAH PENCERAMAH TIDAK BOLEH SAMPAIKAN HADITH DA’IF: SUATU PENJELASAN

Terdapat kekeliruan ditengah-tengah masyarakat bahawa penceramah wajib sampaikan hanya hadith sahih sahaja dan tidak boleh sampaikan hadith da’if. Kenyataan tersebut adalah tidak betul kerana para Ulama Muhaddithin membenarkan hadith-hadith da’if disampaikan kepada masyarakat. 

Yang dilarang adalah menyampaikan hadith palsu  kecuali jika ingin menjelaskan kepalsuannya. Akan tetapi, untuk menyampaikan hadith da’if yang bukan berkaitan Aqidah dan hukum-hakam adalah dibenarkan oleh para Muhaddithin tanpa ada pengengkaran dari mereka. Hatta Imam al-Bukhari memuatkan hadith-hadith da’if dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad iaitu himpunan hadith-hadith berkenaan adab dan akhlak. Beliau sendiri telah menyusun bab-bab di dalamnya bukan sekadar untuk periwayatan, akan tetapi bertujuan untuk disebarkan dan diamalkan. 

Telah menjadi kebiasaan Imam al-Tirmidhi dalam Sahihnya meriwayatkan hadith da’if yang menjadi amalan ahli ilmu lalu menyatakan Wa ‘alayhi al-‘amalu ‘inda ahli al-‘ilm (dan demikian itu apa yang diamalkan oleh ahli ilmu). Beliau juga berkata “Aku tidak meriwayatkan hadith dalam kitabku ini kecuali hadith tersebut telah diamalkan oleh sebahagian Fuqaha’”.

Imam al-Nawawi juga memuatkan hadith-hadith da’if dalam kitabnya al-Azkar dan tujuan kitab tersebut ditulis adalah untuk disebarkan dan diamalkan. Begitu juga Amirul Mukminin fil Hadith, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari meriwayatkan hadith da’if berkenaan doa menjawab bersin lebih dari 3 kali yang beliau nukilkan dari Imam Abu Bakr Ibnu al-Arabi al-Ma’afiri bahawa ia boleh diamalkan. 

Jika menyebarkan hadith da’if adalah suatu kesalahan nescaya Imam al-Bukhari, Imam al-Tirmidhi, Imam al-Nawawi, Imam Ibnu Hajar dan Imam Ibnu al-Arabi tidak akan melakukannya. Sebaliknya mereka semua meriwayatkannya untuk disebarkan dan diamalkan.

Bahkan ada lagi kitab-kitab hadith sahih yang lain daripada itu yang mana pengarangnya telah menyebutkan bahawa dalam kitabnya hanya dimasukkan hadith-hadith sahih, akan tetapi, tetap dijumpai hadith-hadith da’if di dalamnya seperti Sahih Ibni Khuzaymah, Sahih Ibni Hibban, al-Mustadrak li al-Hakim, Sahih Ibni al-Sakan, al-Ahadith al-Mukhtarah li al-Maqdisi dan lain-lain. Terdapatnya hadith-hadith da’if di dalam kitab-kitab Sahih adalah petunjuk yang kukuh bahawa hadith da’if bukan merupakan riwayat yang tertolak dalam Ilmu Hadith sebagaimana hadith palsu.

Selain dari itu, kitab-kitab lain yang dikarang oleh Ulama Muhaddithin yang bertujuan untuk diamalkan dan disebarkan yang mana di dalamnya termuat hadith-hadith da’if antaranya ialah Al-Adab al-Mufrad karangan Imam Bukhari, Kitab al-Zuhd karangan Imam Ahmad bin Hanbal, Fada’il al-Qur’an karangan Imam al-Shafi’i, Kitab al-Zuhd karangan Imam Abdullah bin Mubarak, Majmu' al-Rasa'il oleh Imam Ibnu Abi al-Dunya, al-Targhib wa al-Tarhib karangan al-Hafiz Munziri, Amal al-Yaum wa al-Laylah karangan Imam al-Nasa’i, Amal al-Yaum wa al-Laylah karangan Imam Ibnu al-Sunni, Kitab al-Du’a karangan Imam al-Tabrani, Talbis Iblis karangan Imam Ibnu Jawzi, al-Kaba’ir  karangan Imam al-Zahabi, Lata’if al-Ma’arif karangan Imam Ibnu Rajab, al-Qawl al-Musaddad karangan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Fada’il al-A’mal karangan Mawlana Zakaria Kandahlawi dan ramai lagi.

