Rabu

Perbicaraan kes Nik Elin Zurina dan anaknya Tg. Yasmin Natasya v. Kerajaan Negeri Kelantan di Mahkamah Persekutuan

(Saya mulakan coretan ini sewaktu mengikuti perbicaraan kes Nik Elin Zurina dan anaknya Tg. Yasmin Natasya v. Kerajaan Negeri Kelantan di Mahkamah Persekutuan pagi tadi. Kemudian saya sambung semasa dalam perjalanan pulang ke Kelantan. Ia agak panjang. Sudilah membaca sekiranya berkelapangan)

Saya pernah belajar dan saya juga pernah mengajar di Kulliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Antara subjek yang kami belajar adalah Sistem Perundangan Malaysia (Malaysian Legal System) dan subjek Perlembagaan Malaysia (Malaysian Constitution). Saya juga pernah mengajar keduanya. Antara tokoh undang-undang yang tersohor waktu itu adalah guru kami Tan Sri Prof. Emeritus Ahmad Ibrahim. Semua orang kenal tokoh ini. Kami di UIAM sangat berbangga mempunyai sosok ini. Seingat saya beliau adalah Syeikh dan Dekan kepada Kulliyyah Undang-undang dari awal penubuhan UIAM sehinggalah beliau meninggal dunia. Amat besar jasanya kepada UIAM tetapi besar lagi jasanya kepada perkembangan undang-undang Islam dan Mahkamah Shariah di Malaysia. 

Apabila beliau meninggal dunia, nama Kulliyyah Undang-undang UIAM di tukar kepada Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, IIUM. Hari ini ia lebih dikenali sebagai AIKOL di kalangan pelajar dan pensyarah UIAM. Walaupun sudah lama meninggalkan AIKOL saya merindui suasananya dan sangat menyanjungi jasanya yang begitu besar kepada saya. Terkadang terasa juga ingin kembali ke situ. Sekali sekala sewaktu melawat anak saya di AIKOL, saya boleh bayangkan setiap sudut bangunan dan dewan kuliah walaupun sudah hampir 15 tahun meninggalkannya.

Antara banyak- banyak topik yang kami belajar, topik berkenaan kedudukan Undang-undang Islam dan Mahkamah Shariah di Malaysia sangat menyentuh perasaan. Bukan sahaja kepada student malah pensyarah juga begitu. Tanyalah kepada mana-mana pelajar undang-undang UIAM, mereka akan berkongsi sentimen ini. Saya rasa pelajar undang-undang dari universiti yang lain juga berkongsi perasaan yang sama apabila mempelajari topik ini.

Kami diajar tentang sejarah perundangan Malaysia (Malaysian Legal History) sebelum, semasa dan selepas penjajahan. Kami cukup berbangga apabila diakui bahawa undang-undang Islamlah merupakan undang-undang bagi Tanah Melayu sebelum Tanah Melayu dijajah (Lex Loci atau Law of the Land). Ia disebut dengan jelas oleh Hakim Maxwell dalam kes Ramah Bte Taat v. Laton Bte Malim Sutan (1927). Kes ini sangat terkenal dan meniti dari bibir ke bibir pelajar. Ia disebabkan perasaan begitu bangga atas pengiktirafan hakim Inggeris sendiri tentang pentingnya undang-undang Islam di Tanah Melayu. Pentadbiran negeri dan hal ehwal agama Islam termasuk undang-undang Shariah di bawah kuasa Raja-raja Melayu yang berdaulat.

Kedudukan undang-undang Shariah juga dibuktikan dalam undang-undang bertulis yang dipakai di negeri-negeri Melayu waktu itu seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Perak, Undang-undang Pahang, Kelantan dan negeri-negeri Melayu yang lain. Dokumen-dokumen ini ada yang masih di simpan dengan baik sampai hari ini. Undang-undang Islam yang dilaksanakan adalah dari mazhab Syafie. Undang-undang Adat Melayu (Malay Customary Law) juga dilaksanakan sebagai pelengkap kepada undang-undang Islam. 

