Jumaat

Ujian Allah kepada Nabi Ayub

ALLAH ingin menjadikan Nabi Ayub sebagai seorang hamba-Nya yang benar-benar teguh keimanannya, tabah, sabar, tetap bersyukur dan sentiasa memuji Allah.

Oleh itu, Allah menguji Nabi Ayub dengan pelbagai ujian termasuklah kehilangan harta benda dan anak-anaknya. Ujian yang paling besar diterima oleh Nabi Ayub ialah ditimpa penyakit kulit yang sangat teruk.

Allah membenarkan iblis untuk menjalankan tipu muslihatnya. Tujuan Allah membenarkan iblis berbuat sedemikian adalah untuk menguji keimanan Nabi Ayub.

Namun begitu, Allah mengetahui bahawa Nabi Ayub mempunyai keimanan dan kesabaran yang tinggi walaupun diberikan pelbagai ujian dan dugaan.

Penyakit kulit yang dihadapi oleh Nabi Ayub sungguh teruk sekali hinggakan baginda tidak berdaya untuk bangun daripada pembaringannya. Semakin hari, badannya semakin kurus dan baginda tidak mampu untuk melakukan sebarang pekerjaan. Mukanya menjadi pucat dan matanya cengkung.

Walaupun Allah mengujinya dengan penyakit yang begitu teruk, tetapi Nabi Ayub tetap beriman dan memuji kebesaran Allah. Penyakit yang dihadapinya memakan masa hingga bertahun-tahun lamanya.

Baginda disisihkan oleh masyarakat dan tidak ada sesiapapun yang sudi menjenguknya kecuali isterinya, Rahmah yang setia menemani, menghibur dan menguruskan keperluannya selama ini.

Walaupun Nabi Ayub diuji dengan penyakit yang begitu teruk, namun iblis masih tidak berpuas hati. Iblis telah menghasut Rahmah, isteri Nabi Ayub supaya bosan dan benci kepada Nabi Ayub.

Pada suatu hari, Rahmah berkata kepada Nabi Ayub, "Sampai mati Allah akan menyeksamu, wahai Ayub? Ke mana perginya anak-anak dan teman-teman kita? Ke mana tubuhmu yang gagah dan sihat itu?"

Alangkah terkejutnya Nabi Ayub apabila mendengar kata-kata isterinya itu. Ternyata isterinya itu juga sudah berubah hati. Baginda berasa sedih kerana isterinya yang dikasihi sanggup berkata begitu kepadanya.

Sejak hari itu Nabi Ayub tidak lagi memandang isterinya. Makan minum yang disediakan oleh isterinya juga tidak disentuh dan dimakan. Nabi Ayub telah bersumpah sekiranya baginda sembuh daripada penyakit, baginda akan memukul isterinya sebanyak 100 kali sebagai hukuman.

Kini tinggallah Nabi Ayub seorang diri menghadapi penyakit yang ditanggungnya itu. Badannya semakin lemah dan tidak berdaya lagi. Lalu Allah menurunkan wahyu-Nya kepada Nabi Ayub supaya menggerakkan kakinya sehingga keluar air. Air itu hendaklah diminum dan digunakan untuk mandi oleh baginda. Nabi Ayub pun menurutinya.

Maka dengan keizinan Allah badannya kembali kuat dan segar. Hilang segala penyakit yang ditanggungnya, malah baginda lebih kuat dan gagah dari dahulu.

Pada masa yang sama, isteri beliau telah melihatnya lalu terus kembali kepadanya. Nabi Ayub teringat akan sumpahnya bahawa baginda akan memukul isterinya apabila sakitnya sembuh. Isterinya itu pernah lalai menguruskan sewaktu baginda masih sakit. Akan tetapi timbul dalam hatinya rasa hiba dan sayang kepada isterinya sehingga baginda tidak dapat memenuhi sumpahnya.

Oleh sebab itu, turunlah perintah Allah supaya baginda melaksanakan sumpahnya dengan tidak menyakiti isterinya iaitu memukul dengan menggunakan seikat rumput yang terdiri 100 helai rumput sahaja.

Tanda-tanda kiamat kecil

* Penaklukan Baitulmuqaddis

“ Dari Auf b. Malik r.a., katanya, "Rasulullah s. a. w. telah bersabda:"Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat." Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis." - Sahih Bukhari

Zina bermaharajalela

"Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang." - Sahih Muslim

Pemimpin yang terdiri dari orang yang jahil dan fasik

Bermaharajalela alat muzik
-Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka."Ada yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?" Baginda menjawab; "Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita" - Ibnu Majah

Menghias masjid dan membanggakannya
-Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid" - Riwayat Nasai.

Munculnya kekejian, memutuskan kerabat dan hubungan dengan tetangga tidak baik
-Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga." - Riwayat Ahmad dan Hakim

Ramai orang menuntut ilmu kerana pangkat dan kedudukan

Ramai orang soleh meninggal dunia
-Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama dimuka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran - Riwayat Ahmad

Orang hina mendapat kedudukan terhormat
-Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka'(orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia" - Riwayat Thabrani

Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja
-"Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja." - Riwayat Ahmad

Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang
-Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang."

Bulan sabit kelihatan besar
-Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit." - Riwayat Thabrani

* Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita

“ Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu" - Sahih Muslim

* Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar

“ Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar" - Riwayat Ahmad ”

* Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai

“ Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai." - Sahih Muslim

Banyaknya sifat bohong dan ia menjadi perkata biasa

Kekayaan umum dikuasai segelintir orang tanpa kebenaran dan tanpa rasa takut, termasuk rasuah dan mengambil harta secara tersembunyi.

Akan terdapat banya pengkritik, pembawa-cerita, penikam-belakang dan pengejek dalam masyarakat.

Orang akan mendirikan hubungan dengan orang tak dikenali dan memutuskan hubungan dengan yang rapat dan disayangi.

Orang akan melakukan homoseksual.

* Akan terdapat ramai anak luar nikah.

- Abdullah Ibn Mas'ood (R.A.)

* Berkurangnya sifat amanah

Terasa berat untuk menjalankan syariah (zakat dijadikan hutang)

Lelaki mentaati isterinya tetapi menderhakai ibunya

Lelaki berkasar dengan bapanya tetapi beramah dengan rakannya

Suara manusia meninggi (menjerit dan berteriak) di masjid-masjid

Pemimpin suatu kaum adalah keji dan pemimpin suatu suku adalah fasik

* Lelaki dihormati bukan kerana budi dan kebaikan tetapi kerana takut akan kejahatannya

“ Dari Ali dan Abu Hurairah r.a.: "Apabila harta rampasan perang (milik umum) dikuasai segelintir orang sahaja, barang amanah menjadi rampasan, harta zakat menjadi hutang, seorang lelaki mentaati isterinya dan menderhakai ibunya, berbuat baik kepada temannya dan berbuat kasar kepada bapanya, suara-suara tinggi di masjid-masjid, yang menjadi pemimpin suatu kaum (bangsa) adalah orang yang hina (berkelakuan/bersifat keji) di antara mereka dan orang yang menjadi ketua suatu suku (kabilah) adalah orang fasik di antara mereka, seorang lelaki dihormati kerana takut jahatnya, arak biasa diminum, sutera biasa dipakai (oleh lelaki), munculnya penyanyi perempuan dan alat-alat muzik, orang yang di kalangan umat terkemudian akan melaknat (mengutuk) umat terdahulu, maka ketika itu hendaklah mereka menunggu kedatangan angin merah atau pembalikan bumi atau keburukan bentuk-bentuk atau tanda-tanda yang beriringan seperti tali yang putus maka jatuhlah biji secara berterusan". - Riwayat Tarmizi

Anggota polis semakin ramai yang menunjukkan semakin banyak kerosakan

Mendahulukan lelaki menjadi imam bukan kerana ilmu tetapi kerana suara...

Penjualan jawatan atau kepemimpinan (politik wang)

* Memandang rendah kepada darah

“ Rasulullah bersabda: "Bersegeralah untuk melakukan amal soleh apabila telah muncul enam perkara: perlantikan pemimpin yang boodoh, ramainya bilangan anggota polis, penjualan kepemimpinan, tiada penghargaan terhadap darah, pemutusan silaturrahim, orang mabuk menjadikan al-Quran sebagai alat nyanyi yang mereka mendahulukan seseorang antara mereka menjadi imam agar dapat menyanyikannya walaupun orang tersebut paling sedikit ilmunya." - Sahih Riwayat Tabrani & Ahmad ”

* Seorang isteri bekerja dalam satu syarikat dengan suaminya. (Malah isteri berpangkat lebih besar)

“ Dari riwayat Ibnu Masud: "Di pintu gerbang (dekatnya) hari kiamat: Salam hanya kepada orang yang khusus (sudah dikenalinya), tersebar dan berkembangnya perdagangan sehingga seorang isteri membantu suaminya berdagang" - Sahih Lighairihi Riwayat Ahmad ”

* Munculnya gaya hidup mewah dan manja di kalangan umat Islam

“ Apabila umatku berjalan dengan sombong dan yang melayan mereka adalah putera-puteri raja, putera-puteri Parsi dan Rom, maka orang yang paling buruk akan berkuasa terhadap orang yang paling baik (pilihannya)." - Riwayat Tarmizi, Sahih Abdullah ibnu Umar r.a. ”

* Orang fasik dimuliakan sedangkan orang mulia dan terhormat direndahkan

“ Sungguh hebat dia, sunggu jarang orang seperti dia dan sungguh pintar dia sedangkan di dalamnya tidak ada iman sedikitpun" - Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tarmizi, Ibnu Majah ”

* Banyak orang berharap untuk mati kerana banyaknya kekacauan ataupun kesengsaraan

