Rabu

DUA IMAM ASY-SYATIBI

DUA IMAM ASY-SYATIBI

1. AL-QASIM IBN FIRUH ASY-SYATIBI : PENGASAS ALIRAN BACAAN ASY-SYATIBI (538 - 590H) 👨‍🏫

Anda tahu atau tidak? Majoriti bacaan Al-Quran yang diamalkan di Malaysia (keseluruhan masyarakat Islam) ialah bacaan Qiraat Imam ‘Asim melalui riwayat Imam Hafs beraliran Al-Syatibi.

Siapakah beliau?

Nama beliau adalah Al-Qasim Bin Firuh Bin Khalaf Bin Ahmad Al Ru’ayni Al-Syatibi Al-Andalusi. Beliau dilahirkan di Xativa, Sepanyol yang terletak 70 KM daripada Wilayah Valencia pada tahun 538H (1144M). Kehidupan beliau melalui era kebangkitan Kerajaan Al-Muwahhidun (1146 – 1238M) yang mula menguasai kota – kota Andalusia selepas Kerajaan Al-Murabitun mengalami kemunduran (1086 – 1145M).

Imam As-Syatibi Rahimahullah seorang yang amat alim dalam pelbagai bidang ilmu terutama berkaitan dengan ilmu Qiraat, Tafsir, Nahu, Lughah, Hadis dan Fekah. Bahkan beliau bijak menta’bir mimpi, beliau juga dikenali sebagai tokoh sasterawan bahasa Arab yang terkenal di Kota Syatibah dengan lahirnya Kitab Nuzum fi Mawani’ Al-Sarf. Di Kota Syatibah, beliau menjadi pakar rujuk Ilmu Qiraat dan Ulum Al-Quran seawal remaja kerana kecerdikan yang dianugerahkan.

Beliau berguru dalam bidang Al-Quran dan ilmu Qiraat bersama para gurunya Abu Abdullah Muhammad Abil Ash Al-Nafari (550H), Ibn Huzayl – Anak murid Imam Ad-Dani (563H), Imam al-Mubarrad, Abu Tahir al-Salafi, Ibn Humayd (586H), Ibn al-Ni’mah al-Balansi (567H), Abu Abdullah Al-Isybili (600H), Ibn Asy’ir al-Ansari (567H), Abu Tahir al-Salafi (576H), Abu al-Qasim bin Hubaysy (584H), Abu al-Husayn al-‘Umri (564H), Ibn al-Faras (567H).

Antara anak – anak murid beliau adalah Abu Al-Hasan Ali bin Muhammad bin Abdus Samad Al-Sakhawi (643H), Al-Kamal Ali bin Syuja’ bin Salim al-Darir al-Masri (661H), Ali bin Muhammad bin Musa Al-Tujibi (626H), Abdul Rahman bin Abul Qasim Al-Azdi Al-Tunisi dan ramai lagi.

Antara kitab karangan beliau di dalam bidang Ilmu Qiraat dan Ulum Quran ialah Kitab Matan Hirzul Amaani wa Wajhu Al-Tahaani fi Al-Qiraat (Matan As-Syatibiyah) yang menerangkan tentang 7 Imam Qiraat yang masyhur yang disusun seribu lebih baris puisi. Manakala Kitab ‘Aqilah Atrab al-Qasaid fi Asna’ al-Maqasid pula membicarakan Ilmu Rasm Uthmani.

Imam As-Syatibi berhijrah ke Kaherah, Mesir pada tahun 572H (1177M). Pengembaraan ilmu beliau ke bumi Mesir amat dialu-alukan oleh warga Kota Mesir atas ketinggian ilmu dan mulianya beliau sebagai seorang guru Ilmu Qiraat, Ulum Al-Quran yang unggul. Imam An-Nawawi ada menyebut, Imam As-Syatibi jika dibanding dengan orang lain di Mesir tiada tandingan pada masa itu kerana ilmu yang banyak. Imam Az-Dzahabi juga memuji ketokohan Imam As-Syatibi merupakan Imam yang sangat alim, cerdik dan menguasai pelbagai bidang ilmu dan antaranya mengetuai ilmu Qiraat, ilmu Hadis dan menghafaznya, pakar Bahasa Arab dan sebagainya.

Imam As-Syatibi mengabadikan dirinya dengan ilmu hingga dijemput Allah S.W.T pada 28 Jamadilakhir tahun 590H (20 Jun 1194M) usianya 52 tahun dan dimakamkan di Jabal Muqattam, Kaherah Mesir. Semoga Allah merahmati dan melimpahkan kesejahteraan kepada beliau Imam As-Syatibi, ilmuan unggul bumi Andalusia.

Al-Fatihah.
-----------------------------------------------------------------
2. ABU ISHAQ IBRAHIM ASY-SYATIBI : ARKITEK MAQASID SYARIAH (720 - 790H) 👨‍🔧

Selepas lebih kurang 130 tahun pemergian Al-Qasim Ibn Firuh As-Syatibi di Mesir, maka dengan izin Allah lahirlah seorang lagi tokoh yang bernama Abu Ishaq Ibrahim b. Musa b. Muhammad Al-Lakhmi Al-Shatibi Al-Garnati. Dicatatkan beliau berketurunan Suku Arab Lakhmi yang lahir di bumi Garnatah (Granada, Sepanyol) pada tahun 720H (1320M) ketika era pemerintahan Kerajaan Bani Ahmar / Nasriyyah (1238 – 1492M) iaitu sebuah Kerajaan Daulah yang terakhir di Andalusia.