Tetapi malangnya setelah kedatangan penjajah terutamanya British suasana berubah. Mereka menggantikan undang-undang Islam dan undang-undang adat Melayu dengan undang-undang Inggeris. Begitulah sememangnya sifat dan perangai penjajah. Hak orang dirampas dan dijadikan milik mutlaknya dan boleh dibuat apa sahaja. Lihatlah apa yang sedang berlaku kepada bumi dan rakyat Palestin hari ini. Yang menentang akan dihukum.

Tanah Melayu dipecahkan menjadi tiga iaitu The Straits Settlements (Negeri-negeri Selat), Federated Malay States (Negeri-negeri Melayu Bersekutu) dan Unfederated Malay States (Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu). Undang-undang dan pentadbiran Inggeris diperkenalkan dengan pelbagai cara antaranya melalui Piagam Keadilan (Charters of Justice 1807, 1826 dan 1855), Residential System, Advisory System dan juga pemakaian undang-undang Inggeris yang sedang berkuatkuasa di England. Keputusan hakim dan prinsip-prinsip ekuiti yang diamalkan di England dijadikan rujukan utama oleh para hakim (English Common Law and Rules of Equity). Ini telah ditegaskan oleh hakim-hakim Inggeris dalam banyak kes yang menjadi rujukan kami antaranya kes In Re Goods of Abdullah (1835) dan Kes Fatimah v. Logan (1871). Kedua kes ini telah memutuskan bahawa dengan penerimaan undang-undang Inggeris di Tanah Melayu sebagaimana pemakaiannya di England, maka ia telah memansukhkan apa sahaja undang-undang yang terpakai sebelum itu (undang-undang Islam dan adat Melayu).

Rupa-rupanya kenyataan Hakim Maxwell dalam kes Ramah v. Laton itu hanyalah fakta sejarah sahaja.  Setakat nak memberitahu kita bahawa itu hakikatnya dulu. Bila British berkuasa, ia tidak lagi begitu. Undang-undang Inggerislah yang mengambil tempat utama. Undang-undang Islam sudah terpinggir dan mengambil ruang sempit sahaja dalam sistem perundangan Tanah Melayu. Haknya yang asal sudah dirampas penjajah. Hakikat yang terpaksa ditelan walaupun pahit. Sampai di sini terdiam kami semua. Hanya mampu mengangguk-ngangguk tanda faham dan terkadang menggeleng-geleng kepala tanda kesal. Rasa bangga tidak ada lagi malah rasa tertipu pula mengganti.

Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan status Islam sebagai Agama bagi Persekutuan yang terkandung dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia sepatutnya meletakkan undang-undang Islam di tempat tertinggi. Tetapi hakikatnya tidak begitu. Undang-undang Islam dan Mahkamah Shariah hanya setakat undang-undang dan mahkamah negeri, dalam kes-kes sivil dan jenayah tertentu yang telah ditetapkan dan aplikasinya untuk orang-orang Islam sahaja. Bidangkuasa menghukum juga terhad sebagaimana telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia khususnya Jadual Kesembilan Senarai Dua dan Akta Mahkamah Shariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 Pindaan 1984 atau dikenali sebagai Akta 355. Setinggi manapun Mahkamah Shariah, kuasa menghukumnya lebih rendah dari Mahkamah Majistret iaitu mahkamah paling rendah dalam struktur mahkamah sivil di Malaysia.

Malangnya bidangkuasa yang sedikit ini pun seringkali diganggu dan hendak dinafikan atas alasan berlaku pertindihan bidangkuasa (conflict of jurisdiction). Kami cukup tidak senang. Sebagai pelajar undang-undang di sebuah universiti Islam, situasi sebegitu memang sangat mengganggu emosi kami. Tarbiyyah yang kami terima sepanjang pembelajaran di UIAM sememangnya mendidik dan memberi bekas dalam jiwa kami. Selain dari pelajar luar negara, kami pelajar UIAM datang dari sekolah menengah agama dan sekolah menengah biasa. Tetapi bagi kami sesuai dengan namanya, UIAM adalah universiti agama. "Ibadah Camp", usrah dan Tan Sri Professor Mohd Kamal Hassan sangat dekat dengan jiwa kami.

