Isnin

HUKUM MENGANGKAT SUARA SEMASA ZIKIR SELEPAS SOLAT

HUKUM MENGANGKAT SUARA SEMASA ZIKIR SELEPAS SOLAT

IRSYAD FATWA MUFTI WP

IRSYAD AL-FATWA KE-107: HUKUM MENGANGKAT SUARA SEMASA BERZIKIR LEPAS SOLAT

Soalan:

Apakah hukum mengangkat suara ketika berzikir selepas menunaikan solat fardhu? Dan adakah afdal untuk dikuat atau diperlahankan zikir tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Telah sampai kepada meja kami banyak persoalan dan kerap juga isu seperti di atas ditanyakan. Tetapi, prinsip kami pada asalnya kurang berminat untuk membincangkan isu-isu khilafiyyah yang menjadi perbahasan ulama sejak dahulu lagi. Justeru, kami serahkan kepada tokoh-tokoh yang lain bagi menghuraikan dan membincangkannya. Tetapi oleh kerana isu ini telah menjadi polemik, maka kami dengan secangkir ilmu yang ada mengemukakan sedikit bahth ilmi dalam isu ini.

Tujuannya tidak lain dan tidak bukan, semata-mata untuk mencapai dan mendapatkan suatu natijah yang diredhai dalam agama kita ini, serta disulami dengan dalil dan wajah istidlalnya bagi perbincangan ini. Kami katakan:

Terdapat banyak dalil dan athar yang menunjukkan kepada disunatkan berzikir dengan bacaan yang kuat secara amnya dan selepas solat fardhu secara khasnya. Ianya juga telah disebutkan oleh ramai para masyaikh Islam dan para Imam mengenai disunatkan mengangkat suara ketika berzikir selepas menunaikan solat. Khilaf yang terdapat padanya adalah berkisar mengenai yang mana lebih afdal, sama ada diangkat suara ataupun diperlahankan dan bukannya dari segi asal pensyariatan.

Sebahagian ulama berpendapat mengatakan bahawa mengangkat suara ketika berzikir selepas menunaikan solat fardhu adalah menyelisihi sunnah dan dikira sebagai bid’ah di dalam agama. Pendapat initidak tepat kerana ianya menolak dalil-dalil dan athar serta mengingkari pendapat-pendapat ulama’.

Kami sertakan di sini dalil-dalil dan nas-nas yang menunjukkan kepada pensyariatan untuk mengangkat suara ketika berzikir selepas solat bagi melngkapkan lagi faedah perbincangan. Antaranya:

Hadith Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنَ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم‏.‏ وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إِذَا سَمِعْتُهُ‏.‏

Maksudnya: Sesungguhnya mengangkat suara ketika berzikir ketika selesai solat fardhu berlaku ketika zaman Nabi SAW. Berkata Ibn ‘Abbas: “Aku telah mengetahui bahawa solat telah selesai ketika aku mendengarnya (zikir yang dibaca dengan mengangkat suara)”.

Riwayat Al-Bukhari (841) & Muslim (583)

Dalam lafaz yang lain:

كُنَّا نَعْرِفُ انْقِضَاءَ صَلاَةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِالتَّكْبِيرِ

Maksudnya: Kami mengetahui bahawa  Rasulullah SAW telah selesai solat apabila mendengar takbir.

Al-Hafiz Ibn hajar al-‘Asqalani Rahimahullah mengatakan bahawa diketahui bahawa solat sudah selesai dengan mendengar zikir. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2/259).

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalamSyarh Sahih Muslim mengatakan: “Ini dalil yang dikatakan oleh sebahagian salaf bahawa sunat diangkat suara dengan takbir dan zikir selepas solat fardhu dan dikalangan mutaakhirin, Ibn Hazm juga mengatakan ia adalah sunat.”

Hadith Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

كُنَّا نَعْرِفُ انْقِضَاءَ صَلاَةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِالتَّكْبِيرِ

Maksudnya: Kami mengetahui bahawa  Rasulullah SAW telah selesai solat apabila mendengar takbir.

Riwayat Muslim (583)

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Secara zahirnya (Ibn ‘Abbas) tidak menghadiri solat berjamaah kerana pada waktu itu beliau masih kecil yang mana tidak ditugaskan untuk itu dan juga tidak menjadi kemestian buatnya. Maka Ibn ‘Abbas mengetahui selesainya solat dengan  mendengar zikir”. Kebarangkalian yang lain menyebut: “Mungkin boleh jadi beliau (Ibn ‘Abbas) hadir solat berjemaah namun berada di saf yang terakhir yang mana tidak diketahui tamatnya solat dengan salam namun mengetahuinya dengan takbir”.

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah pula mengatakan bahawa secara zahirnya Ibn ‘Abbas tidak menghadiri solat berjemaah pada sebahagian waktu kerana beliau masih kecil.