Gelaran As-Syatibi merujuk kepada sebuah tempat bernama Syatibah (beliau tidak dilahirkan disitu atau tinggal) tetapi keturunannya berasal daripada Shatibah. Kota Xativa telah ditakluki Kerajaan Kristian Aragon sejak 1244M lagi daripada Kerajaan Al-Muwahhidun yang kalah dalam mempertahankan wilayah itu.

Imam Abu Ishaq As-Syatibi turut dikenali sebagai Al-Imam Al-‘Allamah (yang amat mendalam pengetahuannya), Al-Muhaqqiq (yang memiliki kemampuan menyelesaikan masalah). Al-Hafidz (yang menjaga dan menghafaz ribuan hadis), Al-Qudwah (yang diiikuti) dan Al-Mujtahid (yang mampu menyelesaikan masalah hukum).

Beliau berguru bagi mendalami pelbagai ilmu bahasa arab, dengan Abu Abdullah Muhammad Al-Biri (754H) yang terkenal dengan gelaran Sheikh An-Nuhat Al-Andalus “Penguasa Ilmu Tatabahasa”, dan seterusnya Abu Qasim Muhammad Ibn Ahmad As-Sabti (760H), Abu Ja’far As-Syaquri Al-Garnati (762H) yang mengajarnya Kitab Sibawaih dan Alfiah Ibn Malik, Selain itu beliau mendalami Ilmu Tafsir bersama Abu Abdillah Al-Balansi (765H), guru Hadis beliau adalah Abul Qasim Ibn Bina dan Syamsuddin Al-Tilimsani (767H) mendalami Kitab al-Jami’ As-Sahih Al-Bukhari dan Al-Muwatta’ Imam Malik.

Penguasaannya dalam Ilmu Kalam dan falsafah pula daripada Abu Ali Mansur Al-Zawawi (753H) yang merupakan pakar falsafah di Granada, dan Ilmu Sastera dipelajari dari Abu Bakr Al-Qarsyi Al-Hasymi (769H). Beliau menuntut Ilmu Usul Fiqh dari Abu Abdillah Muhammad Ibn Ahmad Al-Maqqari (761H) merupakan Ketua Qadi Kerajaan Mariniyun Sultan Abu Inan ketika itu, dan gurunya Abu Abdillah Muhammad Ibn Ahmad Al-Syarif At-Tilimsani (771H) adalah orang yang dikenali kerana ketinggian ilmunya dan mencapai taraf Mujtahid pada zamannya juga penulis kitab Miftah Al-Usul ila Bina Al-Furu’ ‘ala Al-Usul, dan beliau mempelajari hukum hakam islam dari Ulama terkenal bernama Abu Said Ibn Lubb (764H).

Antara anak-anak murid Imam As-Syatibi yang dicatatkan dari Timbuktu adalah Abu Yahya Ibn ‘Asim dan Abu Bakr Ibn ‘Asim dan yang ketiga Faqih Abu Abdullah Al-Bayani. Selain itu, Abul Afjan menyebut yang lain adalah Abu Ja’far Al-Qassar dan Abu Abdullah Al-Majari.

Antara karya agung beliau adalah Kitab Al-Muwafaqat yang dianggap sebagai magnum opusnya. Penjelasan dan penerangan beliau tentang konsep maslahah (kepentingan awam / kebajikan) dan Maqasid Al-Syariah (tujuan sebenar Syariah) menjadi rujukan karya kontemporari para ilmuan Fiqh masakini.

Imam Abu Ishaq As-Syatibi hidup pada era terjadinya banyak perubahan dalam Kerajaan Bani Ahmar, Granada pada abad ke – 14 melalui perkembangan politik, sosial, ekonomi dan pengaruh hukam – hakam Islam. Malahan pada zamannya juga berkembang pesat ilmu pengetahuan melalui para intelektual seperti Ibn Khaldun di Afrika Utara, Imam Ibnu Kathir, Badruddin Al-Zarkashi & Imam Taqiuddin As-Subki (Mesir), Imam Ibn Taimiyyah (Syam), Imam Ibn Rajab Al-Hambali (Baghdad), Imam Az-Dzahabi & Ibn Qayyim Al-Jauzi (Damsyik), Said Al-Taftazani (Khurasan) dan ramai lagi.

Ilmuan hebat yang lahir dari bumi Sepanyol ini, meninggal dunia pada 8 Syaaban 790H (1388M) di Granada dengan meninggalkan jasa yang amat besar dalam dunia Islam.

Semoga Allah Taala meredhai segala khidmatnya untuk Islam.
Wallahua’lam.
------------------------------------------------------------

JOM AMBIL IKTIBAR, HAI UMAT 💪

-ADMIN-

Andalus : Tamadun Islam yang Hilang

LIKE PAGE : https://www.facebook.com/MuslimAndalus/