Ahad

Solat perspektif sains

Ketua Pakar Penyelidik Sains Solat, Fakulti Bioperubatan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim.Dalam pembentangan kajian pertama bertajuk Kesan Postur Badan dan Pergerakannya di Dalam Solat, Dr. Fatimah menjelaskan pergerakan dalam solat amat mempengaruhi keadaan tubuh badan.Semasa meletakkan tangan di antara dada dan pusat selepas takbiratul ihram, posisi tangan pada waktu itu adalah dalam keadaan rehat. Jika dilihat dari sudut fisiologi, posisi tersebut berada dalam keadaan rehat yang maksimum. Ia mampu melancarkan pergerakan sendi dan mengelakkan penyakit sendi.Pada posisi rukuk, seseorang akan berasa sakit di bahagian belakang paha jika menekan kedua belah lutut dengan meluruskan tangan. Posisi 90 darjah seperti yang disarankan oleh Rasulullah mampu menyembuhkan penyakit berkaitan tulang belakang. Lutut perlulah diletakkan terlebih dahulu diikuti tangan dan kepala dalam kedudukan sujud. Kedudukan begini adalah cara terbaik menjadikan otot besar dan kuat. Secara tidak langsung, ia amat membantu melancarkan pengaliran darah dan limpa ke seluruh anggota badan. Dr. Fatimah turut menjemput seorang peserta membuat demonstrasi di pentas bagi membuktikan kebenaran kajiannya. Peserta berkenaan mencuba seperti apa yang diarahkan dan bersetuju dengan apa yang dijelaskan oleh Dr. Fatimah. Beliau menekankan kepentingan solat dan menasihatkan peserta agar tidak timbul niat menjadikan solat semata-mata untuk menjadi sihat, kerana perkara sedemikian amat bercanggah dengan tujuan solat. Katanya, solat adalah khusus kepada Allah, maka ia tidak boleh disertakan dengan niat lain bagi tujuan kesihatan. Cuma apa yang ditekankan dalam kajian tersebut adalah kesan sampingan daripada bersolat, manusia akan memperoleh kebaikan yang tidak dapat dinafikan kebenarannya. "Kajian Dr. Fatimah menunjukkan bukti bahawa manusia akan mencapai kecergasan dan kesihatan yang terbaik semasa bersolat," katanya. Dalam satu lagi sesi bertajuk Solat dan Kesan Kepada Denyutan Jantung' Dr. Fatimah menjelaskan jantung memainkan peranan amat penting dan sangat berjasa kepada manusia. Denyutan jantung dalam keadaan rehat adalah di antara 60-80 denyutan seminit. Akan tetapi bagi atlet sukan, kadar denyutan jantung mereka lebih rendah, iaitu 40-60 denyutan seminit. Peserta diberi kefahaman bahawa, semakin rendah kadar denyutan jantung, bermakna kesihatan jantung lebih terjaga. Kesihatan jantung perlu diberi perhatian serius memandangkan kematian akibat serangan jantung semakin meningkat dan tidak mengenal usia. Ia juga dikatakan pembunuh nombor satu negara kerana serangannya berlaku secara senyap dan tidak mengira keadaan. Bahaya yang ditunjukkan akibat serangan jantung begitu membimbangkan, dan beliau berjaya menemui bukti saintifik bahawa dengan bersolat, kadar denyutan jantung dapat dikawal dengan baik. Selain itu, dengan melakukan solat juga dapat mengurangkan risiko darah tinggi. Jantung berdenyut dengan kadar paling rendah semasa posisi sujud, iaitu sebanyak 72 dan 73 denyutan seminit. Apabila seseorang duduk pada tahiyat akhir, kadar denyutan jantung meningkat semula dan ia mengepam darah ke bahagian atas badan serta kepala. Secara tidak langsung, jumlah darah yang diperlukan juga meningkat. Hasil kajian beliau mendapati, posisi sujud adalah kedudukan terbaik untuk kesihatan jantung. Lebih banyak bersujud, maka seseorang dapat mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah.