Al-Imam Muslim[1] di dalam sahihnya daripada hadith Ibn al-Zubair R.Anhuma bahawa beliau membaca di setiap pengakhiraan selepas solat:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ لَهُ النِّعْمَةُ وَلَهُ الْفَضْلُ وَلَهُ الثَّنَاءُ الْحَسَنُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ. وَقَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُهَلِّلُ بِهِنَّ دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ.

Kata yuhallilu (يُهَلِّلُ) di dalam hadith tersebut bermakna menguatkan suara yang mana daripadanya dikatakan juga dengan al-Ihlal fi al-Haj yang bermaksud mengangkat suara ketika bertalbiah. Kata yuhallilu ini dalil yang menunjukkan bahawa diangkat suara ketika berzikir.

Terdapat juga hadith-hadith yang banyak yang mana telah dikumpulkan oleh al-Imam al-Suyuti (sekitar 25 hadith) di dalam risalahnya yang berjudul “Natijah al-Fikr fi al-Jahr bi al-Zikr” yang mana di akhirnya menyebut: “Jika kamu amati apa yang terdapat daripada hadith-hadith, kamu akan mengetahui dari himpunan itutidak ada kemakruhan langsung dalam menguatkan suara ketika berzikir bahkan padanya menunjukkan disunatkan untuk menguatkan suara sama ada secara jelas ataupun secara iltizami (berterusan) seperti mana yang telah kami tunjukkan”.

Al-Imam al-Aalusi berkata: “Maka sesungguhnya telah sahih dan tidak lebih dari 20 hadith meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW banyak menguatkan suaranya ketika berzikir,  sehingga telah menulis al-Syeikh Ibrahim al-Kurani Rahimahullah dalam tahqiq permasalahan ini dua risalah yang mana pertamanya dinamakan “Nathar al-Zahr fi al-Zikr bi al-Jahr” dan keduanya dinamakan “Ithaaf al-Munib al-Awwaah fi Fadhli al-Jahr bi Zikrillah”. (Lihat Ruuh al-Ma’aani, 16/147-148)

‘Atiyyah bin Qays berkata: “Adalah manusia berzikir kepada Allah SWT ketika terbenam matahari, mengangkat suara-suara mereka dengan berzikir. Jika suara mereka direndahkan, Umar bin al-Khattab mengutuskan seseorang untuk diulangi (menguatkan kembali) zikir tersebut”.(Dikeluarkan oleh al-Firyabi di dalamKitab al-Zikr)

Telah diriwayatkan oleh Ibn Sa’ad di dalam (thabaqatnya) dengan sanadnya daripada Umar bin Abd Aziz, bahawa beliau bertakbir : “Allahu akbar wa lillahi al-Hamd ( الله أكبر ولله الحمد )-sebanyak tiga kali-pada setiap akhir solat”.

Antara ulama yang berpendapat bahawa sunat meninggikan suara ketika berzikir selepas solat ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Jarir al-Thabari, Ibn Hazm al-Zahiri, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyahdan ramai lagi yang tidak terhitung bilangannya.

Telah berkata Ibn Hazim RA:“Meninggikan suara ketika bertakbirselepas setiap solat adalah satu perkara yang baik”.

Al-Bahuti di dalam “Kasyyaf al-Qina”,(1:336) telah berkata: daripada Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah bahawa sunat meninggikan suara. Telah berkata al-Syeikh (Ibn Taimiyyah): “Disunatkanmeninggikan suara ketika bertasbih, tahmid, takbir selepas setiap kali solat”.

Al-Qadhi Abu Ya’la telah berkata di dalam“al-Jami’ al-Kabir”: Berdasarkan zahir perkataan Ahmad: “Sesungguhnya ia (meninggikan suara ketika berzikir) adalah disunatkan untuk imam meninggikan suara ketika berzikir dan berdoa setiap kali solat agar didengari oleh ma’mum dan tidak boleh melebihi daripada itu.”

Al-Hafiz Ibn Rejab berkata: “Beliau telah menyebut beberapa nas-nas daripada Ahmad yang menunjukkan bahawa beliau meninggikan suara dalam beberapa jenis zikir dan merendahkan suara ketika berdoa. Ini adalah “al-Azhar”. Dan ini tidak hanya dikhususkan untuk imam kerana di dalam hadis Ibn Abbas zahirnya menunjukkan bahawa ma’mum juga meninggikan suara juga.”

Dan menunjukkan ke atasnya juga, apa yang telah ditakhrijkan (dikeluarkan) oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya daripada hadis Ibn Abdillah al-Zubair RA seperti yang kami nyatakan di awal. Ibn Rejab al-Hanbali berkata: “Sesungguhnya sahabat-sahabat Rasulullah SAW meninggikan suara ketika berzikir selepas solat sehingga didengari sesiapa yang berada di sisinya.”

