Jumaat

Bapa enggan hantar anak-anak ke PLKN lagi

Lagi Berita Anak SaudaraKu

KOTA BHARU 22 Jan. - Mohd. Hussin Mohd. Yunus, 45, bapa kepada Mohd. Al-Hasyhiemi, 18, bertegas tidak akan menghantar anaknya untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada masa akan datang.

Katanya, seorang lagi anaknya, Nur Amirah Mohd. Hussin, 17, yang sedang menuntut di tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati, Pasir Mas di sini juga tidak akan dibenarkan menyertai program berkenaan.

"Saya tidak akan menghantar anak-anak saya ke program tersebut selepas apa yang berlaku ini.

"Saya tidak mahu perkara sama berulang kepada anak saya yang lain," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada 1 Januari lalu, Mohd. Al-Hasyhiemi, 18, lemas selepas terjatuh dalam longkang ketika banjir kilat di Kem PLKN Tegas Mesra di Selama, Perak.

Peserta malang itu kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

"Saya tetap dengan keputusan saya ini walaupun dia dipanggil semula oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk menghabiskan latihan.

"Saya tidak mahu perasaan Mohd. Al-Hasyhiemi terganggu selepas ini kerana saya yakin dia akan trauma mengenangkan kejadian yang menimpa dirinya," katanya.

Sementara itu Mohd. Hussin berkata, buat masa ini dia tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada pihak berwajib mengenai kecelakaan yang berlaku terhadap anaknya itu.

Katanya, sehingga kini JLKN menunjukkan tanggungjawab yang baik dan mengambil berat terhadap kemalangan yang menimpa anaknya.

"Saya rasa bersyukur kerana JLKN mengambil berat malah pengarahnya sendiri sanggup datang melawat anak saya.

"Buat masa ini saya tidak akan mengambil apa-apa tindakan undang-undang namun saya tidak pasti pada masa akan datang," katanya.

Utusan Malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan