Ahad

Bahayanya bila manusia berhasad dengki


Hasad dengki sebenarnya ialah penyakit hati dan maksiat batin yang terdapat pada manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan. Perkataan hasad berasal daripada bahasa Arab iaitu al-hasad. Orang yang mempunyai sifat hasad ini mengharapkan sesuatu nikmat yang ada pada seseorang berpindah kepada dirinya.


Dalam bahasa Melayu, perkataan 'dengki' digandingkan dengan perkataan hasad bermaksud: "Kebencian (kemarahan) kerana perasaan cemburu atau iri hati yang amat sangat." Jadi, hasad dengki merupakan perasaan tidak senang hati dalam diri seseorang apabila melihat orang lain mendapat sesuatu kebaikan."



Dalam Kitab Ihya' 'Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali ada disimpulkan punca dan sebab timbulnya perasaan hasad dengki. Antaranya ialah:

1. Perasaan Permusuhan dan Kebencian

Perasaan inilah yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Mereka yang disakiti oleh seseorang, pasti berasa marah lalu menimbulkan kebencian. Di sini akan tertanamlah bibit dengki dalam dirinya.

2. Berasa Diri Mulia.

Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu berasa keberatan kalau ada orang yang mengatasi kebolehannya. Dia tidak rela kalau ada orang lain yang melebihinya.

3. Takbur.

Orang yang mempunyai sifat takbur mempunyai watak suka membesarkan diri terhadap orang lain. Dia selalu memperkecilkan dan suka memperhambakan seseorang. Begitulah halnya dengan sikap Iblis yang takbur, lalu dia dilaknat oleh Allah S.W.T.

4. Ujub.

Allah S.W.T. telah menjelaskan kepada kita perihal umat di zaman silam. Mereka berasa takjub dengan diri mereka sendiri. Keadaan ini menghalang mereka daripada mendapatkan kebenaran.

5. Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan.

Biasanya perasaan ini wujud di kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Setiap orang akan berasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat sesuatu kelebihan.

6. Ghairah Untuk Menjadi Ketua dan Mencari Populariti.

Seseorang yang terlalu ghairah untuk mencari populariti atau terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan tertentu akhirnya terdedah kepada sifat hasad dengki. Apabila orang lain berjaya mendapatkan jawatan yang diidam-idamkan olehnya itu akan timbul hasad dengki.

7. Busuk Hati.

Sekiranya busuk hati ini wujud pada seseorang, akan menyebabkan orang itu tidak suka sesuatu kebaikan diperoleh oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan di hadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, hatinya menjadi sempit dan resah mendengarkannya. Tetapi apabila diketahui pihak lawannya gagal dan menerima nasib malang, dia akan berasa gembira dan suka hati.

Walau bagaimanapun dalam Islam terdapat dua perkara yang dibenarkan hasad. Jenis hasad ini dipanggil sebagai 'ghibtah' iaitu iri hati dengan kejayaan dan kemampuan seseorang lalu dia cuba bersaing secara sihat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Tidak boleh dengki dan iri hati kecuali dalam dua perkara; iaitu iri hati terhadap orang yang dikurniai harta lalu menginfakkannya (di jalan Allah) pada malam dan siang hari, (juga iri hati) kepada orang yang diberi kepandaian membaca al-Quran lalu membacanya setiap malam dan siang" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Wassalam

Selasa

Taubat bukanlah perkara bermusim....


SUDAH namanya manusia, sering melakukan kesilapan. Ada yang disengaja, ada pula tidak disedari tetapi akhirnya membuatkan seseorang berasa disakiti. Tidak terkecuali, ada yang suka mempersenda hukum Ilahi, terlupa bahawa hidup tidak kekal abadi. Kehidupan di dunia yang penuh cabaran memungkinkan kita berbuat apa saja untuk memuaskan nafsu tidak baik.

Dunia ini penuh permainan yang melalaikan, walau cuba mengawal diri daripada tipu daya, ada kalanya kita tertewas juga, apatah lagi jika balasannya lambat tiba, tidak terasa janji Allah itu akan sampai akhirnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri Akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?” (Surah Al-An’am, ayat 32)

Benar manusia boleh dibohongi tetapi bukan Dia Yang Maha Kuasa. Negeri akhirat itu pasti, kepada yang tidak mensia-siakan kehidupan di dunia dengan kezaliman terhadap diri sendiri, kegembiraan yang ditunggu bagai tidak sabar dirasai.

Jika sebaliknya, tentulah balasannya tidak tertanggung. Akal dikurniakan Allah SWT adalah untuk berfikir, supaya tidak mengulangi kesalahan yang serupa sehingga menggagalkan misi dan visi sebagai hamba di dunia ini.

Meskipun cuba menjadi hamba yang baik dan taat, ada kala kita lalai dan terlupa. Kata hati rupanya tidak semuanya memihak kepada kebenaran, bahkan membuka pekung di dada. Justeru, segala keterlanjuran terhadap Yang Esa jangan sampai kita tidak bertaubat.

Menyesali dosa dilakukan dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya adalah usaha yang perlu dilakukan jika benar-benar ingin bertaubat. Usah dikenang masa lalu sebaliknya kenanglah pengajaran yang tidak mungkin akan berulang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘taubat nasuha’, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,” (Surah At-Tahriim, ayat 8)

Jangan pula taubat dipermainkan dengan mengulangi kemungkaran. Sesiapa yang ingin bertaubat mestilah menyesali dosa yang dilakukan dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Inilah dikatakan menyucikan diri mudah-mudahan kebaikan ini mendorong kepada pembersihan jiwa sebenar.

Seboleh-bolehnya hidup hendaklah dipandu dengan garis panduan yang dimuktamadkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya yang sememangnya membantu kita menggapai kebahagiaan hakiki.

Segala bentuk maksiat terhadap perintah Allah SWT hendaklah dipohon keampunan dengan taubat dan sebarang bentuk penganiayaan terhadap orang lain, perlu disertai kemaafan serta mengembalikan hak yang diambil.

Jika ia fitnah, bayarlah dengan membersihkan nama baiknya dan jika harta yang diambil, lunaskan dengan mengembalikan miliknya atau minta dihalalkan.Penangguhan akan memungkinkan seribu tragedi yang boleh menggagalkan hasrat pengampunan daripada Yang Esa.

Usahlah kita menangguhkan peluang kerana ajal akan datang pada bila-bila masa dan syukurlah jika kita sempat menyedari dosa serta kejahilan yang pernah dilakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah An-Nisaa’, ayat 18).

Oleh:Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia