Isnin

Tuan Guru Haji Din Canai Intan, Bagan Tiang ( 1900 - 1980 )

Alhamdulillah lama dah berhajat untuk ziarah makamnya di Kampung Bagan Tiang, Parit Buntar setelah membaca kisahnya 4 tahun lepas. Hari ini Allah Taala izinkan.

Tuan Guru Haji Din Canai Intan, Bagan Tiang ( 1900 - 1980 )

Oleh : Tengku Yusuff 

Nama penuh tokoh ulama kawasan Bagan Tiang, Parit Buntar ini ialah Tuan Guru Haji Mahyuddin Bin Abdullah dan beliau dilahirkan pada tahun 1900 di Kampung Sungai Megat Aris, Bagan Tiang, Parit Buntar, Perak.

Allahyarham adalah anak yang keempat dari 5 orang adik beradik. Beliau dibesarkan di dalam kehidupan yang sederhana oleh kedua ibu bapanya.

Beliau telah berkahwin dengan Hajah Zainab Binti Haji Man, dan hasil perkahwinan ini mereka dikurniakan 3 orang cahaya mata, iaitu :

1. Abdul Halim
2. Khalijah
3. Haji Abdul Rahman 

Tuan Guru Haji Mahyuddin memulakan alam pembelajaran dengan memasuki Sekolah Rendah Sungai Megat Aris, Parit Buntar, Perak. Beliau kemudian meneruskan pembelajaran menengahnya dengan berguru dengan beberapa orang ulama-ulama terkenal ketika itu seperti Tuan Guru Haji Bakar Jusoh dan Tuan Guru Haji ljoh Banjar.

Selepas beberapa tahun, beliau kemudiannya menyambung pelajarannya ke tanah suci Mekah al-Mukaramah membawa isterinya selama lebih kurang 7 tahun berguru di antaranya dengan Syeikh Ahmad Hijazi yang digelar "Syeikhul Maqori".

Setelah beberapa lama, Allahyarham berada dan belajar di Mekah, akhirnya beliau pulang ke tanah air pada tahun 1935 kerana isterinya ingin melahirkan anak mereka yang ketiga di Perak. Setelah pulang beliau telah dilantik memegang jawatan Guru Pelawat Ugama Hilir Perak.

Allahyarham mempunyai keistimewaan mempunyai suara yang lunak dan merdu. Keistimewaan beliau miliki ini membuatkan setiap tahun apabila menjelang Ramadhan, Allahyarham diundang ke Istana Iskandariah, Bukit Chandan oleh Almarhum Sultan Abdul Aziz untuk memperdengarkan suaranya membaca al-Quran. 

Oleh kerana keunikan suaranya dan kehebatan beliau dalam mendendangkan ayat suci al-Quran, baginda sultan memberinya gelaran "Canai Intan". Gelaran tersebut dinisbahkan padanya kerana apabila seseorang tukang ingin membentuk atau mencanai intan permata, mereka akan memperhalusi dengan lembah lembut supaya kualitinya menjadi terbaik. Begitulah yang diibaratkan kepada Allahyarham Tuan Guru Haji Mahyuddin. Dari situlah beliau digelar dengan nama "Haji Din Canai Intan".

Tan Sri Dato' Haji Hassan Azahari dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman @ Haji Man Mathaluhum adalah sahabat baik beliau. 

Pada 4 September 1947 di Masjid Jamek Abu Bakar, Johor Baharu telah diadakan Majlis Pertandingan Membaca al-Quran Se-Malaya dengan dirasmikan oleh Ustaz Ahmad Bin Yaakob selaku Ketua Majlis Pertandingan Membaca al-Quran.

Ketika itu, para peserta hanya terdiri daripada kaum lelaki sahaja. Pada malam penutupnya, penyampaian hadiah disempurnakan oleh Sultan dalam majlis jamuan teh di Istana Besar Johor pada 5 September 1947. 

Johan yang memenangi pertandingan ini terdiri daripada tiga orang peserta iaitu : 

1. Ustaz Abdul Rahman dari Pulau Pinang
2. Tuan Guru Haji Mahyudin dari Perak
3. Tan Sri Dato' Haji Hassan Bin Azhari dari Selangor

Allahyarham juga merupakan seorang hakim yang dipanggil untuk menghadiri pertandingan tilawah tiap-tiap tahun sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan. Di samping itu, di atas berkat usaha beliau dan beberapa orang sahabat yang seangkatannya, maka tertubuhlah sebuah Sekolah Agama yang dinamakan Maahad Tarbiah di Bagan Tiang.

Di sinilah beliau menumpahkan segala ilmunya saban hari sehinggalah beliau kembali kerahmatullah pada 11 Julai 1980 di ketika usianya 80 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Tiang, Parit Buntar. Di atas sumbangan dan jasanya yang tidak ternilai, maka beliau telah dianugerahkan pingat PJK dan PPT oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin 

*Sumber - Majalah Suara Majlis Perak dan maklumat tambahan dari Ustaz Radzi Abdul Rahman (cucu Allahyarham) pada 6 November 2022

#ZiarahMakam

Tok Dala al-Fathani (1898-1975)

Kisah Para Wali

Tok Dala al-Fathani (1898-1975)

Tok Dala adalah seorang ulama yang tegas dan memiliki rupa paras yang menarik. Apabila beliau berdiri sebaris dengan tok guru yang lain maka terlihat sinaran cahaya yang seakan terpancar di tubuhnya membuatkan beliau sangat gah dan hebat dihadapan orang lain.

Tok Dala memiliki kuda yng tidak pernah diikat. Ketika beliau ingin pergi ke suatu tempat, Tok Dala hanya membuatkan bunyi kemudian kuda itu datang dengan sendirinya.

Tok Dala terkenal dengan kewarakannya sehingga kudanya pun mewarisi kewarakan beliau. Kudanya tidak pernah makan rumput kawasan orang lain. Walaupun hanya rumput tetapi apabila di tanah orang lain tetap rumput itu bukan hak baginya.

Antara kewarakannya lagi adalah beliau tidak akan melihat perempuan-perempuan yang lalu dan diceritakan apabila Tok Dala lalu di satu kawasan dan tidak tersengaja Tok Dala melihat betis seorang perempuan, maka dia mengutus seorang imam untuk meminang perempuan itu. Isterinya ramai dan isteri pertama beliau merupakan anak kepada tok guru beliau iaitu Tuan Guru Pak Chu Yeh Tok Raja Haji.

Di kawasan itu juga terletak satu sungai yang melalui kawasan Pondok Dala. Jika ada orang lain melalui sungai itu dan membawa perkara yang syirik maka perahu itu akan tersangkut disitu dan perlu meminta keizinan dan maaf untuk keluar dari kawasan tersebut.

Dan di sungai itu dahulunya adalah kawasan buaya. Diceritakan bahawa Tok Dala naik diatas buaya itu dan mengunci mulutnya. Kemudian buaya-buaya itu tidak lagi muncul disungai tersebut berkat karomah Tok Dala.

Tok Dala sangat menjaga dirinya dari kemahsyuran dan kewarakannya sehingga apabila beliau diatas kuda dan ada seseorang yng ingin menangkap gambarnya maka tidak kelihatan Tok Dala di dalam gambar tersebut. Sampai sekarang tidak ada gambar Tok Dala yang lain. Yang adapun ialah gambar pasportnya apabila nak berangkat ke Mekah ketika waktu muda.

Diceritakan juga ketika Tok Dala menaiki perahu maka ada seseorang ingin curi-curi menangkap gambar beliau, namun digambar tersebut hanya kelihatan perahunya sahaja tanpa ada Tok Dala.

Dahulu di Pondok Dala terdapat satu pokok cengal yang amat besar di kawasan hutan tu dihuni oleh kaum jin. Maka ramai orang alim yang mahu usir jin itu tetapi tidak berjaya. Pada akhirnya mereka meminta bantuan Tok Dala. Kemudian Tok Dala membacakan ayat sambil membuat pusingan di pokok cengal tersebut dan seterusnya beliau meletakkan tapak tangan di pokok itu maka keluarlah jin-jin itu dengan suara jeritan yng kuat. Selepas itu pokok cengal itu digunakan membuat tempat balai pengajian disitu. 

Diceritakan oleh Baba Faisol.

#KaramahUlamak