Ahad

Hakikat Bermazhab adalah hakikat mengikut Quran dan Sunnah.

Hakikat Bermazhab adalah hakikat mengikut Quran dan Sunnah.

Bagus pemerhatian di bawah ni:

Mereka berkata: kamu  bermazhab kerana kamu seorang yg taksub!

Saya jawab: Tidak! saya bukan taksub. Saya berlindung dgn Allah drpd sifat taksub. Saya bermazhab hanyasanya kerana saya lihat bahwa mazhab-mazhab fiqh semuanya:

1) Musannadah (مسندة):
Mazhab-mazhab ini memiliki sanad sampai kepada Rasulullah saw. sehingga kesahihannya terjamin.

2) Mudallalah (مدللة):
Mazhab-mazhab ini memiliki landasan argumentasi/dalil. Dalil tersebut tidak hanya dalil disebutkan secara eksplisit saja, namun ada dalil yang implisit.

3) Muashshalah (مؤصلة):
Mazhab-mazhab ini memiliki metodologi berfikir yang terkodifikasikan dalam kitab-kitab usul fiqh, sehingga sangat tepat dan terukur dalam pengambilan dalil dari al-Quran dan Sunnah.

4) Makhdumah (مخدومة):
Mazhab-mazhab ini dikhidmah oleh ratusan bahwa ribuan ulama setelahnya, dari matan menjadi syarah dan dari syarah melahirkan hasyiah. Kemudian juga diberi taqrir dan tanbih, serta khidmah ilmiah lainnya. Ini juga memberikan jaminan akan kesahihan pemahaman keagamaan yang ada di dalam mazhab.

5) Muqa’adah (مقعدة):
Mazhab-mazhab ini memiliki kaedah-kaedah fiqh yang sangat rasional, seperti kitab “al-Asybah wan Nazoir” karya Imam Suyuti dalam mazhab Syafi'i, kitab “al-Asybah wan Nazoir” karya Ibnu Nujaim dalam Mazhab Hanafi, kitab “Ta’sisun Nazor” dalam Mazhab Maliki, dan kitab “Raudhatun Nadhir” dalam mazhab Hanbali.

6) Mumanhajah (ممنهجة):
Mazhab-mazhab ini memiliki manhaj berfikir yang jelas, detail dan tepat

7) Muttasiqah (متسقة):
Mazhab-mazhab ini memiliki tingkat amanah ilmiah yang sangat tinggi dalam menisbatkan sebuah pendapat kepada penuturnya, di dalamnya ada yang dikenal dengan qaul mukharraj dan ada juga yang disebut dengan qaul mansus.

8) Munfatihah (منفتحة):
Mazhab-mazhab ini memiliki cara berfikir yang elegan dan terbuka serta sangat toleran. Karena mempunyai kaedah-kaedah usul fiqh dan hal-hal yang bersifat kulli yang masih memungkikan generasi penerusnya untuk mengembangkannya sesuai dengan masalah-masalah kontemporari yang terjadi seiring perkembangan zaman.

Syeikh Dr. Amru Wardani 
- Ahli Darul Ifta' Mesir
- Pengajar Usul Fiqh di Masjid al-Azhar.

Statement ini dimuatkan dalam kitab Fawaid Makkiyah dan diquote oleh Dr Hapiz Kodiang dalam karyanya Ini Mazhabku beberapa tahun lalu

Iannya sebuah formulasi mazhabiy yang baik utk menjawab kepada golongan yang hijack mazhab atas nama Salafiyyah Wahhabiyah 

Isnin

RUQYAH SYAR’IYYAH SEBAGAI PERUBATAN KOMPLIMENTARI MEMBENDUNG PANDEMIK COVID-19

RUQYAH SYAR’IYYAH SEBAGAI PERUBATAN KOMPLIMENTARI MEMBENDUNG PANDEMIK COVID-19

Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia (DarusSalam) adalah persatuan yang berdaftar di bawah akta pertubuhan 1966 yang menjalankan perkhidmatan merawat pesakit dan penyakit serta masalah kerohanian semenjak ditubuhkan pada tahun 2005. 

Kaedah rawatan yang diaplikasi di DarusSalam diperakui Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) iaitu kaedah ruqyah syar’iyyah dengan membaca ayat-ayat al-Quran, zikir dan doa sebagai usaha dan ikhtiar merawat pelbagai penyakit berlandaskan hukum syarak. Firman Allah SWT: 

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya : Dan kami turunkan daripada al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman (Surah al-Isra’ ayat 82).

Ibnul Qayyim menyebut dalam kitab Zaadul Ma’ad “Surah al-Fatihah itu telah terkandung dalamnya dua jenis ubat, iaitu ubat hati dan ubat badan”. 

Ini bermakna ruqyah syar’iyyah  menepati konsep rawatan komplimentari bagi melengkapkan penyembuhan kepada sesuatu penyakit khasnya yang sukar diubati oleh perubatan moden seumpama COVID-19 yang sedang melanda dunia sekarang ini. Kaedah kombinasi antara ruqyah, doa dan bahan-bahan tertentu yang sesuai dengan penyakit juga digunakan di DarusSalam. 

Islam merupakan agama yang syumul. Agama yang memberi panduan kepada seluruh aspek kehidupan samada berkaitan keagamaan, pemerintahan, ekonomi,  kekeluargaan dan sebagainya. Agama Islam juga memberi panduan tentang kaedah dan cara merawat atau membendung sesuatu penyakit. 

Kaedah penjarakan serta larangan merentas negeri atau daerah yang dilaksanakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga merupakan kaedah membendung penyakit berjangkit yang telahpun diajar dalam agama Islam sejak 1400 tahun dahulu.

Sabda Rasulullah SAW: 
 وعن أسامة بن زيد رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ ‏ "‏إذا سمعتم الطاعون بأرض، فلا تدخلوها، وإذا وقع بأرض، وأنتم فيها، فلا تخرجوا منها‏"‏ ‏(‏‏‏متفق عليه‏)‏‏‏.‏
Maksudnya : Daripada Usamah Bin Zaid RA, Nabi SAW bersabda  : Apabila kamu mendengar wabak penyakit taun berlaku di sesuatu tempat maka jangan kamu pergi ke tempat itu, dan apabila (wabak taun) itu berlaku di tempat kamu, maka jangan kamu keluar dari kawasannya.”( Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadith Rasulullah SAW tersebut memberi kefahaman bahawa penjarakan merupakan satu kaedah Islam yang tuntas untuk meredakan sesuatu penyakit berjangkit.

Berkenaan saranan yang diutarakan Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, YB Hilmi Abdullah yang juga perawat DarusSalam agar pesakit COVID-19 dibenarkan untuk dirawat mengikut kaedah rawatan Islam adalah satu idea kreatif yang sangat baik untuk dikaji. 

DarusSalam menyambut baik saranan tersebut dan mengajak masyarakat untuk menilai secara positif, adil dan saksama. Bukanlah perkara asing dalam rawatan Islam jika diminta untuk merawat penyakit yang berkaitan dengan virus kerana pengamal atau perawat DarusSalam sering diundang oleh keluarga pesakit untuk melakukan ruqyah terhadap keluarga mereka yang terlantar di hospital dalam keadaan doktor belum mendapat keputusan yang jelas tentang sakit yang dihidapi. 

Bahkan DarusSalam juga turut merawat penyakit yang dikaitkan dengan jangkitan kuman oleh pihak doktor perubatan. Rawatan dilakukan atas permintaan daripada pesakit atau keluarga pesakit. Penyakit seumpama ketumbuhan, leukemia, gout, dan pelbagai penyakit fizikal yang lain turut dirawat secara ruqyah syar’iyyah berpandukan ilmu rawatan Islam DarusSalam yang diijazahkan oleh al-Marhum Tuan Guru Dato Ismail Kamus, pengasas dan penasihat DarusSalam.

Prinsip DarusSalam jelas dan mudah difahami, sesuai dengan pegangan akidah ahli sunnah wal-jamaah iaitu berusaha dan berikhtiar adalah tanggungjawab hamba manakala kesembuhan adalah anugerah Allah SWT. Oleh yang demikian, ditegaskan bahawa rawatan Islam sememangnya serasi ke atas pelbagai jenis penyakit.

Prinsip utuh ini meletakkan sesuatu yang bukan mustahil dan bukan perkara baharu jika rawatan Islam diminta untuk dilakukan ke atas pesakit COVID-19 kerana terbukti bahawa beberapa jenis penyakit berupaya sembuh dengan rawatan Islam yang tidak dapat dinafikan oleh mereka yang memiliki ilmu tentangnya. 