Imam al-Nasa’ie telah mengeluarkan hadith di dalam “Amal al-Yaum wa al-Lailah” daripada riwayat Aun bin Abdillah bin Utbah, telah berkata: Telah solat seorang lelaki di tepi Abdullah bin Amr bin al-Ash, maka dia (lelaki tersebut) mendengar ketika Abdullah bin Amr memberi salam, beliau berkata: “Antas salam wa minkas, salam tabarakta ya zal jalali wal ikram”. Kemudian lelaki tersebut juga solat di tepi Abdullah bin Umar maka dia (lelaki tersebut) mendengar perkataan yang sama diucapkan ketika Abdullah bin Umar memberi salam sepertimana yang diucapkan oleh Abdullah bin Amr. Maka lelaki tersebut ketawa, maka telah berkata Ibn Umar kepadanya: Apa yang membuatmu ketawa? Lelaki tersebut berkata: Sesungguhnya aku telah solat bersama Abdullah bin Amr dan aku telah mendengar apa yang diucapkan itu sepertimana yang kamu ucapkan. Telah berkata Ibn Umar: Adapun Rasulullah SAW mengucapkan yang sedemikian juga.

Ditanya Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin RA akan hukum masalah ini, maka beliau menjawab: “Meninggikan suara ketika berzikir selepas solat fardhu adalah sunnah.Telah menunjukkan akan hal tersebut apa yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada hadis Abdullah bin Abbas RA bahawa meninggikan suara ketika berzikir apabila manusia telah selesai daripada solat fardhu telah ada di zaman Rasulullah SAW. Telah berkata: (Aku mengetahui bahawa mereka telah selesai daripada solat itu kerana aku mendengarnya). Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dan Abu Daud. Di dalam al-Sahihayn daripada hadis al-Mughirah bin Syu’bah RA telah berkata: Aku telah mendengar Nabi SAW bersabda ketika selesai daripada solat: (la ilaha illa Allah wahdahu la syarika lah)..al-hadis, tidak akan didengar apa yang diungkapkan itu melainkan jika ditinggikan suara oleh pengungkap kata-kata tersebut.

Telah memilih meninggikan suara oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan sekumpulan daripada salaf (golongan terdahulu) dan khalaf (golongan kemudian) berdasarkan dua hadis ini iaitu hadis Ibn Abbas dan hadis al-Mughirah RA. Meninggikan suara adalah umum pada setiap kali zikir yang dituntut selepas setiap kali solat samada tahlil, tasbih, takbir, tahmid berdasarkan umum hadis Ibn Abbas R.Anhuma dan tidak ada daripada Nabi SAW perbezaan antara tahlil dan zikir yang lain. Bahkan apa yang ada pada hadis Ibn Abbas bahwasanya mereka mengetahui selesai Nabi SAW bersolat dengan bertakbir. Dengan ini, diketahui menjawab terhadap golongan yang mengingkari tidak boleh meninggikan suara ketika bertasbih, bertahmid dan bertakbir.

Adapun yang mengatakan meninggikan suara itu adalah bid’ah, sebenarnya mereka telah tersalah bagaimana sesuatu yang dilakukan ketika zaman Rasulullah SAW itu bid’ah. Al-Syeikh Sulaiman Sahman Rahimahullah berkata: Telah thabit (ada) akan hal tersebut daripada Rasulullah SAW melalui perbuatannya dan juga ikrarnya akan hal tersebut. Selain itu, para sahabat RA melakukan hal tersebut ketika zaman Nabi SAW selepas mereka diajar olehnya dan mereka juga mengikrar hal tersebut berdasarkan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada mereka. Mereka melaksana dan mengikrar akan hal tersebut kerana amalan datang selepas daripada mengetahuinya dan baginda SAW tidak mengikarinya ke atas mereka.

Hujah & Dalil Pihak Yang Tidak Bersetuju Mengangkat Suara Ketika Berzikir

Adapun hujah-hujah golongan yang tidak bersetuju meninggikan suara berdasarkanPertama: Firman Allah SAW:

وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِي نَفۡسِكَ تَضَرُّعٗا وَخِيفَةٗ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأٓصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡغَٰفِلِينَ

Maksudnya: “Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang”.

(Al-A’raaf: 205)

Maka kami katakan kepada mereka: Sesungguhnya apa yang diperintahkan agar berzikir kepada Allah SWT dalam keadaan merendah diri dan tidak meninggikan suara adalah kepada orang yang berzikir selain daripada solat fardhu. Adakah orang yang menggunakan hujah ini mengetahui kehendak Allah SWT dan Rasulullah SAW ataupun Rasulullah SAW mengetahui kehendak-Nya tetapi baginda SAW mengingkarinya. Selain itu, ayat yang menyatakan berzikir pada waktu pagi dan petang adalah tidak menunjukkan zikir selepas daripada solat. Tambahan pula, golongan yang mengingkari meninggikan suara menggunakan hadis Nabi SAW: (Wahai manusia rendahkanlah suara kalian…)...al-hadis.

Dan orang yang mengatakan: (Wahai manusia rendahkanlah suara kalian…) adalah meninggikan suara ketika berzikir selepas daripada solat fardhu. Ini mempunyai tempat dan itu juga mempunyai tempatnya. Sebaik-baik ikutan adalah menggunakan setiap nas-nas pada tempatnya.

Kemudian, adalah konteks sabda Baginda SAW: “Berpadalah pada diri kalian”menunjukkan bahawa para sahabat meninggikan suara terlalu kuat dan menyusahkan diri mereka. Oleh sebab itu, Nabi bersabda: “Berpadalah pada diri kalian.”Maksudnya: Berpadalah kalian padanya dan jangan terlalu berpayah. Dan masyaqqah dan kepayahan ini tidak ditemui dalam menguatkan suara dalam berzikir selepas solat.

Kedua: Adapun mereka yang berkata: menguatkan zikir menyebabkan kekeliruan.

Maka dijawab: Jika engkau maksudkan bahawa perbuatan itu mengganggu sesiapa yang tidak biasa degan keadaan itu, maka seorang mukmin sepatutnya apabila sudah terang baginya bahawa berzikir dengan jahar ini merupakan sunnah, maka hilanglah daripadanya gangguan dan keliru.

Jika engkau maksudkan bahawa hal itu mengganggu orang yang bersolat;

Jika tiada dalam kalangan orang-orang yang bersolat itu seseorang yang masbuk, yang menyelesaikan (rakaat) apa yang luput, maka tiada orang akan terganggu dengan zikir secara jahar, seperti yang berlaku secara realiti, kerana semua terlibat (dalam keadaan yang sama).(Namun) jika terdapat dalam kalangan mereka seseorang yang masbuk, yang sedang menyelesaikan (solatnya), (maka diambil kira) jika dia berada dekat dengan anda yang mana boleh mengganggu dia (dengan zikir jahar) maka janganlah anda meninggikan suara sehingga mengganggunya supaya anda tidak mengganggunya dalam solat, (tetapi) jika dia berada jauh daripada anda, maka tidak ada gangguan terhasil jika anda meninggikan suara ketika berzikir.

Apa yang telah kami sebutkan jelas menunjukkan bahawa perbuatan mengangkat suara ketika berzikir dalam sunnah selepas setiap solat yang difardukan, dan tidak ada yang menentang perkara ini, sama berdasarkan nas yang sahih dan penelitian yang jelas.

Dan berkata Syeikh juga: “Ini kerana suara-suara, jika serentak bercampur antara satu sama lain, maka hilanglah bentuk gangguan. Ini seperti mana yang dapat dilihat sekarang ini pada hari Jumaat bila mana manusia beramai-ramai membaca al-Quran secara jahar, lalu datang seseorang dan bersolat. Demikian itu tidak mendatangkan gangguan (kepada orang yang bersolat). “

Kata beliau lagi – Rahimahulah -: “Maka yang penting bahawa pendapat yang rajih ialah disunatkan dalam Syariat untuk berzikir di hujung solat, dan disunatkan juga mengangkat suara ketika berzikir, dengan kadar yang tidak mengganggu. Jika mengganggu maka tidak dibenarkan. Inilah yang berlaku seperti di zaman Rasulullah SAW apabila manusia mengangkat suara mereka ketika pulang daripada Khaibar, lalu Baginda menegur: “Wahai manusia! Bertimbang rasalah ke atas diri kamu.” Maka maksud mengangkat suara ialah mengangkat pada kadar yang tidak menyebabkan kesukaran dan gangguan.

Berkata Syeikh Ibn Uthaimin juga: “Sunnah hukumnya, menjaharkan zikir ini selepas solat. Telah sabit daripada Ibn Abbas R.anhuma  bahawa beliau mengetahui orang ramai telah selesai solat pada zaman Rasulullah SAW dengan mendengar suara mereka.” Inilah dalil sunatnya mengangkat suara ketika berzikir, berbeza dengan apa yang dilakukan sebahagian besar manusia hari ini yang hanya berzikir secara perlahan, dan ada pula dalam kalangan manusia yang menguatkan bacaan tahlil tetapi memperlahankan tasbih, tahmid dan takbir. Aku tidak mengetahui asal bagi perkara ini di dalam sunnah perbuatan membezakan (nada bacaan mengikut jenis) ini dan itu. Adapun sunnah ialah dengan mengangkat suara.

Ketiga: Sebahagian ulama berkata: Bahawa Rasulullah SAW menguatkan suara kerana ingin mengajar sahaja.

