Rabu

Antara kiblat pertama dan kedua.

Antara kiblat pertama dan kedua. 
.
Mari kita kenali mengenali Aqsa agar kita lebih mencintainya.
.
Masjid aqsa adalah kiblat pertama seluruh orang yang beriman untuk bersembahyang, sedangkan sembahyang itu telah syariatkan sejak zaman Nabi Adam lagi.
.
Kaabah di Mekah pula, menjadi tempat untuk ibadah haji. Nabi Ibrahim diperintahkan untuk membangunkan bagunan kaabah bagi tujuan tersebut. Nabi Ibrahim hidup sekitar 1800 tahun SM.
.
Kiblat pertama seluruh orang beriman iaitu Masjid Aqsa dibangunkan sebagai sebuah bangunan oleh Nabi Sulaiman pada tahun 950 tahun SM.
.
Ketika Nabi SAW mendapat syariat sembahyang pada tahun 620 Masihi ketika peristiwa Israk dan Mikraj maka ibadah solat itu menghala kepada kiblat pertama iaitu Masjid al-Aqsa.
.
Selama 18 bulan solat dihadapkan ke Masiid Aqsa sebelum Allah perintahkan agar solat dihadapkan ke Kaabah. Jadi peranan Kabaah bukan sahaja untuk ibadah haji, tetapi juga ibadah solat.
.
Bagi orang Y4hud1, mereka tetap menganggap Aqsa sebagai kiblat untuk sembahyang mereka, sebab itu sehingga sekarang, mereka bersembahyang menghadap ke Aqsa. Wailing Wall tempat mereka sembahyang sebenarnya adalah dinding bahagian barat al-Aqsa.
.
Apa yang menariknya adalah, keluasan Kaabah, termasuk Hijir Ismail adalah segi empat tepat. Jika skala itu dibesarkan sebanyak 40 kali, maka itulah keluasan Al-Aqsa  yang berbentuk segi 4 tepat juga.
.
Ulama membahaskan, siapakah yang meletakkan batu asas kedua kiblat ini sebelum dibangunkan dalam bentuk bangunan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Sulaiman? Kebanyakkan Ulama ahli sirah berpendapat, batu asas yang telah diletakkan oleh orang yang sama iaitu Nabi Adam a.s dengan tunjuk ajar daripada malaikat.
.
Sesungguhnya para Nabi dan Rasul itu membawa risalah yang sama iaitu mentauhidkan Allah.
.
Beruntunglah orang yang mengenali Allah sebagai tuhan dan menyembahNya.
.
Tenang-tenang saja lah.
.

.⁣
.⁣
.⁣
.⁣
.⁣
#motivasi #ustazamin #tenangtenangsajalah #ustazaminofficial #ustazdiving #ustazaminquote

Sumber fb :Ustaz Muhammad Abdullah

Isnin

ISU DANA NGO MALAYSIA TIDAK SAMPAI KE AL-AQSA; SATU PENJELASAN

ISU DANA NGO MALAYSIA TIDAK SAMPAI KE AL-AQSA; SATU PENJELASAN

1. Tuduhan bahawa dana daripada NGO-NGO Malaysia tidak sampai kepada Masjid Al-Aqsa, secara umum tanpa penjelasan terperinci, adalah berniat jahat.

2. Saya yakin bahawa pihak yang melontarkan tuduhan tersebut cukup tahu dengan modus operandi NGO-NGO di Malaysia. Pertamanya, majoriti NGO-NGO ini tidak mensasarkan kutipan sumbangan ke Masjid Al-Aqsa atau Tebing Barat secara am, malah menumpukan kepada Gaza, dengan sebab-sebab yang akan saya terangkan di bawah. Keduanya, tidak ada syarat yang diletakkan mana-mana pihak bahawa sumbangan yang hendak disalurkan kepada Masjid Al-Aqsa, atau Palestin secara am perlu melalui Kementerian Wakaf yang dipertanggungjawabkan menjaga Al-Aqsa.

3. Justeru kenyataan yang lebih bijak dan diplomatik sepatutnya berbunyi, dana NGO Malaysia tidak disalurkan kepada Masjid Al-Aqsa, atau dana NGO tidak disalurkan melalui Kementerian Wakaf, sebagai galakan berbuat demikian.

4. Misalnya, kalau berlaku banjir di Kelantan atau Terengganu, kerajaan-kerajaan negeri tersebut, tidak boleh menuduh bahawa berlaku penyelewengan bantuan am semata-mata kerana sumbangan tidak disampaikan kepada mangsa melalui agensi kerajaan yang mengurus bencana. Malah, mana-mana pihak bebas menyampaikan bantuan samada melalui pihak ketiga atau terus kepada mangsa.

5. Isu Palestin adalah isu yang lama dan besar. Tetapi apabila isu tersebut signifikan hanya dengan krisis kemanusiaan dan perjuangan di Gaza, sehingga menyebabkan fokus media, solidariti  dan bantuan kewangan hanya sampai ke Gaza, maka ada pihak yang perlu menjawab, kenapa penduduk Malaysia hanya mengenali Gaza? Jawapan saya, ialah kerana pihak yang berada di Gaza, secara kolektif daripada penduduknya, kerajaannya (tanpa persoalan diiktiraf atau tidak), dan aktivisnya memainkan peranan yang sangat berkesan sehingga kemelut mereka dirasai dan dikongsi dengan masyarakat antarabangsa.

6. Tetapi tidak ramai yang mengenali kesusahan penduduk yang berada di Tanah Jajahan 1948 dan di Tebing Barat. Tidak ramai yang faham dengan proses normalisasi yang sedang giat berlaku sehinggakan sedikit demi sedikit negara luar mengiktiraf kewujudan negara haram tersebut tanpa disedari. Tidak ramai yang menyedari bagaimana demografi Kota Al-Quds berubah dengan mendadak setelah puluhan ribu penduduk asal terpaksa berhijrah akibat tidak mampu membayar cukai yang bernilai puluhan ribu ringgit setahun yang dikenakan oleh kerajaan Zionis, dipaksa merobohkan rumah dengan tangan sendiri dan dilarang dibesarkan rumah sehingga puluhan anggota tinggal di dalam ruang kecil.

7. Malah, dukacitanya masih banyak pihak yang mendabik dada bangga bahawa ziarah mereka ke Al-Aqsa sebagai pelancong membantu ekonomi penduduk kerana menginap semalam dua di hotel penduduk tempatan dan membeli cenderahati dari mereka. Kalau jahil, silakan bertanya, jangan tegakkan benang yang basah.

8. Waktu ini bukan waktu yang sesuai untuk mencari lawan. Ia waktu untuk menyusun semula saf dan memperbetulkan barisan berdepan musuh yang tidak berpecah-belah. Berbanding mencari salah dan menuding jari, lebih baik mencari jalan menyatukan faksi yang banyak di dalam barisan Palestin - yang menyebabkan pendokong kalian muak - dan bersatu tatkala ummah sedia bersatu untuk kalian. Daripada sibuk mengorek lubang baru, wujudkan gelombang bagaimana memaksa kepimpinan menghentikan kerjasama sekuriti dengan penjajah dan menoktahkan saki-baki Perjanjian Oslo dalam berdepan neo-Oslo iaitu Deal of The Century.

9. Saya telah bertemu dengan pihak yang melontar tohmah ketika berada di Malaysia dan menasihati supaya mereka mengadakan pertemuan mahabbah bersama-sama dengan NGO tempatan dan membentuk kerjasama. Pandangan yang sama juga telah saya berikan kepada pihak di kerusi sama sebelumnya, tetapi tidak ada tindakan yang diambil. Yang ada hanyalah tuduhan dan persoalan mengapa NGO-NGO Malaysia gemar bekerjasama dengan pecahan Palestin yang tidak diiktiraf, dan mengapa kerajaan Malaysia sendiri menjalinkan hubungan dengan pihak terbabit yang ‘tidak diiktiraf dunia’. Kalau pun kami terlalu kecil dan usaha kami terlalu kerdil untuk dibentuk kerjasama, paling-paling kumpulkanlah mereka yang berusaha membantu anak bangsa kalian untuk bersilatur-rahim sebagai penghargaan.

10. Malaysia mempunyai sejarah panjang membantu perjuangan rakyat Palestin, daripada kerajaan sehinggalah kepada NGO dan rakyat marhaen. Kami di PALM Strategic sendiri pernah menyiapkan kertas kerja berkaitan tajuk tersebut, sebagai tanda bangga bahawa kami merupakan sebahagian perjuangan pembebasan tanah milik ummah ini. Perjuangan ini, adalah perjuangan ummah, perjuangan milik bersama yang tidak ada tuan atau pemilik. 

11. Justeru itu, puluhan NGO bekerjasama di bawah payung Wisma Malaysia di sini untuk membantu dari segenap aspek dan sudut. Dan kami akan terus membantu penduduk Palestin di Gaza, di Masjid Al-Aqsa, atau di mana sahaja bumi yang dijajah, sama ada melalui Kementerian Wakaf, secara terus kepada penduduk atau melalui mana-mana badan yang kami yakini sebagai jalan dan jambatan menyampaikan amanah tersebut, sehinggalah Kiblat Pertama ummah kembali ke tangan kita.

Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman,
PALM Strategic Initiatives Centre, Gaza

Senarai NGO bersama :

Cinta Gaza Malaysia - CGM
MAPIM : Malaysian Consultative Council for Islamic Organization
Iman Care
Warga Cakna
Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd Official
Serantau Muslim
Perdana Global Peace Foundation
Dana Kita
Sedekah Subuh
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA)

Tolong share seluasnya supaya orang faham dan tahu 👆🏼