Seandainya menyebarkan hadith-hadith da'if adalah terlarang, sudah tentu Ulama Muhaddithin di atas tidak memasukkannya ke dalam kitab yang memang ditulis bertujuan untuk diamalkan dan disebarkan. Hadith da’if yang kami bincangkan dalam tajuk ini yakni yang layak digunakan untuk diamalkan dan disebarkan adalah merangkumi semua kategori hadith da’if, sama ada yang ringan mahupun yang berat, selagimana ia bukan hadith palsu. Dalam Sharh Sahih Muslim (1/125) pula, Imam al-Nawawi berkata, “Adalah harus disisi ahli hadith dan juga selain mereka untuk berlebih kurang terhadapnya (hadith da’if) dan dalam meriwayatkannya, selagimana ia bukan hadith mawdu’ (palsu), dan untuk mengamalkannya. Untuk mendapatkan pencerahan lanjut mengenai hadith da’if berat, sila lihat pada artikel di link ini:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=506490251143683&id=100053481364433

Kebelakangan ini, terdapat pengkaji hadith yang cuba mempertikaikan tindakan Maulana Zakaria Kandahlawi yang memuatkan hadith-hadith da’if dalam kitab Fada’il al-A’mal-nya, padahal Mawlana Zakaria sebenarnya mengikuti kaedah para Ulama terdahulu yang datang sebelum beliau yang telah membenarkan hal tersebut. Kitab Fada’il al-A’mal telah diterjemah ke 20 bahasa dan tersebar ke 220 negara di seluruh dunia, ini menunjukkan penerimaan Ulama secara Talaqqi bi al-Qabul terhadap kitab tersebut. Sudah tentu Maulana Zakaria memahami apa yang beliau lakukan, masakan tidak, beliau adalah pengarang kepada kitab Awjaz al-Masalik sebanyak 16 jilid yang telah diakui oleh para Ulama sebagai antara kitab syarahan terbaik bagi kitab hadith Muwatta’ Imam Malik yang pernah dihasilkan dalam sejarah keilmuan Islam sehingga hal tersebut diakui oleh para masya’ikh dari Mazhab Maliki sendiri. 

Mufti Mahmud Hasan Ganggohi, Mufti Besar Darul Uloom Deoband yang hidup sezaman dengan Maulana Zakaria, telah ditanya mengenai kitab Fada’il al-A’mal yang di dalamnya terkandung hadith-hadit da’if, maka beliau menjawab dalam Fatawa bahawa hadith-hadith da’if adalah dibenarkan untuk hal berkaitan fadilat amal sepertimana yang termaktub dalam Tadrib al-Rawi oleh Imam al-Suyuti. Maulana Zakaria adalah seorang yang sangat berhati-hati dalam ilmu hadith. Beliau sekali-kali tidak akan meriwayatkan hadith yang mana Ulama bersepakat ke atas kepalsuannya. Tamat nukilan. 

Imam al-Sakhawi telah menukilkan dari Imam al-Nawawi yang menjelaskan mengenai hadith berkenaan kelebihan memelihara 40 hadith bahawa dia akan dibangkitkan di Hari Akhirat bersama para Ulama, beliau menyatakan bahawasanya status hadith tersebut pada asalnya adalah hadith munkar (sejenis da'if jiddan) namun para Ulama Muhaddithin tetap mengamalkan dan menyebarkannya untuk mendapatkan fadilatnya. 

