Isnin

BERITA SEDIH PELATIH PLKN




BERITA SEDIH,PILU,MENYAYATKAN HATIKU APABILA KEJADIAN MENIMPA ANAK SAUDARAKU DISAYANGI,AKU MEMANG SANGAT TAK BERPUASHATI DI ATAS APA YANG BERLAKU,WALAU SEGALANYA TAKDIR ILAHI NAMUN KECUAIAN PIHAK TERSEBUT MEMBUATKAN HATIKU TERASA KECEWA SANGAT.

AHMAD Al-Hashyiemi koma selepas terjatuh dalam longkang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.


KOTA BHARU: Bapa pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dekat sini, meminta Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) meningkatkan ciri keselamatan di semua kem latihan PLKN.

Md Hussin Yunus, 45, berkata ciri ini penting dan harus diberi keutamaan kerana membabitkan nyawa pelatih yang kebanyakannya masih baru dengan suasana di kem.

"Ini berkaitan dengan nyawa dan keselamatan anak kita. Saya mempunyai lima lagi anak yang mungkin terpilih menyertai PLKN. Selepas kejadian ini, saya agak takut untuk membenarkan anak saya menyertainya dan mungkin akan memohon untuk pelepasan," katanya.



Beliau berkata demikian ketika menziarah anaknya, Ahmad Al-Hashyiemi, 17, yang kini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas terjatuh ke dalam longkang di Kem PLKN Tegas Mesra, Selama Perak, 1 Januari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Ahmad Al-Hashyiemi dilaporkan hampir lemas selepas terjatuh ke dalam longkang yang digenangi air di kem terbabit ketika mengangkut barang dalam operasi pemindahan akibat banjir.

Bagaimanapun, dia sempat diselamatkan oleh seorang jurulatih kem yang kebetulan berada di tempat kejadian tetapi pengurusan tidak memaklumkan kepada keluarganya.


MD HUSSIN menunjukkan laporan kejadian yang dikeluarkan pihak Kem PLKN Tegas Mesra, Selama, Perak ketika ditemui di HRPZ II, Kota Bharu, semalam.


Md Hussin berkata, anaknya itu tidak mengalami sebarang perubahan sejak dimasukkan ke ICU hospital berkenaan kelmarin.

Katanya, doktor memberitahu keadaannya tenat dan bergantung kepada alat bantuan penafasan sepenuhnya kerana sukar bernafas.

Katanya, beliau tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap PLKN sebaliknya ingin menumpukan kepada anak keduanya itu yang kritikal.

DARI BERITA HARIAN