Ini sebenarnya tertolak, kerana bentuk pengajaran Nabi SAW ialah dengan menggunakan perkataan (dan bukan dengan perbuatan) seperti mana yang disebut Baginda SAW kepada golongan fakir daripada Muhajirin: “Hendaklah kami bertasbih, bertahmid, dan bertakbir selepas solat sebanyak tiga puluh tiga kali.”

Justeru, kita mengatakan: Anggaplah bahawa maksud perbuatan Nabi itu ialah mengajar, maka nabi juga mengajar asal suatu doa, atau asal suatu zikir, dalam sifatnya tersendiri. Justeru, Rasul SAW telah mengajar kita zikir dengan asalnya dan sifatnya iaitu dengan mengangkat suara. Keadaan Rasulullah SAW melazimkan diri dalam bentuk ini menunjukkan bahawa perkara ini sunnah, jika Rasulullah SAW mengangkat suara semata-mata kerana ingin mengajar nescaya setelah Baginda SAW mengajar manusia, Baginda akan berhenti (daripada berzikir secara kuat).

Rujuk Majmu’ Fatawa wa Rasail oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Jilid ketiga belas.

Keempat: Jika engkau berkata: Telah dinukilkan daripada Ibn Mas’ud RA bahawa dia melihat suatu kaum yang bertahlil sambil mengangkat suara di dalam masjid lalu dia berkata: Aku tidak melihat melainkan golongan ahli bidah. Lalu di mengeluarkan mereka daripada masjid itu.

Dijawab: Athar ini daripada Ibn Mas’ud Memerlukan kepada penerangan sanadnya, dan siapa yang mentakhrijkannya daripada kalangan huffaz hadis ummah dalam karangan-karangan mereka, jika benarlah sabitnya maka ia bertentangan dengan sekalian banyak hadis yang sabit seperti yang telah dikemukakan lalu, dan hadis-hadis itu diutamakan ke atas hadis yang satu ini jika berlaku pertentangan, kemudia aku melihat adaperkara yang menunjukkan hadis yang satu itu bertentangan dengan pendapat Ibn Mas’ud juga.

Berkata Imam  Ahmad bin Hanbal dalam kitab Zuhud: Telah menghadiskan kepada kami Hussein bin Muhammad , (kata beliau) telah menghadiskan kepada kami al-Mas’udi daripada ‘Amir bin Syaqiq daripada Abi Wa’il dia berkata: sekalian orang yang menyangka bahawa Ibn Mas’ud telah menghalang daripada berzikir, (ketahuilah) bahawa aku tidak pernah duduk bersama beliau dalam satu majlis melainkan Ibn Mas’ud berzikir di dalamnya.

Telah berkata al-Allamah al-Alusi: Apa yang telah disebutkan daripada suatu peristiwa-peristiwa daripada Ibn Mas’ud bahawa dia melihat suatu kaum yang bertahlil sambil mengangkat suara di dalam masjid lalu berkataa: Aku tidak melihat melainkan kaum ahli bidaah, sehinga dia menghalau mereka daripada masjid, hal ini tidak sahih di sisi para huffaz daripada imam-imam muhaddisin. Jika sahih hadis ini, maka ia bertentangan dengan sekalian hadis yang menunjukkan sabitnya mengangkatkan suara di sisi Ibn Mas’ud RA seperti mana yang telah diriwayatkan oleh bukan hanya seorang daripada para huffaz ataupun ditanggung larangan beliau itu pada mengangkat suara yang terlalu kuat.

Adapun larangan Nabi SAW daripada mengangkat suara ketika berzikir, sebenarnya maksudnya ialah: Melampau-lampau pada mengangkat suara, salah seorang daripada para sahabat telah menyeru dengan suara yang sangat kuat: Tiada tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar!. Lalu Rasulullah SAW bersabda:  kasihanilah diri kalian kamu semua tidak menyeru Zat yang pekak dan ghaib. Baginda menunjukkan dengan tangannya agar mereka tenang da memperlahankan suara. [Telah ditakhrijkan hadis ini Imam Ahmad sebahagian daripada lafaz ini.]

Telah berkata Ibn Rajab: Adapun perkataan Ibn Sirin Rahimahullah: Dimakruhkan mengangkat suara kecuali pada dua keadaan: Azan dan talbiah. Maksudnya – Allah lebih mengetahui -: Melampau-lampau dalam mengangkat suara, seperti muazzin dan orang yang bertalbiah.

Al-Suyuthi ada menyebutkan ucapan yang menyeluruh dalam isu ini. Kami sertakan ucapan beliau tersebut di sini secara panjang lebar. Kata beliau rahimahullah:

Sesungguhnya telah warid hadis-hadis yang menunjukkan kepada keharusan berzikir secara jahar (kuat). Demikian juga telah warid hadis-hadis yang menunjukkan keharusan berzikir secara sirr (perlahan). Cara untuk menggabungkan di antara keduanya adalah dengan menyatakan bahawa yang demikian itu berbeza mengikut perbezaan individu dan juga keadaan. Di sini aku akan menjelaskan perkara tersebut secara satu persatu. Kemudian beliau menyebutkan hadis-hadis yang berkaitan secara keseluruhannya.