Antara Muhaddithin yang telah mengamalkan hadith tersebut dan menghasilkan kitab al-Arba’iniyyat (40 hadith) ialah Imam Abdullah bin Mubarak, Imam al-Nasa’i, Imam al-Tirmidhi, Imam Daruqutni, Imam Abu Bakr al-Bukhari, Imam al-Bayhaqi, Imam Ibnu Asakir, Imam Ibnu al-Battal, Imam al-Nawawi, Imam al-Zahabi, Imam al-Taftazani, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Imam al-Sakhawi, Imam al-Suyuti, Mulla Ali Qari dan ramai lagi.

Guru kepada Imam Ibnu Hajar al-Asqalani iaitu Imam al-Iraqi, beliau telah berkata dalam kitabnya Sharh Alfiyah (ms.5), “Adapun hadith yang bukan palsu maka diharuskan bertolak ansur dengan jalan sanadnya dan periwayatannya tanpa perlu menyatakan keda’ifannya selagimana ia tidak menyangkut hukum-hakam dan Aqidah, iaitu hadith-hadith berkait galakan dan ancaman, nasihat-nasihat, kisah-kisah, fadilat amal dan yang seumpamanya”.

Imam Ibnu Hajar al-Haytami dalam al-Fatawa al-Kubra (1/96) menulis, “Tidak ada masalah dalam sebahagian hadithnya ada yang da’if, kerana hadith da’if, mursal, mu’dal dan munqati’ boleh diamalkan dalam fadilat amal menurut kesepakatan Ulama bahkan telah menjadi Ijma’ terhadapnya”. 

Imam al-Bayhaqi dalam muqaddimah kitabnya Dala’il al-Nubuwwah, menyatakan bahawa sesebuah hadith itu walaupun ianya mursal atau da’if, ianya boleh diterima dalam hal-hal berkaitan bukti kenabian RasuluLlah ﷺ. 

Imam al-Hakim meriwayatkan bahawa Imam Abu Zakaria al-‘Anbari berkata, “Apabila sesebuah khabar (hadith) dinukilkan tanpa mengharamkan yang halal dan mengharamkan yang halal dan tidak mewajibkan sebarang hukum, dan berkisar pada targhib dan tarhib, maka tutuplah mata dari keda’ifan sanadnya dan permudahkanlah dalam periwayatannya”. (al-Kifayah fi Ma’rifah Usul ‘Ilm al-Riwayah, Imam Abu Bakr al-Khatib al-Baghdadi)

Imam Ahmad bin Hanbal berkata, “Hadith-hadith berkaitan kerohanian (al-raqa’iq) disikapi dengan berlebih kurang (al-tasahul) dalam periwayatannya sehinggalah jika ia terkait dengan sebarang hukum-hakam” (Ruj: Masa’il al-Imam Ahmad bin Hanbal Bi Riwayah al-Maymuni). 

Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya berkenaan seorang pakar sirah, ahli tarikh dan kisah peperangan iaitu Imam Muhammad bin Ishaq yang mana status beliau diperselisihkan antara Muhaddithin, ada yang mengatakannya da’if dan ada yang menilainya thiqah, lalu beliau menjawab, “Adapun mengenai Ibnu Ishaq, dalam periwayatan mengenai peperangan dan hal-hal yang seumpamanya maka diambil hadith daripadanya, akan tetapi jika berkaitan halal dan haram hendaklah perlu kepada sebegini”, lalu Imam Ahmad menghulurkan tangannya sambil menggenggam jari-jemarinya sebagai isyarat bahawa perlu kepada riwayat lain untuk menyokongnya (Ruj: al-Tarikh li Yahya ibni Ma’in).

Imam Ahmad Abd al-Rahman al-Banna al-Sa'ati (w.1378H/1957M) dalam al-Fath ar-Rabbani li Tartib Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal al-Shaybani menyatakan bahawa telah terangkum dalam Musnad Ahmad bin Hanbal yang terdiri dari 30,000 hadith itu pelbagai bidang ilmu iaitu Tauhid, Fiqh, Tafsir, Akhlaq, Sirah, Fitan dan lain-lain yang mana Imam Ahmad telah mencampurkan antara hadith sahih, hasan dan da’if yang sebahagiannya tidak dinyatakan keda’ifan tersebut oleh beliau. 