“ "Tidak akan berlaku kiamat sehingga apabila seorang lelaki melalui sebuah kubur maka ia akan berkata: 'Aduhai seandainya aku juga berada ditempatnya.'" - Riwayat Bukharidan Muslim

Banyaknya berlaku gempa bum

Banyaknya berlaku huru-hara yang menyebarkan kejahatan

Banyaknya berlaku pergaduhan dan pembunuhan
-"Kiamat tidak akan berlaku kecuali apabila ilmu telah diangkat, banyaknya berlaku gempa bumi, timbulnya huru-hara dan banyak pergaduhan iaitu pembunuhan - Sahih Bukhar

Isnin

Peristiwa Israk dan Mikraj


“MAHA Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-Isra’:1)

Peristiwa Israk dan Mikraj biarpun di luar pencapaian pancaindera manusia biasa, tetap diabadikan dalam al-Quran, dengan hikmah yang amat besar, menunjukkan kekuasaan Allah mencipta alam ini dan membenarkan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.Justeru, umat Islam berkewajipan mempercayai, malah mengimani peristiwa itu. Ulama mencapai kata sepakat orang Islam yang meragui atau tidak mempercayai peristiwa itu dihukum kafir.
ERTI Israk ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam waktu yang singkat. Erti Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan selanjutnya sampai ke Sidratul Muntaha, yakni dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan yang bertingkat, terus menuju Baitul Makmur dan ke Sidratul Muntaha, ke Arasy untuk menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam. Daripada riwayat, menceritakan beberapa liku kejadian dialami Rasulullah s.a.w, tidak kurang dengan kejadian aneh yang bermula dari awal.
Peristiwa itu berlaku pada tanggal 27 Rejab, 11 bulan sebelum nabi hijrah atau disebut tahun kesebelas dari tarikh kenabiannya. Tahun ini dikenali juga sebagai tahun dukacita selepas kewafatan dua org yg di sayangi iaitu kematian datuknya Abu Talib dan kawafatan isteri baginda siti khadijah.Ketika itu nabi sedang tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah yang diapit oleh dua orang saudaranya bernama Jaafar bin Abi Talib dan Hamzah bin Abu Talib. Nabi s.a.w mengalami pembedahan dada, hati baginda dicuci dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam (‘alaqah), lalu diisinya dengan iman dan hikmah kemudian dadanya dijahit kembali dan dimeterikan dengan ‘khatimin nubuwwah’ tanda kenabian. Selesai pembedahan, didatangkan haiwan iaitu buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan ‘israk’ dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril. Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat. Menurut sarjana sains, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan ruang cahaya, iaitu perdetik dapat menempuh jarak kira-kira 300,000 kilometer. Oleh itu, kecepatan buraq sekejap mata di antara Makkah sampai ke Palestin. Ahli sains juga mengakui bahawa didalam dunia ini cahayalah yang paling laju pergerakannya berbanding semua benda.

Tiba di tempat tertentu Rasulullah s.a.w diarah Jibril berhenti dan bersolat dua rakaat seperti di Thaibah (Ma dinah), tempat baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s. menerima wahyu) dan Baitul Laham (tempat Nabi Isa a.s. dilahirkan).Dalam perjalanan itu juga baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan Jibril telah mengajar Nabi bagaimana menghadapi Ifrit dari golongan jin yang mengganggunya dengan memberinya sebuah doa yang harus dibaca.

Nabi juga menyaksikan golongan yang sedang bertanam, terus menuaikan hasil tanaman.Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk.Ketika Mikraj (ke Hadhratul Qudus menemui Allah) baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah). Baginda dinaikkan ke beberapa lapisan langit bertemu dengan kalangan nabi dan rasul termasuk Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim sedang bersandar di Baitul Ma’mur dihadapi beberapa kaumnya.

Pada langit 1, Nabi s.a.w bertemu dengan Nabi Adam a.s.
Pada langit 2, Nabi s.a.w bertemu dengan Nabi Isa a.s.
Pada langit 3, Nabi s.a.w bertemu dengan Nabi Yusuf a.s.
Pada langit 4, Nabi s.a.w bertemu dengan Nabi Idris a.s.
Pada langit 5, Nabi s.a.w bertemu dengan Nabi Harun a.s.
Pada langit 6, Nabi s.a.w bertemu dengan Nabi Musa a.s.
Pada langit 7, Nabi s.a.w bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s.

Di langit ketujuh ini Nabi juga diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk. Mengenai Baiul Makmur, ada pendapat menerangkan, Baitul Makmur itu adalah sebuah masjid di langit, yang letaknya setentang dan searah dengan Kaabah.

Sampai di langit ketujuh ini Nabi terus dibawa ke langit yang lebih atas lagi dengan nama Sidratul Muntaha dan terus ke Mustawa. Di sini Nabi diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis. Juga Nabi diperlihatkan bentuk malaikat Jibril dalam bentuk yang sebenarnya.Nabi s.a.w juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam yang kemudian dipendekkan kepada lima waktu saja.

Kini selepas kewafatan Rasulullah s.a.w peristiwa Israk dan Mikraj dikenang umat Islam, malah pada penghujung Rejab sempena tarikh peristiwa terbabit diadakan acara memperingati melalui ceramah dan tazkirah berkaitan peristiwa itu. Di sesetengah negeri diadakan cuti umum Israk dan Mikraj sebagai penghormatan kepada peristiwa bersejarah yang berlaku ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Usaha itu memberi kebaikan kerana mengingatkan umat Islam, terutama generasi muda sejarah Islam seperti Israk dan Mikraj.

Tetapi cukupkah dengan hanya sekadar ceramah dan tazkirah sahaja bagi menyedarkan umat tentang peristiwa penting ini. Sepatutnya kita mengambil pengajaran yang lebih terhadap peristiwa penting ini. Pihak yang berkuasa sepatutnya memperuntukkan sesuatu peruntukan yang besar untuk menyedarkan lagi ummat.
Hari ini sambutan Israk dan Mikraj ini tidak ubah disambut seperti sambutan hari-hari yang dinamakan silih berganti seperti sambutan hari ibu, bapa, guru, jururawat dan valentine. Ianya hanya di rasa dan di sambut pada hari itu sahaja dan akan berlalu begitu sahaja. Sepatutnya peristiwa sepenting ini di dadalami dengan penuh keimanan. Pengajaran yang mesti diambil bukan terhadap kejadian itu sahaja tetapi ape yang dilihat dan dialami oleh Baginda Nabi s.a.w itu sepatutnya di titik beratkan lagi.
Selepas sambutan peristiwa ini sepatunya tiada lagi org perempuan yang mendedahkan aurat kerana Nabi melihat sendiri seksa bagi pelakunya. Org-org yg meninggalkan solat sepatutnya insaf dan tiada lagi org yang meninggalkan solat kerana siksanya juga diperlihatkan kepada nabi. Tiada lagi fitnah memfitnah kerana Nabi dilihat sendiri akan siksanya manusia yang memfitnah dimana manusia itu menggunting lidah-lidahnya sendiri dan kemudian lidahnya ditumbuhkan semula dan ia mengguntingnya lagi.
Selagi ummat tidak berubah selepas sambutan pihak berkuasa sepatutnya perlu mengambil tindakan yang lebih pro aktif.. Marilah sama-sama mengambil iktibar dan menjiwai pengiktibaran ini.


Ahad

Sebuah Kematian



"Mil, Naja dah meninggal. Dia kemalangan", kata Mak.

Saya kelu seketika. Ingatan saya terus menerawang jauh membelah samudera kepiluan. Satu persatu kenangan manggamit tiba. Dialah rakan sepermainan ketika kecil dan membesar bersama-sama menjadi remaja.

Akhirnya, inilah episod akhir sebuah kenangan indah bersamanya. Dan segalanya kini hanya tinggal sejarah.

Kesedihan, kehilangan dan perpisahan ini pasti menyeksa jiwa. Namun, apa guna segala ratapan yang melampau apabila seseorang yang kita sayangi pergi selamanya?

Naja, semoga kamu berbahagia di sana.

InsyaAllah, satu hari nanti pasti akan tiba giliran saya pula...

Dewasa ini, membelek dada akhbar boleh diibaratkan seperti membaca satu persatu data kematian. Mata anda tidak pernah lekang daripada menikmati sajian kematian.

Namun, dalam limpahan sajian itu, hanya sedikit sahaja coretan berita kematian disebabkan oleh sakit yang lama. Kebanyakannya disebabkan oleh kemalangan, kebakaran dan sebagainya.

Ramai antara kita yang menganggap mati itu hanya tiba apabila kita sakit atau kerana kita sudah tua.

Itu hanyalah mitos semata-mata.

Walhal secara realitinya sebahagian besar kematian berlaku ketika seseorang masih sihat dan muda. Tetapi ramai yang tidak menyedarinya kerana alpa dengan dunia yang serba-serbi indah dan melekakan ini.

Akhirnya mereka lupa untuk menyediakan bekalan untuk hari pengadilan yang Maha Dahsyat itu.

Adakah anda juga termasuk dalam golongan tersebut?

Tepuk dada, tanya hati.

Jundumay

Jumaat

Definisi saham

4.1 Saham الأسهم

4.1.1 Definisi saham

Saham ialah sejumlah unit pemilikan pelabur dalam syarikat perkongsian/awam, yang berbeza keadaannya dengan jumlah bahagian modal dalam syarikat individu.

Ia juga bermaksud satu transkrip atau sijil yang diberikan kepada pelabur sebagi penyataan haknya yang sebenar dalam pemilikan modal syarikat.