Kata beliau: Apabila kamu meneliti hadis-hadis yang telah kami sebutkan, nescaya kamu akan tahu bahawa tidak ada sebarangkarahah (kemakruhan) langsung untuk berzikir secara jahar. Bahkan padanya terdapat petunjuk yang membawa kepada sunatnya amalan tersebut. Sama ada secara jelas ataupun secara iltizam.

Adapun membantah perbuatan zikir secara jahar dengan menggunakan hadis : “Sebaik-baik zikir adalah secara perlahan” maka ia sama seperti membantah hadis-hadis yang menunjukkan bolehnya membaca al-Quran secara jahar dengan hadis: “Orang yang membaca al-Quran secara perlahan sama seperti orang yang melakukan sedekah secara sembunyi”. Al-Nawawi telah menghimpunkan di antara keduanya dengan berkata: Perlahankan bacaan lebih afdhal ketika seseorang takutkan riya’, ataupun membaca secara kuat akan mengganggu orang yang solat atau tidur. Manakala di tempat selainnya bacaan secara kuat adalah lebih afdhal. Kerana beramal pada bacaan yang jahar itu lebih banyak. Faedahnya juga lebih sampai kepada orang yang mendengar. Bacaan secara jahar dapat mengejutkan al-Qari’, membawanya untuk berfikir, menghalangnya dari tidur, dan seterusnya menambahkan kesungguhannya dalam beribadah.

Kelima: Kata sebahagian mereka: Disunatkan bacaan secara jahar dalam sebahagian pembacaan manakala diperlahankan bacaan pada bahagian yang lain. Ini kerana orang yang membaca secara perlahan boleh jadi merasa jemu lalu dia berasa tenang dengan membaca secara jahar. Orang yang membaca secara jahar pula boleh jadi berasa berat atau penat lalu dia berehat dengan membaca secara perlahan. Demikianlah kita katakan pada bab zikir berdasarkan perincian ini. Oleh itu kita dapat menggabungkan di antara hadis-hadis.

Sekiranya kamu katakan: Allah S.W.T berfirman:

وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِي نَفۡسِكَ تَضَرُّعٗا وَخِيفَةٗ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ

Maksudnya: Dan sebutlah nama Tuhan kamu dalam keadaan rendah diri dan juga perlahan tanpa menguatkan suara.

Surah Al-A’raaf : 205

Aku katakan: Ada tiga pendapat untuk menjawab hal ini:

Pertama: Ayat ini adalah ayat Makkiyyah sama seperti ayat di dalam surah al-Isra’:

وَلَا تَجۡهَرۡ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتۡ بِهَا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menjaharkan solat kamu dan janganlah pula kamu perlahankannya.

(Surah al-Isra : 110)

Ayat ini diturunkan ketika Nabi S.A.W membaca al-Quran secara jahar, kemudian ia didengari oleh kaum Musyrikin lalu mereka pun mencerca al-Quran dan siapa yang menurunkannya. Maka baginda diperintahkan untuk meninggalkan bacaan secara jahar sebagai sadd al-zariah(menutup jalan yang boleh membawa kepada cercaan). Sebagaimana dilarang mencerca berhala-berhala seperti firman Allah:

وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَيۡرِ عِلۡمٖۗ

Maksudnya: Dan janganlah kalian mencerca apa-apa yang mereka seru selain dari Allah maka kelak mereka akan mencerca Allah dengan permusuhan tanpa ilmu.

(Surah al-An’aam : 108)

Dan makna seperti ini sudah hilang dan tiada lagi. Demikian Ibn Kathir juga turut mengisyaratkan tentang hal ini di dalam tafsirnya.

Kedua: Sesungguhnya sekumpulanmufassirin di antaranya: Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam yang merupakan guru kepada Imam Malik, demikian juga Ibn Jarir al-Thabari menyatakan ayat ini ditujukan kepada orang yang berzikir dalam keadaan membaca al-Quran. Ia merupakan perintah kepadanya untuk berzikir dalam cara ini sebagai tanda memuliakan al-Quran dari ditinggikan suara padanya. Ini dikuatkan lagi dengan hubungannya dengan firman Allah:

وَإِذَا قُرِئَ ٱلۡقُرۡءَانُ فَٱسۡتَمِعُواْ لَهُۥ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

Maksudnya: Dan apabila dibacakan al-Quran maka dengarlah kepadanya dan hendaklah kalian diam mudah-mudahan kalian mendapat rahmat.