Ada kes yang sepatutnya dibicarakan oleh Mahkamah Shariah telah dibawa ke Mahkamah Sivil. Malah ada kes yang telahpun diputuskan oleh Mahkamah Shariah atau pihak berotoriti dalam hal ehwal agama Islam dibatalkan oleh hakim Mahkamah Sivil. Situasi ini amat menyedihkan terutamanya apabila kes melibatkan soal aqidah dan asas agama.

AlhamdulilLah ramai rupanya yang tidak senang dan tidak selesa dengan keadaan ini termasuklah juga pimpinan negara. Bagi mengatasi masalah konflik bidangkuasa ini Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Shariah dan Sivil yang ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam pada tahun 1988 telah mencadangkan pindaan terhadap Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan klausa (1A). Jawatankuasa ini dianggotai oleh ramai tokoh-tokoh undang-undang Shariah dan sivil. Perkara 121(1A) ini memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk membicarakan kes-kes yang berada di bawah bidang kuasanya secara eksklusif. AlhamdulilLah pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan ini telah berjaya dibuat pada tahun 1988. Dengan itu Mahkamah sivil tidak boleh lagi campurtangan atau membatalkan keputusan Mahkamah Shariah. Mahkamah tinggi sivil dan mahkamah di bawahnya tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. 

Perkara 121(1A) ini adalah penyelesaian yang sangat menggembirakan kami para pelajar juga pensyarah. Harapannya tidak akan ada lagi gangguan terhadap bidangkuasa Mahkamah Shariah. Bila sampai saja tajuk ini semuanya mengangkat muka, rasa bangga dan gembira. Sekurang-kurangnya menjadi sedikit penawar kepada duka. 

Teringat saya pada Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim. Beliau penuh semangat seawal mula memasuki dewan kuliah lagi. Beliau antara orang yang memainkan peranan besar dalam pindaan itu. Jelas terbayang kegembiraan dan rasa sangat berpuashati dengan pencapaian ini. 

Walaupun begitu masih ada lagi cubaan untuk menggugat bidangkuasa ekslusif Mahkamah Shariah atas alasan bertindih dengan mahkamah sivil. Namun para hakim sangat memahami maksud pihak legislatif akan tujuan pindaan tersebut. Sebab itulah pengasingan kuasa antara Mahkamah Shariah dan mahkamah sivil ini hasil dari pindaan ini telah diberi pengiktirafan yang sangat kukuh oleh mahkamah dalam beberapa kes yang diputuskan antaranya kes Mohamed Habibullah v. Faridah bte Dato’ Talib (1992) dan Mohamad Hakeem Lee v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (1998) banyak lagi kes selepas itu. Sekali gus pengiktirafan ini menutup ruang perbahasan tentang konflik bidangkuasa ini. 

Namun beberapa tahun kebelakangan ini, perkara ini kembali berbangkit dan malangnya keputusan berpihak kepada mahkamah sivil. Nampaknya ada pihak-pihak tertentu yang tidak diam merancang. Menggunakan saluran undang-undang untuk mengenepikan bidangkuasa Mahkamah Shariah. Mereka mencuba dan mencuba. Hari ini tidak berjaya belum tentu esok akan gagal. Sedikit sahaja kaedah mereka pinda iaitu dengan menukar argumen kepada Dewan Undangan Negeri melampaui batas kuasa sewaktu meluluskan undang-undang walaupun ianya sudah lama berkuatkuasa. Akhirnya mereka berjaya juga dalam kes Indira Ghandi v. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (2018) dan Iki Putra Mubarak v. Kerajaan Negeri Selangor (2021). Dalam kes Indira Ghandi, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan pengIslaman anak yang dilakukan secara sepihak walaupun telah disahkan oleh Mahkamah Shariah. Mahkamah Persekutuan juga memutuskan Mahkamah Shariah tidak mempunyai bidangkuasa eksklusif walaupun undang-undang tersebut di bawah bidangkuasanya. Bertolak dari kemenangan mereka dalam kes ini, maka pada Mac 2023 mereka memohon untuk membatalkan undang-undang negeri yang mengesahkan pengIslaman anak bawah umur secara sepihak di 8 buah negeri di Malaysia.