4.1.2 Pandangan Islam terhadap urusniaga saham

Jumhur fuqaha’ muasirin berpendapat bahawa Islam secara umumnya mengharuskan penerbitan dan jual beli saham, dengan syarat tidak mengandungi unsur-unsur yang haram seperti riba, gharar, perniagaan benda yang haram dan unsur-unsur haram yang lain. Oleh itu, hukum sesuatu saham berbeza mengikut sifat saham tersebut dan jenisnya.

4.1.3 Hukum urusniaga saham mengikut jenis aktiviti perniagaan sesuatu syarikat :

a. Syarikat yang aktivitinya halal.
Hukumnya harus bermuamalah dengan saham syarikat ini tanpa sebarang khilaf.

b. Syarikat yang aktivitinya haram.
Seperti bank yang mengamalkan riba, syarikat pembuatan arak dan sebagainya. Hukumnya haram secara ittifaq.

c. Syarikat yang aktivitinya syubhat.
Syarikat yang mengeluarkan perkhidmatan dan barangan yang halal, tetapi kadangkala bermuamalah dengan uruniaga yang haram , seperti syarikat barangan elektrik, ubat-ubatan, kenderaan dan lain-lain yang membiayai aktiviti syarikat dengan pinjaman ribawi atau urusniaga yang melibatkan riba.

Para fuqaha’ mu’asirin berselisih pendapat tentang masalah ini kepada 3 pendapat :

i. Pendapat pertama : Haram bermuamalah dengan saham syarikat ini selagimana tidak 100% halal.

Selagi saham ini mengandungi unsur haram atau syarikat berurusniaga dengan unsur haram, maka saham ini tetap haram berdasarkan dalil-dalil yang mewajibkan menjauhi perkara yang haram dan syubhat :
• Hadith :
عن عامر قال سمعت النعمان بن بشير يقول سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول الحلال بين والحرام بين وبينهما مشبهات لا يعلمها كثير من الناس فمن اتقي المشبهات استبرأ لدينه وعرضه ومن وقع في الشبهات كراع يرعى حول الحمى يوشك أن يواقعه ألا وإن لكل ملك حمى ألا إن حمى الله في أرضه محارمه ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهي القلب

• Kaedah fiqh (إذا إجتمع الحلال والحرام غلب الحرام (
Berdasarkan kaedah ini, syarikat yang hartanya bercampur antara halal dan haram, maka haram menyertainya sebagai berhati-hati (ihtiat) kerana diriwayatkan Nabi Muhammad menjumpai buah yang jatuh dan berkata: “ Kalaulah tidak kerana aku takut ia daripada sedekah, nescaya aku memakannya.”
• Kaedah fiqh ( الملحوظ كالملفوظ )

ii. Pendapat kedua : Harus bermuamalah dengan saham ni tetapi dengan syarat, berdasarkan kaedah fiqh dan nas yang terbina di atas asas memudahkan dan mengangkat kesusahan . Antaranya :

• Bercampur sebahagian yang haram dengan harta tidak menjadikan kesemuanya haram , dengan membezakan haram lizatih seperti arak, dan haram lighairih seperti harta yang dirampas,harta ini (haram lighairih) tidak menjadikan harta yang lain menjadi haram.

Ibnu Taimiyah pernah ditanya oleh seorang lelaki tentang hartanya yang bercampur di antara yang halal dan haram. Beliau menjawab : Keluarkan nilai yang haram dengan timbangan, dan berikan kepada pemiliknya dan kiralah nilai yang halal itu untuk dirinya.Sekiranya tidak diketahui atau tidak mampu untuk mengetahui pemiliknya, maka bersedekahlah dengan harta itu.

Atas prinsip inilah harus bermuamalah dengan saham syarikat yang bermuamalah dengan bank yang mengamalkan riba.

• Kaedah fiqh ( يجوز تبعا ما لا يجوز استقلالا (

Di dalam syarikat ini walaupun memiliki nisbah sedikit unsur yang haram, tetapi ia dalam bentuk tabi’ (mengikut) bukan asas yang menjadi tujuan selagi mana aktiviti syarikat halal , cuma syarikat itu terpaksa meminjam atau menyimpan di dalam bank ribawi untuk mendapat kecairan harta.

Aktiviti meminjam atau menyimpan di bank ribawi ini adalah haram dan pengurusan syarikat berdosa tetapi ia tidak menjadikan baki harta dan aktiviti lain menjadi haram kerana ia aktiviti yang mengikut ( تبعي ), dan bukan dasar aktiviti syarikat.

• Kaedah fiqh ( للأكثر حكم الكل )

Al-Kasani mengatakan : “ Setiap yang dirosakkan oleh perkara haram, sekiranya majoritinya yang halal makan tidak mengapa menjualnya.”

Imam Al- Izz bin Abdul Salam berkata :”Sekiranya majoritinya halal seperti bercampur satu dirham yang haram dengan seribu yang halal maka harus muamalah..”

• Kaedah fiqh (الحاجة تنزل منزلة الضرورة )

Syariat Islam terbina atas asas mengangkat kemudaratan dan kesusahan. Beberapa jenis akad diharuskan khilaf daripada qias kerana hajat manusia kepadanya sebagaimana sebahagian ulama’ contohnya Hanafiah mengharuskan muamalat yang asalnya haram seperti bai’ al-wafa’.

• Harus bermuamalah dengan non-muslim sedangkan wujud syubhat pada hartanya.Sebahagian fuqaha’ mengatakan harus dan makruh, kerana tidak aman daripada muamalah riba dan perkara lain yang tidak syar’ie.Harus muamalah ini jika tidak melibatkan muamalah yang tidak syar’ie. Ertinya haram atau harus muamalah ini bergantung kepada adanya ‘illah atau tidak.

iii. Pendapat ketiga : Makruh

• Berdasarkan pendapat As-Syafie , Imam Ahmad dan lain-lain

Imam Nawawi menyebut daripada Ibnu Munzir bahawa mereka khilaf dalam masalah jualbeli dengan orang yang hartanya bercampur halal dan haram, menerima hadiah dan pemberiannya, di mana Hasan, Makhul , Az-Zuhri dan As-Syafie memberi rukhsoh. Syafie berkata : Aku tidak suka demikian. Dan sekelompok yang lain menyatakan makruh.
Imam Ahmad berkata: Aku tidak ingin memakannya, kerana diriwayatkan An-Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas dan di antara keduanya perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh kebanyakan menusia.Siapa mengelak dari perkara syubhat dia telah membebaskan agama dan kehormatannya…..”

Dan Nabi pernah bersabda: “ Tinggalkanlah apa yang meragukan kepada apa yang tidak meragukan “

Pendapat yang rajih :

Berdasarkan ketiga-tiga pendapat tadi, pendapat yang rajih ialah pengurusan syarikat tidak harus bermuamalah dengan urusniaga haram melainkan terpaksa contohnya dia terpaksa mengikut undang-undang muamalat tertentu yang haram, tetapi bukan dengan kerelaannya , jika tidak dia berdosa. Manakala penyertaan orang Islam dalam syarikat dan membeli sahamnya adalah harus selagimana sebahagian besar hartanya halal dan transaksinya halal, jika tidak, sebaik-baiknya menjauhi perbuatan tersebut.

Sepatutnya orang yang menyertai syarikat tersebut berniat dengan membeli saham syarikat itu, dia akan menukar aktiviti syarikat itu kepada 100% halal dengan menyatakan suaranya dalam mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat pengurusan syarikat, dan dia juga perlu mengeluarkan kadar yang haram –jika berkemampuan menetapkannya- dan membelanjakan kadar tersebut itu untuk kebajikan awam, tetapi tidak harus bagi seorang muslim mengasaskan atau membeli saham syarikat yang telah menaskan dalam sistem asasinya bahawa syarikat itu bermuamalah dengan riba, arak, khinzir dan lain-lain muamalah yang diharamkan.

Walaupun begitu, penulis bersetuju dengan pendapat yang mengatakan perlu adanya beberapa syarat dalam menentukan boleh atau tidaknya bermuamalah dengan syarikat tersebut :

• Pendapat Sheikh Mustafa Al-Zarqa mengatakan harus bermuamalah dengan saham syarikat ini sekiranya syarikat itu aktif memberi khidmat kepada orang awam, dan kemusnahan syarikat ini akan menyebabkan kepayahan masyarakat, bukan umum kepada semua syarikat.Malah haram bermuamalah dengan syarikat yang bermuamalah dengan riba sekiranya syarikat itu tidak aktif dan masyarakat tidak terjejas dengan kemusnahannya.
• Tujuan pembelian saham syarikat itu adalah untuk mengubah ke arah halal 100%. Sekiranya mereka mampu tetapi tidak melakukannya, maka mereka adalah berdosa.
• Tidak harus mereka menggunakan wang haram yang menjadi pendapatan syarikat, bahkan mesti menilaikan dan menghilangkannya dengan cara memberikan kepada fakir miskin.
• Aktiviti asas syarikat adalah halal.

Oleh itu, pengharusan ini adalah kerana dorurat dan dorurat ini mestilah berdasarkan kepada syarat –syarat tadi dan tidak boleh melangkaui batas dorurat kerana dorurat diukur mengikut kadar keperluannya الضرورات تقدر بقدرها . Jika tidak mencapai tahap dorurat , maka hukumnya haram.

4.1.4 Jenis-jenis Nilai / Harga saham dan Hukumnya

a. Nilai catatan (القيمة الإسمية ) : iaitu nilai yang tercatat pada sijil, merupakan nilai yang dibayar pelabur ketika pengasasan syarikat.Hukum : Harus menerbitkan saham dengan nilai ini kerana ia menggambarkan nilai saham yang dibayar oleh pelabur daripada keseluruhan modal syarikat.

b. Nilai terbitan (قيمة الإصدار) : iaitu nilai penerbitan saham baru ketika syarikat ingin menambah modal syarikat.

Hukum : Harus sekiranya nilai terbitan sama dengan nilai sebenar atau nilai pasaran. Harus juga menerbitkan saham baru dengan nilai terbitan sama ada lebih tinggi, kurang atau sama dengan nilai catatan , kerana perlu melihat kepada realiti semasa , suasana pasaran dan risiko untung rugi. Tetapi tidak harus sekiranya kurang daripada nilai sebenar kerana akan menyebabkan kemudaratan kepada pelabur lama. Jika lebih tinggi daripada nilai sebanar, maka dinilaikan mengikut harga pasaran meka hukumnya harus.

c. Nilai sebenar / instrinsik(الفيمة الحقيقية) : iaitu bahagian yang sebenarnya dimiliki daripada harta bersih syarikat termasuk modal yang dibayar, keuntungan,harta benda syarikat,setelah ditolak hutangnya. Hukum : harus kerana keuntungan dan harta benda syarikat bertambah hingga menyebabkan nilai sebenar lebih tinggi daripada nilai catatan, dengan syaat pertambahan harta itu melalui cara yang halal.

d. Nilai pasaran (القيمة السوقية) : iaitu nilai saham di bursa saham yang mengikut pemintaan dan penawaran , spekulasi ,suasana politik dan ekonomi semasa serta kebiasaannya berubah-ubah. Hukum : harus menjual saham mengikut harga pasaran sama ada kurang atau lebih daripada nilai catatan kerana ia seumpama barangan lain yang terdedah kepada faktor permintaan dan penawaran serta kewangan syarikat.

4.1.5 Jenis-jenis Saham Mengikut Kategori dan Hukumnya

a. Dari Sudut Hak Pelabur

i. Saham Biasa ( Ordinary Shares الأسهم العادية - ) : iaitu saham yang memberi pemiliknya persamaan hak mendapat keuntungan setelah dibahagikan keuntungan saham keutamaan. Pemilik saham ini mempunyai hak mengundi dalam mesyuarat agung syarikat, hak melantik proksi, hak mendapat terbitan hak, hak terhadap aset dan hak membuka buku akaun. Pemilik saham ini akan dipertanggungjawabkan berdasarkan nilai saham yang dipegang dalam syarikat.

Saham ini hukumnya harus selagimana pelaburan syarikat bukan pada aktiviti yang haram.

ii. Saham Keutamaan (Preference Shares-الأسهم الممتازة ) : iaitu saham yang memberikan keistimewaan/ keutamaan kepada pemiliknya berbanding pemilik saham biasa.

Antara keistimewaannya ialah :
• Keutamaan dari sudut tuntutan perolehan syarikat. Pemegang saham keutamaan akan dibayar dividen terlebih dahulu dan dividennya telah ditetapkan terlebih dahulu kadarnya pada masa ia diterbitkan, tidak kira syarikat untung atau rugi
• Sekiranya syarikat dibubarkan ,pemegang saham keutamaan akan diutamakan dalam pengagihan aset syarikat berbanding pemegang saham biasa
• Kuasa mengundi yang lebih dalam mesyuarat tahunan (di Malaysia, pemilik saham ini tidak mempunyai kuasa mengundi).

Saham ini hukumnya tidak harus kerana pemilik saham ini mempunyai kelebihan berbanding pemegang saham lain. Ini tidak adil kerana dengan nilai saham yang sama sepatutnya mereka memiliki persamaan hak. Begitu juga tidak harus memberikan dividen atau keuntungan yang tetap kepada mereka dalam keadaan risiko keuntungan dan kerugian ditanggung oleh pelabur lain.

Dividen ini merupakan riba yang diharamkan oleh syara’ kerana bertentangan konsep syarikat yang diharuskan oleh syara’, iaitu sama-sama menanggung risiko untung rugi berdasarkan kadar saham masing-masing. Hak mengundi yang lebih juga tidak harus diberikan kepada mereka kerana sepatutnya pemegang saham yang sama nilainya mesti mempunyai hak yang sama.

Bentuk keistimewaan yang diharuskan oleh syara’ ialah hak keutamaan kepada pelabur sedia ada untuk menambah pelaburan apabila syarikat menawarkan saham-saham baru berbanding pelabur-pelabur yang baru. Ini kerana mereka lebih berhak terhadap pemilikan syarikat dan tidak harus syarikat mengeluarkan saham baru kecuali dengan persetujuan mereka. Ini sesuai dengan prinsip syaf’ah yang diakui oleh syara’.
--
b. Dari sudut bentuk pemilikan yang dibayar pelabur

i. Matawang/tunai (Cash Shares – الأسهم النقدية ) : iaitu saham yang dibayar dalam bentuk mata wang. Saham ini hukumnya harus secara ittifaq kerana asal dalam syarikat ialah mengemukakan modal dalam bentuk matawang, sama ada emas, perak atau mata wang masakini.

ii. Barangan (Vendors Sharesالأسهم المعينة-) : iaitu saham yang berbentuk barangan yang menjadi modal syarikat

Para fuqaha’ berselisih pendapat tentang saham ini kepada 3 pendapat :
• Ulama’ Malikiah dan satu pendapat Imam Ahmad : Harus jika barang berbentuk qiymi.
• As-Syafi’e dan Muhamad bin Hasan dari ulama’ Hanafiah : Harus jika barang berbentuk mithli.
• Imam Abu Hanifah dan zahir mazhab Hambali : Tidak harus secara mutlak

Pendapat yang rajih : ialah pendapat yang pertama kerana pendapat yang kedua dan ketiga melihat dari sudut zat barang dan tidak terjamin selagi tidak digunakan. Pendapat pertama mengatakan harus setelah dipersetujui barang dan nilainya. Dengan itu, nilai itu menjadi modal syarikat dan terjamin. Apatah lagi pada zaman sekarang, banyak cara untuk menilai harga barangan dengan lebih tepat iaitu dengan nilai mata wang.

c. Dari Sudut bentuk Sijil

i. Saham Penama (Nominal Shares – الأسهم الإسمية) : iaitu sijil yang tercatat nama pemiliknya

Saham ini hukumnya harus dari sudut syara’ kerana pemilikan hak pelabur thabit dengan tertulis di atas sijil saham.

ii. Saham Pembawa ( Bearer Shares – الأسهم لحاملها ) : Sijil yang tidak dicatat nama pelabur yang menjadi pemiliknya , tetapi pembawanya. Oleh itu pembawa sijil itu dikira pemilik saham mengikut pandangan syarikat.

Saham ini tidak harus dari sudut syara’ kerana tidak diketahui pemilik sebenar saham tersebut. Ini akan membawa kepada risiko perselisihan, permusuhan dan kemungkinan kehilangan hak serta mudarat kepada pemiliknya sama ada dirampas atau dicuri.

iii. Saham Dengan Perintah (An Order Shares الأسهم للأمر او الإذن -): saham yang mengandungi perkataan dengan perintah. Saham ini boleh ditandatangani untuk tujuan perpindahan milik, sama seperti sjil-sijil bon yang memakai syarat ‘dengan perintah’.

Saham ini mengikut pendapat Dr Abd Aziz Khayyat adalah harus kerana pemilik saham tersebut masih dapat dikenalpasti kerana ditulis di atas sijil saham. Pemilik kedua dikira pengganti kepada pemilik pertama.

e. Dari sudut modal boleh ditebus/dipulangkan atau tidak

i. Saham Modal ( Capital Shares – أسهم رأس المال): saham yang nilainya tidak boleh ditebus. Saham ini harus kerana merupakan prinsip asal dalam syarikat.

ii. Saham Boleh Tebus ( Redeemable Shares – أسهم التمتع) : saham yang boleh ditebus dengan dipulangkan semula modal kepada pelabur sebelum syarikat ditutup.

Pada asalnya tidak harus bagi pelabur menebus sahamnya. Namun, terdapat beberapa keadaan yang berbeza yang menentukan sama ada saham tersebut harus atau tidak.

Antara bentuk saham boleh tebus yang tidak harus ialah :
• Jika nilai sebenar saham dikembalikan sama ada lebih tinggi atau lebih rendah daripada nilai catatan. Ini kerana hubungan pelabur dengan syarikat terputus, maka dia tidak berhak mendapat keuntungan atau dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kerugian
• Jika dipulangkan nilai catatan dan nilai itu lebih tinggi daripada nilai sebenar saham kerana dia mendapat modal yang dibayar secara sempurna. Dalam hal ini ,sama seperti di atas, dia tidak berhak mendapat keuntungan kerana hubungannya dengan syarikat telah terputus.

Keuntungan syarikat berhak dimiliki dengan 3 sebab : harta, kerja atau jaminan. Dalam 2 bentuk saham boleh tebus di atas, pemegang saham yang telah menebus sahamnya tidak mempunyai satu pun sebab mendapat keuntungan syarikat .

Bentuk saham boleh tebus yang harus ialah :

• Syarikat memberikan nilai catatan saham yang lebih rendah daripada nilai sebenar, maka masih berbaki modalnya di dalam syarikat. Dengan itu, dia berhak mendapat keuntungan berdasarkan nisbah baki modal yang masih belum dipulangkan oleh syarikat.
• Penawaran secara berjuzu’ dan berterusan oleh syarikat dengan memberikan setiap pelabur nisbah tertentu daripada saham secara sama rata dan mengikut bilangan saham.
• Memotong nilai tertentu daripada keuntungan tahunan dan menyimpannya atas nama pelabur,hingga nilainya terkumpul ketika berakhirnya syarikat, lalu pelabur boleh mengambilnya.