(Surah al-A’raaf : 204)

Aku katakan: Seakan-akan ketika mana diperintahkan untuk diam, ditakuti kesan dari itu akan menyebabkan berterusannya ia tidak dilakukan. Lalu diberi peringatan kepadanya – sekalipun dia diperintahkan untuk diam melalui lisan – akan tetapi tanggungjawab berzikir di dalam hati itu tetap kekal. Sehinggalah ia tidak lalai dari mengingati Allah. Oleh kerana itulah ayat itu diakhiri dengan firman-Nya:

وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡغَٰفِلِينَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu menjadi dari kalangan orang-orang yang lalai.

(Surah al-A’raaf : 205)

Ketiga: Seperti yang disebutkan oleh golongan Sufi bahawa perintah dalam ayat tersebut khas untuk Nabi S.A.W yang sempurna lagi menyempurnakan. Adapun selain baginda yang merupakan golongan yang was-was lagi selalu berfikiran kotor maka dia diperintahkan untuk menjaharkan bacaan kerana itu akan lebih memberi kesan untuk menghilangkan perkara tersebut.

Aku katakan: Pendapat ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang dikeluarkan oleh al-Bazzar daripada Muaz bin Jabal R.anhubeliau berkata. Rasulullah S.A.W bersabda: Sesiapa yang solat dari kalangan kalian pada waktu malam hendaklah dia menjaharkan bacaannya. Kerana malaikat solat dengan solatnya dan mendengar bacaannya. Dan sesungguhnya golongan mukmin dari kalangan jin yang berada di udara, jiran-jirannya yang bersamanya di rumahnya juga turut solat dengan solatnya dan mendengar bacaannya. Sesungguhnya bacaannya secara jahar dapat menghalau golongan jin yang fasiq serta syaitan-syaitan yang jahat dari rumahnya dan rumah-rumah sekitarnya.

Sekiranya kamu katakan: Allah telah berfirman:

ٱدۡعُواْ رَبَّكُمۡ تَضَرُّعٗا وَخُفۡيَةًۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ

Maksudnya: Berdoalah kalian kepada Tuhan kalian dalam keadaan rendah diri dan perlahan sesungguhnya Dia tidak suka orang yang melampaui batas.

Surah Al-A’raaf : 55

Dan kalimah i’tidaa’ ditafsirkan dengan perbuatan jahar dalam berdoa.

Aku katakan: Jawapan bagi hal ini ada dua pandangan:

Pertama: Yang rajih dalam tafsirnya adalah seseorang itu melebihi apa yang diperintahkan. Ataupun seseorang itu mereka cipta doa yang tidak ada asalnya di dalam syarak. Ia dikuatkan lagi dengan apa yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dan juga al-Hakim di dalam al-Mustadrak dan beliau mensahihkannya, daripada Abu Nu’amah bahawa Abdullah bin Mughaffal mendengar anaknya berkata: Ya Allah aku mohon kepada-Mu istana putih di bahagian kanan Syurga. Lalu beliau berkata: Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: Akan muncul dalam kalangan umat ini suatu kaum yang melampau dalam berdoa.

Dan ini merupakan tafsiran dari seorang Sahabat yang mana beliau lebih tahu akan maksud i’tidaa’.

Kedua: Mengikut taqdir yang lebih selamat. Ayat ini merujuk kepada doa dan bukannya kepada zikir. Dan doa secara khususnya ia lebih afdhal dibaca secara perlahan kerana itu lebih dekat dengan kemustajaban. Oleh kerana itulah Allah berfirman:

إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُۥ نِدَآءً خَفِيّٗا

Maksudnya: Ketika dia (Zakaria) menyeru Tuhannya dengan seruan yang perlahan.

(Surah Maryam: 3)

Oleh yang demikian, disunatkan bacaan secara perlahan ketika isti’azah di dalam solat secara ittifaq kerana ia adalah doa.

Sekiranya anda katakan: Sesungguhnya telah dinukilkan daripada Ibn Mas’ud R.anhubahawa beliau melihat sebuah kaum bertahlil dengan meninggikan suara di dalam masjid lalu beliau berkata: Tidaklah aku melihat kalian melainkan dari kalangan ahli bidaah sehingga mengeluarkan mereka dari masjid.

Aku katakan: Athar daripada Ibn Mas’ud ini berhajat kepada penjelasan berkenaan sanadnya serta siapakah yang mengeluarkan athar ini dari kalangan imam-imam yang huffaz di dalam kitab-kitab mereka. Jika ia sabit sekalipun, ianya bercanggah dengan kebanyakan hadis-hadis terdahulu yang telah disebutkan dan kesemuanya itu diutamakan ketika berlakunya percanggahan.

