Sabtu

Masih Sibuk Dengan Isu-Isu Khilafiyyah?

Assalamualaikum Warahmatullah.

PENGENALAN

Sesungguhnya Islam adalah agama penyatuan dan perpaduan bukanlah sebuah agama perpecahan dan pergaduhan. Islam juga adalah agama toleransi dan berkasih sayang bukanlah sebuah agama kekerasan dan kezaliman. Ini dapat kita fahami berdasarkan beberapa dalil di antaranya:

Firman Allah Taala bermaksud:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah Taala (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai.

(Surah ali-Imran: Ayat 103).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Orang yang beriman disatukan dan tiada kebaikkan bagi sesiapa yang tidak bersatu dan yang tidak disatukan.

(Riwayat Ahmad).

Kita dapati pada hari ini masyarakat Islam di Malaysia (khususnya) kian berpecah-belah lantaran keghairahan beberapa pihak yang begitu gemar mengadakan perdebatan dan perbahasan isu-isu khilafiyyah secara terbuka. Keadaan menjadi lebih parah kerana golongan awam turut diajak bersama-sama menjadi hakim yang tidak bertauliah tanpa didasari oleh ilmu dan akhlak. Fenomena ini berlaku di mana-mana sahaja lantaran peranan yang dimainkan oleh media massa (televisyen, radio, akhbar, majalah, website, blog dll) merupakan salah satu faktor utama perpecahan dan permusuhan umat Islam di Malaysia kian menjadi-jadi. Mungkin mereka ini terlupa dengan ingatan dan pesanan Allah Taala sepertimana berikut:

Firman Allah Taala bermaksud:

Tolong-menolonglah kamu pada jalan kebajikan dan taqwa dan jangan kamu tolong-menolong pada jalan dosa dan permusuhan.