Selasa

Mempersendakan Amalan Ibadah

Mempersendakan Amalan Ibadah adalah Sifat Munafiq

Mempersenda-sendakan orang-orang beriman dalam perbuatan ibadah merupakan sifat orang-orang munafiq.
Al-Quran merakamkan sifat tersebut dalam firman Allah Taala:
الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ ۙ سَخِرَ اللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: "Orang-orang (munafiq) yang mempersenda-sendakan sebahagian orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela dan (mempersenda-sendakan) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, Allah akan membalas ejek-ejekan mereka dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya" (Al-Taubah: 79).

Ibn Kathir menjelaskan maksud ayat ini, "Ini juga adalah antara ciri-ciri orang-orang munafiq. Tidak ada seorang pun boleh terlepas dari menjadi bahan ejekan dan persedaan mereka dalam semua situasi. Hatta orang yang bersedekah pun tidak terlepas dari ejekan mereka" (Tafsir Ibn Kathir).

Al-Saa'di menyebut beberapa pengajaran daripada ayat tersebut, antaranya:

i- Antara sifat munafiq ialah mereka cuba memerhatikan tindak-tanduk orang-orang beriman dengan tujuan mencari-cari peluang untuk mengata-ngata kepada mereka.

ii- Perbuatan mempersenda-sendakan orang lain adalah HARAM dan termasuk dalam dosa-dosa besar, jika bahan sendaan itu itu adalah perkara duniawi. Jika sekiranya bahan sendaan mereka adalah perkara ketaatan (seperti ibadah), maka ia adalah lebih-lebih teruk.

Oleh itu, awaslah kita daripada MEMPERSENDA-SENDAKAN orang-orang beriman. Jika mempersenda-sendakan mereka dalam perkara dunia pun sudah dikira HARAM, apatah lagi mempesenda-sendakan terhadap amalan ibadah.

Kalaupun kita memegang dengan kemah-keming satu-satu pendapat dalam apa-apa tatacara ibadah, janganlah sesekali kita berani untuk mempersenda-sendakan rakan-rakan Muslim kita yang berbeza pandangan dengan kita. Jaga lidah kita... jangan sampai ditulis oleh Malaikat bahawa kita mengejek-ngejek amalan sunnah..

Sabda Nabi Sallahu Alaihi Wasallam:
"Tidakkah manusia dihumban muka-muka mereka ke dalam neraka ialah disebabkan oleh (tutur kata) hasil tuaian lidah-lidah mereka". (Ahmad, Tirmizi (hasan sahih), Nasaie, Ibn Majah).

Sabda Nabi Sallallahu Alahi Wasallam:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah bercakap yang baik atau hendaklah senyap". (Bukhari dan Muslim).

0 ulasan:

Catat Ulasan