Kemudian aku melihat apa yang membawa kepada pengingkaran hal tersebut daripada Ibn Mas’ud. Kata Imam Ahmad bin Hanbal rhm di dalam kitab al-Zuhd: Daripada Abu Wa’il beliau berkata: Mereka yang menyangka bahawa Abdullah pernah melarang dari berzikir. Tidak pernah sekalipun aku bermajlis dengan Abdullah di dalam suatu majlis melainkan beliau berzikir kepada Allah di dalamnya.

Dan Ahmad mengeluarkan satu riwayat di dalam kitabnya al-Zuhd daripada Thabit al-Bunani beliau berkata: Sesungguhnya ahli zikrullah duduk berzikir kepada Allah dengan dosa-dosa yang mereka bawa seperti bukit-bukit. Sesungguhnya mereka melakukan zikir kepada Allah maka tidak tinggal sedikitpun dari dosa-dosa itu atas diri mereka.

Lihat : Al-Hawi Lil Fatawi, al-Suyuthi 1/394.

Telah berkata al-Allamah al-Kabir al-Syeikh Mahmud al-Alusi di dalam tafsirnya ketika mengulas firman Allah S.W.T:

وَإِن تَجۡهَرۡ بِٱلۡقَوۡلِ فَإِنَّهُۥ يَعۡلَمُ ٱلسِّرَّ وَأَخۡفَى

Maksudnya: Sekiranya kamu menguatkan suara maka Dia itu mengetahui yang perlahan dan tersembunyi.

(Surah Taha : 7)

Dikatakan: Dilarang menjaharkan suara ketika berzikir dan berdoa. Ini berdasarkan firman Allah:

وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِي نَفۡسِكَ تَضَرُّعٗا وَخِيفَةٗ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ

Maksudnya: Dan berzikirlah kepada Tuhanmu di dalam diri kamu dengan rendah diri dan perlahan tanpa menguatkan suara.

(Al-A’raaf 205)

Dan kamu ketahui bahawa ucapan: “Menjaharkan zikir dan doa adalah dilarang”. Tidaklah dimaksudkan ia berlaku secara mutlaknya.

Seperti yang dinaskan oleh Imam al-NawawiR.anhu di dalam fatwa-fatwanya adalah: Menjaharkan zikir ketika tidak ada perkara yang menghalang dari sudut syarak adalah merupakan suatu perbuatan yang disyariatkan lagi disunatkan. Bahkan itu lebih afdhal berbanding memperlahankannya di sisi mazhab Imam al-Syafie dan ia merupakan zahir mazhab Imam Ahmad bahkan ia juga merupakan salah satu pendapat Imam Malik sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari. Ia merupakan pendapat al-Qadhi Khan di dalam fatwa-fatwanya ketika menterjemahkan permasalahan-permasalahan yang berkaitan dengan cara pembacaan. Dan ucapan beliau di dalam bab memandikan mayat: “Dimakruhkan mengangkat suara ketika berzikir”. Maka yang zahirnya ini ditujukan kepada mereka yang mengiringi jenazah sebagaimana pendapat mazhab Syafie. Bukanlah makruh secara mutlak.

Al-Alusi berkata lagi: Sebahagian muhaqqiqintelah memilih bahawa yang dimaksudkan dengan ‘tanpa jahar’ itu adalah tanpa jahar yang melampau ataupun melebihi kadar yang diperlukan. Maka jahar hendaklah secara sederhana. Jahar dalam kadar yang diperlukan adalah suatu yang diperintahkan. Telah sahih lebih daripada 20 hadis dari Nabi S.A.W yang menunjukkan baginda tidak menjaharkan suara ketika berzikir. Telah sahih juga dari Abu al-Zubair R.anhu bahawa beliau mendengar Abdullah bin al-Zubair berkata: Rasulullah S.A.W apabila selesai memberi salam dari solatnya baginda menyebut dengan suara yang tinggi:

لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير  لا حول ولا قوة إلا بالله  ولا نعبد إلا إياه  له النعمة وله الفضل وله الثناء الحسن

Dan al-Syeikh Ibrahim al-Kurani rahimahullahada menulis berkenaan isu ini sebanyak dua risalah yang dinamakan: Nathr al-Zahr fi al-Zikr bil-Jahr. Keduanya: Ithaf al-Munib al-Awwaah Bifadhli al-Jahr Bizikrillah.

Lihat: Ruh al-Ma’aniy, Al-Aluusi 16/147-148.

Semoga pencerahan ini dapat emuaskan hati kita dalam memahami nas dan dalil daripada Al-Quran dan al-Sunnah mengikut kefahaman ulama yang muktabar.

Walahua`lam.

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
8 April 2016 bersamaan 30 Jamadilakhir 1437H

[1] Dikeluarkan oleh al-Imam Muslim di dalam Sahihnya. Kitab al-Masajid wa mawadi’I al-Solah. Bab Istihbab al-Zikr ba’da al-Solah wa Bayaan Sifatihi. No. Hadith (594).