Selasa

Taubat bukanlah perkara bermusim....


SUDAH namanya manusia, sering melakukan kesilapan. Ada yang disengaja, ada pula tidak disedari tetapi akhirnya membuatkan seseorang berasa disakiti. Tidak terkecuali, ada yang suka mempersenda hukum Ilahi, terlupa bahawa hidup tidak kekal abadi. Kehidupan di dunia yang penuh cabaran memungkinkan kita berbuat apa saja untuk memuaskan nafsu tidak baik.

Dunia ini penuh permainan yang melalaikan, walau cuba mengawal diri daripada tipu daya, ada kalanya kita tertewas juga, apatah lagi jika balasannya lambat tiba, tidak terasa janji Allah itu akan sampai akhirnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri Akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?” (Surah Al-An’am, ayat 32)

Benar manusia boleh dibohongi tetapi bukan Dia Yang Maha Kuasa. Negeri akhirat itu pasti, kepada yang tidak mensia-siakan kehidupan di dunia dengan kezaliman terhadap diri sendiri, kegembiraan yang ditunggu bagai tidak sabar dirasai.

Jika sebaliknya, tentulah balasannya tidak tertanggung. Akal dikurniakan Allah SWT adalah untuk berfikir, supaya tidak mengulangi kesalahan yang serupa sehingga menggagalkan misi dan visi sebagai hamba di dunia ini.

Meskipun cuba menjadi hamba yang baik dan taat, ada kala kita lalai dan terlupa. Kata hati rupanya tidak semuanya memihak kepada kebenaran, bahkan membuka pekung di dada. Justeru, segala keterlanjuran terhadap Yang Esa jangan sampai kita tidak bertaubat.

Menyesali dosa dilakukan dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya adalah usaha yang perlu dilakukan jika benar-benar ingin bertaubat. Usah dikenang masa lalu sebaliknya kenanglah pengajaran yang tidak mungkin akan berulang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘taubat nasuha’, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,” (Surah At-Tahriim, ayat 8)

Jangan pula taubat dipermainkan dengan mengulangi kemungkaran. Sesiapa yang ingin bertaubat mestilah menyesali dosa yang dilakukan dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Inilah dikatakan menyucikan diri mudah-mudahan kebaikan ini mendorong kepada pembersihan jiwa sebenar.

Seboleh-bolehnya hidup hendaklah dipandu dengan garis panduan yang dimuktamadkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya yang sememangnya membantu kita menggapai kebahagiaan hakiki.

Segala bentuk maksiat terhadap perintah Allah SWT hendaklah dipohon keampunan dengan taubat dan sebarang bentuk penganiayaan terhadap orang lain, perlu disertai kemaafan serta mengembalikan hak yang diambil.

Jika ia fitnah, bayarlah dengan membersihkan nama baiknya dan jika harta yang diambil, lunaskan dengan mengembalikan miliknya atau minta dihalalkan.Penangguhan akan memungkinkan seribu tragedi yang boleh menggagalkan hasrat pengampunan daripada Yang Esa.

Usahlah kita menangguhkan peluang kerana ajal akan datang pada bila-bila masa dan syukurlah jika kita sempat menyedari dosa serta kejahilan yang pernah dilakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah An-Nisaa’, ayat 18).

Oleh:Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia

Sabtu

Pelbagai alasan malas menghafal quran

Ada 4 kesukaran utama yang kerap menjadi alasan golongan ‘katakan tidak pada hafazan’. Alasan ini saya kumpulkan dari ribuan respon peserta seminar Kaedah Jibril. Antara ratusan halangan, alasan serta gangguan, mereka telah bersepakat dengan 4 alasan utama iaitu :




1. Sukar menghafaz kerana tidak fasih membaca Al-Quran

2. Sukar menghafaz kerana tiada masa

3. Sukar menghafaz kerana faktor usia

4. Risau menghafaz kerana takut lupa.



Baiklah, mari kita mengenalinya satu persatu agar anda termasuk dalam golongan yang berkata ‘katakan YA pada menghafaz’.





ALASAN PERTAMA : SUKAR MENGHAFAZ KERANA TIDAK FASIH MEMBACA AL-QURAN.



Ia merupakan antara ikon terhebat dalam kompilasi 100 alasan ’mengapa saya tidak boleh menghafaz’ kerana kami menerima puluhan emel yang bersetuju dengannya. Yang terkilannya apabila diteliti hujah golongan ini, mereka memang sejak dari awal lagi tidak berminat menghafaz. Jadi, mereka mereka-reka ungkapan yang berbunyi ’saya tidak mampu menghafaz kerana tajwid tidak betul’.

ALASAN KEDUA : SUKAR MENGHAFAZ KERANA TIADA MASA.





Rasanya alasan tiada masa ini lebih popular dari alasan pertama. Ada berpuluh-puluh dalih bernada serupa : sibuk mesyuarat, sering outstation, ada 15 cucu yang hendak dijaga, dateline kerja bertimbun-timbun dan berbagai-bagai lagi.