Selasa

Generasi belia hari ini cermin negara masa depan

BELIA hari ini adalah cerminan pembentukan negara masa depan. Jika belia terdedah gaya hidup tidak sihat dan berhadapan pelbagai masalah sosial, bererti negara dan masyarakat menghadapi masa depan yang gelap.

Justeru, bagi menjana transformasi atau perubahan, semua pihak perlu berubah menepati ciri dan budaya bangsa sesuai dengan lingkungan sekitar iaitu agama, budaya, sosial, ekonomi, politik dan masyarakat.

Dalam konteks ini, Dr Yusuf Qaradawi menyatakan: “Bila mana kita hendak melihat bentuk negara pada masa depan, lihatlah generasi belia pada hari ini, kiranya golongan belia pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman sejahtera.”

Dalam konteks ini, Dr Yusuf Qaradawi menyatakan: “Bila mana kita hendak melihat bentuk negara pada masa depan, lihatlah generasi belia pada hari ini, kiranya golongan belia pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman sejahtera.”
Peranan dan tanggungjawab belia hari ini sangat mustahak dalam menjana pembangunan negara bangsa. Mereka mesti menjadi contoh yang baik di samping menyumbang idea, masa dan tenaga ke arah pembangunan negara agar lebih dihormati dan disegani.

Tidak dinafikan belia banyak mengharumkan nama negara dan tidak kurang juga yang terjebak gejala negatif seperti menjadi keldai dadah seperti dilaporkan.

Mengambil iktibar di zaman awal Islam, belia menjadi pelopor serta penggerak kepada kebangkitan dan perubahan masyarakat serta negara. Bermula di Makkah sehingga ke Madinah, golongan belia banyak memainkan peranan utama seperti Saidina Ali, Abu Bakar, Umar, Usman, Abdul Rahman bin Auf, Ibnu Zubair, Ibnu Masud, Bilal bin Rabah dan ramai lagi.

Usamah bin Zaid yang berusia 18 tahun dapat memimpin bala tentera menyerang kerajaan Rom dan Muhammad al-Fateh membuka kota Istanbul seperti dijanjikan dalam hadis Nabi, ketika itu beliau berusia 21 tahun.
Al-Quran merakamkan kisah Ashabul Kahfi iaitu pemuda (belia) melawan raja yang zalim dengan firman bermaksud: “Kami ceritakan kepadamu (Muhammad), perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang muda (belia) yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah petunjuk dan Kami kuatkan hati mereka semasa mereka bangun menegaskan tauhid lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya, jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” (Surah al-Kahfi, ayat 13-14)

Justeru, belia hari ini perlu memainkan peranan proaktif untuk menjadi penggerak nadi bangsa sebagai khalifah di bumi, membina dan membangun jati diri dari segi rohani dan jasmani serta menjadi contoh teladan kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran.

Belia juga sepatutnya menjadi pencetus transformasi, penggerak tamadun bangsa, negara dan dunia kerana belia berwawasan akan menjunjung kedaulatan serta perlembagaan negara.

Dalam arus kemajuan dunia global, banyak berlaku kebanjiran dan limpahan budaya asing yang negatif menyebabkan belia mudah terpengaruh dengan budaya meminum arak, gejala seks bebas, lesbian, judi, rokok, bahan, video porno dan buang bayi yang membimbangkan.

Bagi membina jati diri, belia disaran melakukan transformasi untuk berubah daripada keadaan baik sekarang ini kepada yang lebih baik dan yang masih tercari-cari erti kehidupan hendaklah mula melakukan tindakan perubahan yang perlu.

Sesungguhnya harapan negara terletak di bahu belia dan sewajarnya mereka merencana pencapaian lebih hebat daripada pemimpin hari ini supaya kelangsungan negara terus terjamin.