Ini bermakna Imam Ahmad menerima hadith da’if hatta dalam perbahasan yang merangkumi Aqidah sehingga sirah. Atau sekurang-kurangnya mengiktiraf kemasyhuran riwayat sebegitu dalam Aqidah sehingga sirah. Jelas sekali para Ulama menerima dan mengakui manfaat yang ada pada hadith da’if sesudah ia terbukti Maqbul. Mereka tidak membuang, menafi dan membakul sampahkannya. Walaupun hadith sahih masih banyak, yang da’if pada kategori Maqbul turut dipelihara zaman berzaman dan tidak disia-siakan.

Imam Jalal al-Din al-Dawwani (m.908H/1502M) dalam kitabnya Anmūzaj al-‘Ulūm telah mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi yang mengatakan bahawa beramal dengan hadith da’if adalah sunnah. Imam al-Dawwani menjelaskan bahawa maksudnya ialah amalan yang dilakukan bersandar kepada hadith da’if ialah sunnah hasanah dan ia bukan sekadar dibenarkan meriwayatkannya pada penulisan semata-mata tanpa pengamalan atau hanya berperanan sebagai hadith sokongan dalam bab sebagaimana yang didakwa hal sedemikan itu oleh sesetengah pihak yang tidak memahami perkataan Imam al-Nawawi tersebut. Imam al-Dawwani menjelaskan lagi bahawa walaupun amalan sunat juga adalah termasuk dalam hukum-hakam yang lima (wajib, sunat/sunnah, harus, makruh, haram), maka selagimana kandungan hadith tersebut tidak membawa kepada amalan yang haram atau makruh, maka pengamalannya adalah termasuk perkara sunnah. 

Imam Badr al-Din al-‘Ayni dalam muqaddimah kitabnya Umdah al-Qari Sharh al-Bukhari (1/9) berkata, “Para Ulama telah membenarkan untuk bertolak ansur dengan hadith-hadith da’if walau tanpa menjelaskan tahap keda’ifannya ketika memberi ceramah, penceritaan kisah-kisah, fadilat amal, tapi bukan hal-hal yang berkaitan Sifat-Sifat Allah dan bukan pula hal berkaitan halal dan haram”.

Shaykh Muhammad Zaki Ibrahim al-Misri dalam kitabnya Wadhifah al-Hadith al-Da’if menegaskan bahawa hadith-hadith da’if yang tidak bersangkut paut dengan Aqidah dan hukum-hakam boleh digunakan dan diamalkan. Beliau telah menyenaraikan bab-bab yang boleh digunakan hadith-hadith da’if iaitu:

1. Fadilat amal
2. Motivasi
3. Nasihat
4. Kalam-kalam hikmah 
5. Ilmu-ilmu yang halus lagi mendalam (al-daqa’iq)
6. Galakan dan ancaman (targhib wa tarhib)
7. Kisah-kisah tauladan
8. Hal-hal kerohanian (al-raqa’iq)
9. Ilmu ma’rifat (al-ma’arif)
10. Peradaban
11. Tafsir
12. Sirah
13. Biografi (al-manaqib)
14. Keistimewaan RasuluLlah SAW
14. Tarikh
15. Peperangan (al-maghazi) 
16. Dan lain-lain bidang selain Aqidah dan hukum-hakam.

Sebagai contoh, antara hadith da’if yang boleh digunakan dalam penyampaian ceramah ialah seperti hadith berkaitan fadilat Ramadan iaitu, ““Permulaan bulan Ramadan membawa kerahmatan, pertengahannya keampunan dan kesudahannya pelepasan dari api neraka”. ( al-Jami’ al-Saghir li al-Suyuti, no.Hadith 2815). Penggunaan hadith ini dalam ceramah tidak sepatutnya dipertikaikan lagi kerana ia termasuk dalam kelompok hadith yang dibenarkan para Ulama untuk diamalkan dan disebarkan. 

Untuk penggunaan hadith-hadith da’if dalam Tafsir dan kisah-kisah, Ulama meletakkan syarat ianya hendaklah tidak bertentangan dengan kemaksuman para Nabi alayhim al-salatu wa al-salam dan kehormatan para Sahabat RasuluLlah ﷺ.

Persoalan yang terakhir ialah adakah penceramah perlu memberitahu kepada sidang audience bahawa hadith yang digunakan itu adalah merupakan hadith da’if. Hal itu dijelaskan oleh Shaykh Muhammad Awwamah dalam kitabnya Hukmu al-‘Amal bi al-Hadith al-Da’if bahawasanya Muhaddithin berselisih pendapat dalam hal tersebut, akan tetapi majoriti Ulama menyatakan bahawa tidak perlu untuk memberitahu status da’if untuk sesebuah hadith.

Imam Ibnu al-Salah dalam ‘Ulum al-Hadith (Fasl: al-Hadith al-Maqlub) berkata, “Adalah diperbolehkan disisi Muhaddithin dan Ulama selain mereka untuk berlebih kurang dengan keadaan sanad dan status perawi kepada hadith da’if, selagimana ia bukan hadith palsu, dan tanpa perlu diambil perhatian untuk memberitahu mengenai keda’ifan hadith tersebut”.

Imam ‘Ala’ al-Din ibnu al-Turkimani dalam al-Muntakhab fi ‘Ulum al-Hadith (ms.53) berkata, “Hadith da’if yang bukan palsu boleh diriwayatkan tanpa menjelaskan status da’ifnya”.

Guru kepada Imam Ibnu Hajar al-Asqalani bernama  Imam al-Iraqi, dalam kitabnya Sharh Alfiyah (ms.5), beliau berkata, “Adapun hadith yang bukan palsu maka diharuskan bertolak ansur dengan jalan sanadnya dan periwayatannya tanpa perlu menyatakan keda’ifannya selagimana ia tidak menyangkut hukum-hakam dan Aqidah, iaitu hadith-hadith berkait galakan dan ancaman, nasihat-nasihat, kisah-kisah, fadilat amal dan yang seumpamanya”. 

Kesimpulan

Adalah tidak benar dakwaan yang mengatakan bahawa para penceramah hanya sepatutnya menggunakan hadith-hadith sahih sahaja dalam ceramah dan tidak boleh menggunakan hadith-hadith da’if. Dakwaan tersebut adalah jauh tersasar dari kaedah ilmu hadith itu sendiri sebagaimana yang difahami oleh para Muhaddithin dan praktik mereka. Sikap suka melabel dan menyalahkan orang lain yang beramal dengan hadith da’if sebagai pelaku bid’ah dan sebagainya perlu diperbetulkan dengan kadar segera.  

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar (ms.5) dan Sharh Sahih Muslim (1/125) menegaskan bahawa hukum menyebarkan hadith-hadith da’if yang layak untuk diamalkan adalah mustahab kerana hukum mengamalkannya juga adalah mustahab dan sunnah, ianya adalah kesepakatan para Ulama dan tiada siapa yang mengengkarinya. 

Ya, penceramah wajib berhati-hati dan teliti agar tidak menyebarkan hadith yang telah disepakati palsu oleh Muhaddithin. Antara kitab terbaik sebagai rujukan hadith-hadith yang disepakati palsu ialah Tanzih al-Shari’ah al-Marfu’ah karangan Imam Ali bin Muhammad bin 'Arraq al-Kinani. Penceramah juga perlu menggunakan sighah tamriḍ ketika menggunakan hadith da’if seperti:

1. Telah sampai kepada kami bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda….. 

2. Telah diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda…. 

3. Telah disebutkan bahawa Baginda pernah bersabda…. 

4. Telah dinukilkan bahawa Baginda SAW pernah bersabda…

Oleh itu, tidak digunakan sighah pasti seperti “Telah bersabda Rasulullah SAW…..” atau “Sesungguhnya RasuluLlah SAW telah bersabda…” dan yang seumpamanya.

Keseimbangan yang perlu ada dalam menyampaikan hadih-hadith da’if yang layak di amalkan kepada masyarakat ialah penceramah juga sepatutnya menyampaikan hadith-hadith sahih jika ianya wujud berkaitan dengan bab yang hendak disampaikan. 

Disediakan oleh: iqbal Zain al-jauhari