Untuk menjawab alasan ini, saya mengajak anda meneliti fakta berikut :



Bayangkan jika kita diberi umur sama dengan Rasulullah S.A.W : 63 tahun.



- Jika tidur 7 jam sehari : jumlahnya sama dengan 18 tahun dari 63 tahun usia anda.

- Jika makan 2 jam sehari : sama dengan 5 tahun

- Jika menonton television 4 jam sehari : sama dengan 10 tahun

- Jika di tandas 1 jam sehari : sama dengan 2 tahun

- Jika bersembang 3 jam sehari : sama dengan 7 tahun setengah

- Jika menghafaz/baca Al-Quran 30 minit sehari : sama dengan setahun setengah



Kesimpulannya, adakah dakwaan tiada masa itu benar-benar berlaku? Bolehkah kita mempercayai waktu kita sentiasa tidak cukup sedangkan 4 ke 5 jam kita habiskan begitu sahaja hanya untuk makan dan bersembang? Bagaimana kita boleh berkata ’saya sangat sibuk’ sedangkan pada masa yang sama, waktu menonton televisyen kita kadang-kadang lebih panjang dari waktu solat? Atau kita sedang menegakkan perkataan ’malas’ dengan berselindung di sebalik kesibukan?



Saya faham, mungkin sebahagian anda tidak bersetuju dengan fakta di atas. Tetapi jika diperhatikan betul-betul, prioriti waktu kita sering tunggang-langgang sehingga waktu yang digunakan untuk ilmu sering tidak setanding dengan waktu yang digunakan untuk urusan nafsu. Benar kata-kata Zig Ziglar, ‘Bukan tidak ada masa tetapi tidak ada arah’. Pengurusan masa kita tidak diuruskan dengan betul sehingga kita lebih banyak berehat dari melakukan perkara bermanfaat. Patutlah Tuhan awal-awal lagi menempelak kita sebagai ‘golongan yang rugi’ dalam surah Al-Asr :



Demi waktu. Sesungguhnya manusia dalam kerugian.. (Surah Al-Asr 1-2)



‘Tetapi ustaz tak faham hidup saya, sampaikan nak makan pun kadang-kadang terkejar-kejar!’



Ya benar, saya pun kadang-kadang begitu. Tetapi ia tidaklah berterusan setiap hari bukan? Sebenarnya begini : apabila sistem kepercayaan kita disetkan ‘masa tidak pernah cukup’ teka apa yang terjadi? Memang masa tidak pernah cukup. Tetapi jika anda berfikir sebaliknya ‘saya ada masa untuk menghafaz’, anda bukan setakat menghafaz sepuluh surah, bahkan seluruh Al-Quran pun mampu!



Kesimpulannya, kita semua mempunyai pilihan dalam hidup ini. Saya memilih untuk menjadi hafiz, dan saya membuat pilihan itu setiap hari. Anda juga begitu. Jika setiap hari anda berfikir ’saya ingin menghafaz Al-Quran’ dan berusaha sedikit demi sedikit untuknya, anda sebenarnya sedang membina program untuk diri anda. Mungkin pada awalnya anda merasa sedikit sukar, tetapi bila ia dilakukan setiap hari, program tersebut akan berjalan secara automatik.



Pokok-pangkalnya ialah : jika ’kerana Allah’ menjadi prioriti utama, InsyaAllah Tuhan akan melapangkan masa anda. Yakinlah.





ALASAN KETIGA : SUKAR MENGHAFAZ KERANA FAKTOR UMUR.



Disebabkan seminar Kaedah Jibril banyak dihadiri golongan dewasa dan berusia, maka alasan ini termasuk dalam kategori sebab paling popular dikemukakan. Selalunya ia datang dari peserta berusia 50 tahun ke atas, dan kerana itulah, saya bersiap sedia dengan jawapan yang sesuai dengan tingkat umur tersebut.



’Ustaz, makcik rasa otak ni slow lah, sebab umur makcik sekarang dah nak dekat pencen dah…’ celah seorang makcik ketika saya menerangkan kadar hafazan Kaedah Jibril.



’Tapi makcik, walaupun usia dah nak dekat pencen, otak kita tak pernah pencen…. lagipun, usia emas seperti makciklah usia paling sesuai mula menghafaz, sebab Rasulullah pun mula menghafaz ketika berumur 40 tahun, dan selesai ketika usia lebih dari pencen – 63 tahun! Kalau start hafaz sekarang, makcik dapat pahala ikut sunnah!’



Saya menjawabnya dengan senyuman. Makcik itu pun tersenyum lebar.



Memang benar, perkataan ’pencen’ tidak pernah dikenali oleh otak kita. Prestasinya akan menurun jika kita kurang menggunakannya, tetapi jika anda selalu menghafaz, prestasinya semakin bertambah. Lagipun saya percaya, setiap perilaku Rasulullah boleh kita jadikan ’Qudwah Hasanah – contoh terbaik’ termasuklah usia nabi menghafaz Al-Quran. Bagi Rasulullah, tiada istilah ’usia subsidi’ ’usia pencen’ atau ’usia R.T.M – rehat, tidur, makan’ kerana Al-Quran mengajar kita berusaha tanpa henti sampailah nyawa bercerai dari badan.



Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amalan), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amalan lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon. – Surah As-Syarh 7,8



Saya pernah berpeluang mengajar kelas menghafaz Al Quran untuk dewasa. Salah seorang pesertanya, seorang wanita yang agak berumur merupakan antara peserta tertua kelas ini. Berdasarkan pencapaian hafazannya yang agak sederhana, persepsi awal saya mengagak beliau tidak akan bertahan lama. Setelah 4 bulan berlalu, ternyata anggapan saya tersebut sangat meleset! Beliau merupakan peserta yang paling hebat dan kuat hafazannya sehinggakan saya mengagak tentu beliau memiliki teknik lain yang tidak dikongsi bersama saya.



6 bulan kemudian, kelas tersebut terpaksa ditamatkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Sejak itu saya tidak menemui makcik itu lagi. Tetapi setahun kemudian, beliau menelefon saya untuk bertanya surah lain yang perlu dihafaz. Alangkah terperanjatnya saya apabila mendapati beliau masih mengekalkan ingatan 10 surah hafazannya selama ini. Menarik bukan! Dan sebagai tambahan, umurnya sudah menjangkau 68 tahun!



Moral cerita ini ialah : tiada istilah pencen dalam menghafaz Al-Quran.





ALASAN KEEMPAT : RISAU MENGHAFAZ KERANA TAKUT LUPA.



Menurut psikologi, penyakit lupa disebabkan beberapa faktor iaitu :



1. Usang. Maklumat dibiarkan begitu lama tanpa cuba diingati kembali

2. Gangguan. Maklumat baru (ayat hafazan baru) bertindih dengan ayat hafazan lama dalam ingatan, atau sebaliknya.

3. Tekanan. Termasuk penyakit stress, kebimbangan dan konflik hidup.



Nampaknya kita tidak ada cara untuk mengelak seratus-peratus dari penyakit lupa. Anda tetap akan lupa walaupun anda makan kismis doa satu tempayan, minum air Yasin 3 baldi serta telan pil minyak ikan satu lori. Ini kerana, otak kita dijadikan Tuhan dengan kemampuan untuk mengingati dan melupakan maklumat serta ingatan dalam jangka waktu tertentu.



Tetapi, jika difikir betul-betul, apa sangat yang kita takutkan dengan lupa sehingga ia begitu sekali diperbesarkan? Apakah ia akan menjadikan kita berdosa besar? Belum pasti. Apakah ia akan menyebabkan anda pasti masuk neraka? Pasti tidak. Apakah dengan tidak menghiraukannya usaha anda menghafaz akan menjadi lebih mudah? Sudah tentu.



Maka, supaya anda tidak terlalu lama takutkan hantu bernama ’lupa’, saya turunkan petua yang ibu saya wariskan 16 tahun lalu ketika saya takutkan masalah sama.



‘Angah, mak tak mahu engkau asyik fikir ‘angah tak mampu hafaz sebab selalu lupa’, tapi mak mahu angah fikir ‘apa yang perlu angah buat supaya hafazan tak lupa’.



Sampai sekarang nasihat tersebut berbekas di hati. Ibu saya mengajarkan bahawa lebih baik kita melihat lupa sebagai perkara positif bukannya negatif. Lupa adalah satu nikmat bukan malapetaka. Dengan berfikir begini, kita sedang melakukan perubahan kecil yang tidak memerlukan modal besar tetapi menghasilkan keuntungan sangat tinggi. Dengan berfikiran positiflah, saya sentiasa berusaha mengulang hafazan setiap hari tanpa jemu. Dengan berfikir positiflah, Alhamdulillah setakat ini hafazan Al-Quran saya agak baik walaupun saya tidak nafikan, masih terdapat beberapa surah yang perlu digilap. Dengan bertindak positif juga, saya cuba berfikir kreatif menghasilkan teknik terbaik untuk golongan umum menghafaz sehingga lahirnya kaedah ini.



Maka jangan panik menghadapi penyakit lupa. Lihatlah ia sebagai satu cabaran bukan halangan. Jika anda terus berfikiran begini, saya yakin anda bukan setakat menghafaz 10 surah, malah mungkin mendapat gelaran ‘hafiz’ 30 juz nanti. Dan sebagai bonus tambahan, saya turunkan beberapa zikir yang saya amalkan setiap kali terlupa ayat Al-Quran yang dihafaz iaitu :



1. Berlindunglah kepada Allah dari gangguan syaitan melalui Istiazah, kerana penyakit lupa mungkin disebabkan perbuatan syaitan yang menutup ingatan kita supaya lupa, seperti yang pernah berlaku kepada pembantu Nabi Musa. Rujuk Surah Kahfi, ayat 60-65.

2. