Isnin

Jangan sesekali dedah aib setelah bersengketa


KERJASAMA dalam masyarakat umpama dua belah tangan, saling membersihkan apabila menyedari sebelah tangannya kotor. Begitulah keadaan di antara ahli masyarakat jika melakukan kesilapan, hendaklah saling tegur menegur tanpa menyinggung perasaannya.

Setiap kali berlaku tegur menegur janganlah berkecil hati atau masam muka, dengan syarat orang yang menegur itu mesti mengguna bahasa yang sopan dan lemah lembut. Agar yang mendengar nasihat dapat menerimanya dengan hati terbuka, kerana nasihat itu tidak menyinggung perasaan orang yang menerimanya.

“Rohama-u bainahum,” di antara satu sama yang lain dalam keadaan kasihan belas dan berkasih sayang. Itulah sikap luhur yang mesti wujud dalam masyarakat Islam. Untuk mengetahui sama ada seorang kawan itu sungguh bersimpati dan baik hati iaitu; dia tidak menikmati makanan yang lazat sendirian tanpa ditemani bersama kawannya.

Jika dia merasai lazat dan seronok makan sendirian, maka itu tandanya dia tiada sikap ingin berkawan dengan orang lain. Terpaksa berkawan dengan sesama manusia, lantaran mereka duduk sekampung atau setaman dengannya. Sedangkan maksud berkawan bukan atas alasan begitu.

Bahkan kerana agama mengajar supaya anggota masyarakat itu ada sifat “suhbah” (persahabatan) dan “ukhuwah” (persaudaraan) dalam diri masing masing.

Antara tandanya lagi ialah jika seseorang pergi ke tempat yang menggembirakan hati, tetapi tidak mempelawa bersama kawannya. Itu tandanya dia tidak suka berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Sikap dirinya terlalu keakuan dalam perkara yang sepatutnya boleh dikongsi.

Sewajarnya dia merasa terkilan apabila tidak mengajak kawannya bersama ke tempat tersebut. Di hatinya berkata; alangkah baiknya jika kawanku turut bersama, tentu dia rasai gembira bersama seperti yang dirasainya.

Selepas memperkatakan tanggungjawab tenaga dan jiwa raga terhadap kawan atau sahabat, kini diperkatakan pula tentang tanggungjawab lisan (lidah) ketika bersahabat.

Ada ketikanya kita kena cakap perkara tertentu, ada masanya lebih baik diam senyap tanpa kata-kata, apabila berdepan dengannya jika dia kawan atau sahabat kita.

Adapun perkara yang sepatutnya senyap tanpa ucapan, ialah dari menyebut keaiban dirinya. Sama ada di hadapan atau belakangnya. Jika seringkali menyebut keburukannya, perbuatan itu menjadi bukti bahawa anda tidak bersahabat dengannya.

Bahkan menjadi kewajipan kita berdiam diri, seolah-olah tidak tahu langsung wujudnya keaiban kawan kita itu. Seperti orang jahil langsung tidak mengetahuinya. Menjadi tanggungjawab seseorang itu membisu daripada menyebut keaiban kawannya, wajib bersikap jahil atas keaiban orang lain.

Hendaklah senyap tanpa kata daripada membalas balik, perkataan kawan yang boleh menjejaskan diri atau peribadi kita. Jangan berbalah dan berbantah atas isu tersebut.

Sebolehnya mengelak daripada meneruskan pertuturan tersebut, atau lencongkan daripada bercakap topik itu kepada isu yang lebih bermanfaat, atau berdiam diri. Supaya akhirnya dia sedar bahawa perbualan buruknya, tidak mendapat sambutan dan perhatian daripada kita.

Hendaklah senyap dan berdiam diri, daripada berkata yang bersifat menyelidiki (tajassus) hal ehwal peribadinya. Kerana perbuatan mencungkil rahsia adalah ditegah oleh Islam, seperti yang ditegaskan dalam ayat 12 Surah Al-Hujraat.  Perbuatan yang perlu dielakkan apabila berkawan, kerana ia boleh menimbulkan masalah dan menjejaskan hubungan persahabatan antara kedua-dua pihak.

Mungkin dia tidak suka orang lain terlalu ambil tahu tentang ehwal diri dan pekerjaannya. Apakah sebabnya yang perbuatan itu tidak manis jika terlalu bertanya khabar, ketika bertemu di saat dia membuat sesuatu perkara. Kerana boleh meninggalkan kesan berat atasnya, untuk menjelaskan sesuatu yang ditanya itu. Kadang kala mereka terpaksa tidak bercakap benar untuk menjawabnya, pertanyaan kita itu menyebabkan dia jadi pendusta.

Hendaklah tidak berkata akan rahsia-rahsia yang dia telah menceritakan kepada kita, sedangkan dia telah meletakkan kepercayaan sepenuhnya. Hingga dia sanggup mendedahkan rahsia kepada kita, sekali-kali tidak boleh mendedahkan rahsia tersebut, walaupun kepada kawan paling rapat dan dipercayai.

Tidak boleh mendedahkan walau sedikit pun rahsia seseorang, sekalipun setelah berselisih faham dan berbalah antara kedua-duanya. Orang mukmin tidak mendedahkan rahsia, sama ada ketika berkawan baik atau ketika bersengketa atau selisih faham.

Membuka rahsia seseorang walaupun setelah berbalah dengannya, jadi bukti bahawa hakikat peribadi yang berkenaan terlalu hodoh dan kotor. Sebagaimana ditegah mencaci peribadinya, begitu juga dilarang mencaci keburukan orang yang menjadi kawan temannya dan keluarganya.

Janganlah menyebut mengenai orang yang  menceritakan hal keburukan kawannya kepada kita, kerana golongan itu kelak yang akan dedah keaiban peribadi kita kepada pihak lain.

Wajar menasihati orang yang berurusan dengan golongan tersebut, sekadar mengingatkan agar berhati-hati tanpa menyebut dan menyenarai keburukannya.

Ahad

Amalan Bulan Sya'aban


Apabila Kita melangkah ke bulan Syaaban. Jadi, apakah amalan yang sepatutnya dilakukan pada bulan Syaaban?

Sesuatu yang sahih daripada nabi pada bulan Syaaban ini ialah nabi saw memperbanyakkan berpuasa sunat sebagai suatu persediaan menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Aisyah r.a menyatakan bahawa:

"Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."

Usamah bin Zaid pula menceritakan; "Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban", lalu Baginda menjawab, "Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas'aei).

Justeru, daripada hadis-hadis di atas, kita mendapati bahawa nabi saw amat mengambil berat untuk memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban. Di samping itu, sesiapa yang masih berhutang puasa pada Ramadhan yang sebelumnya seperti wanita yang meninggalkan puasa kerana 'datang bulan', maka inilah waktu yang sesuai untuk mempastikan agar segala 'hutang' dilunaskan sebelum tibanya bulan Ramadhan.

Sebagai mencontohi sunnah nabi, kita sewajarnya memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban yang mulia ini.

Di samping berpuasa, kita juga boleh memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain untuk memepertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan sebagai suatu persediaan untuk memperbanyakkan lagi amalan pada bulan Ramadhan. Antara amalan yang boleh dilakukan selain daripada berpuasa ialah membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berzikir, memperbanyakkan solat sunat, bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim, melakukan amalan kebajikan, memohon keampunan untuk ibu-bapa, memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat dan sebagainya.