Begitu juga dalam kes Iki Putra Mubarak. Undang-undang yang berkaitan dengan liwat dalam Enakmen Jenayah Shariah Selangor juga telah dibatalkan atas alasan DUN Selangor tidak ada kuasa meluluskannya. Kalau di Selangor, satu perkara mereka cabar dan berjaya tetapi kini mereka datang ke Kelantan dan mencabar 18 perkara (asalnya 20 perkara kemudian 2 digugurkan) dalam Enakmen Jenayah Shariah Kelantan (1) yang melibatkan kes-kes ta'azir. 

Dalam kes Indira Ghandi, suaminya memeluk Islam bersama anak-anak mereka. Dia rasa haknya sebagai sebagai ibu dinafikan. Dalam kes Iki Putra pula, dia sememangnya didakwa kerana terlibat dalam pesta seks songsang melibatkan sembilan orang lelaki. Tetapi dalam kes Nik Elin dan anaknya ini, walaupun keduanya berasal dari Kelantan tetapi tidak tinggal di kelantan dan tidak didakwa atas mana-mana kesalahan yang terkandung dalam Enakmen. Tiba-tiba bawa permohonan di mahkamah untuk mencabar kuasa DUN Kelantan. Di situlah kita pertikaikan niat sebenar mereka. Selama ini tidak ada pun masalah berbangkit. Peguam kita ada bangkitkan isu ketiadaan locus standi untuk dipertimbangkan juga oleh mahkamah. Cabaran yang dibuat oleh Nik Elin, kesannya adalah bukan lagi isu konflik bidangkuasa tetapi Mahkamah Shariah sebenarnya tidak ada kuasa kerana kuasa itu hanya ada pada mahkamah sivil sahaja. Kita sedang berusaha untuk memperkasakan Mahkamah Shariah, tetapi kesan dari tindakan ini sebaliknya akan menghakis kuasa Mahkamah Shariah. 

Pagi tadi Mahkamah Persekutuan dengan sembilan orang hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara sendiri mendengar penggulungan hujjah kedua belah pehak. Saya mengikutinya dari awal sehingga akhir. Saya cukup bangga dengan hujahan mantap dari pihak peguam kita yang bukan sahaja mewakili Kelantan bahkan negeri-negeri lain. Ramai juga diantara peguam itu adalah kawan-kawan saya sewaktu belajar di AIKOL. Ramai di kalangan mereka juga lepasan dari AIKOL. Satu kebanggaan untuk UIAM. Selepas kira-kira hampir dua jam mendengar hujahan, Mahkamah menangguhkan keputusan. Para Hakim memerlukan masa untuk meneliti kes ini secara teliti. Kita mendoakan dan mengharapkan yang terbaik untuk agama dan rakyat Malaysia. Di perkarangan Mahkamah, ribuan orang yang datang segenap pelusuk tanah air berhimpun, bersolat hajat dan bermunajat mendoakan perkara yang sama. Tema perhimpunan adalah PERTAHANKAN SHARIAH.

Yang pastinya kes Nik Elin Zurina & Tengku Yasmin Natasha v. Kerajaan Negeri Kelantan ini nanti akan menjadi rujukan para pelajar dan pensyarah undang-undang di bilik kuliah. Kes ini akan disebut sampai bila-bila. Diulang-ulang sebagaimana juga kes Ramah v. Laton, walaupun diputuskan pada tahun 1927 tetapi disebut sampai hari ini. Saya tidak pastilah nanti samada pelajar dan pensyarah undang-undang akan berbangga dengan kes Nik Elin ini atau mereka akan menggelengkan kepala.

Dr. Mohamed Fadzli Hassan
20hb. November 2023.