Perawat DarusSalam sendiri berpengalaman merawat penyakit-penyakit fizikal dan juga penyakit berkaitan virus yang akhirnya ternyata sembuh dengan izin Allah SWT. Rentetan itu, Persatuan DarusSalam berharap agar perubatan Islam perlu diberi perhatian serta diakui dan disambut baik sebagai perubatan komplimentari oleh Bahagaian Perubatan Tradisional dan Komplimentari (BPTK) juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Wakil DarusSalam juga menghadiri beberapa taklimat Akta PT&K (Akta 775) serta perbincangan bersama agensi jabatan agama untuk memastikan perubatan Islam ruqyah syari’yyah ini selari dengan kehendak (BPTK). Etika perawatan Islam dititikberatkan agar tidak mengelirukan masyarakat dalam memberi perkhidmatan yang terbaik dan berkesan kepada pesakit.

Bukan semua penyakit yang diruqyah itu sembuh sebagaimana bukan semua pesakit di hospital itu kembali sehat tetapi usaha mencari kesembuhan dalam bidang masing-masing amat dihargai masyarakat khasnya pesakit. Dalam masyarakat Islam, setiap muslim percaya bahawa perubatan Islam secara ruqyah syar’iyyah bersumberkan al-Quran dan hadith mempunyai keupayaan tersendiri dan mampu mencapai kesembuhan.  

Semua pihak perlu berlapang dada dan bersama-sama mengetengahkan perubatan Islam sebagai rawatan alternatif  yang bergerak seiring di tengah-tengah medan perubatan sebagai salah satu perubatan komplimentari yang sah dan diperakui bagi melengkapkan kesembuhan yang lebih sempurna terhadap sesetengah penyakit. 

DarusSalam Malaysia mengambil berat tentang etika perawat dan etika semasa merawat lebih-lebih lagi semasa pandemik COVID-19 agar ahli-ahli persatuan juga memikul tanggungjawab berusaha bersama-sama memutuskan pandemik ini. 

DarusSalam mengulangi pendirian bahawa pandemik COVID-19 adalah berpunca dari virus sepertimana kajian yang dilakukan pakar-pakar perubatan dan sekaligus menolak pandangan sebilangan pengamal atau bomoh yang mengatakan pandemic COVID-19 berpunca dari jin. 

Lantaran itu DarusSalam meletakkan dasar dan prinsip yang jelas kepada masyarakat iaitu sekiranya menghidapi sesuatu penyakit, maka keutamaannya ialah mendapatkan rawatan di hospital terlebih dahulu.  

Masyarakat hendaklah membuang sikap dan perasaan takut untuk ke hospital atau bertemu dengan doctor perubatan, sebaliknya lebih suka berjumpa bomoh dan dukun. Ini suatu perkara yang perlu dibendung dan diperbaiki dalam masyarakat. 

Pesanan al-Marhum Dato Ismail Kamus kepada perawat-perawat DarusSalam jika sekiranya pesakit datang meminta dirawat secara rawatan Islam atau ruqyah syar’iyyah, soalan pertama yang perlu ditanya kepada pesakit ialah: adakah pesakit telah pergi mendapatkan rawatan di hospital atau doktor perubatan?. Jika belum, dinasihatkan agar bertemu doktor perubatan atau pergi ke hospital atau ke klinik kesihatan terlebih dahulu kerana rawatan Islam dan ruqyah syar’iyyah adalah perubatan komplimentari kepada perubatan moden sepertimana perubatan tradisional dan komplimentari yang lain. 

Setiap individu muslim tidak boleh sama sekali meninggalkan perubatan moden dan tidak boleh menolak perubatan Islam kerana kedua-duanya seumpama melengkapi dan mencari kesembuhan yang lebih baik dikala berpadu dengan syarat dan panduan tertentu. Utamakan perubatan moden atau rawatan di hospital, disamping itu mendapatkan rawatan Islam sekiranya berlarutan agar kombinasi kedua-duanya mencapai kesembuhan yang lebih baik dan lebih padu. 

Akhirnya ditegaskan bahawa Persatuan DarusSalam berpandangan  perubatan Islam dan ruqyah syar’iyyah selayaknya diangkat selaras dengan perubatan komplimentari yang lain. DarusSalam bersedia bergerak seiring KKM untuk merawat pesakit-pesakit COVID-19 jika diberi peluang. Rawatan moden di hospital dengan segala pengawalan, pemantauan dan kajian terhadap pesakit diutamakan dan serentak dengan itu rawatan Islam turut diberikan kepada pesakit, mudah-mudahan Allah SWT anugerahkan kesembuhan yang lebih baik. 

“Ikhtiar, Doa Tawakkal”

Hj Abd Manaf Bin Jusoh
Pengerusi, Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia 
Tarikh: 1 Februari 2021 M | 19 Jamadil Akhir 1441 H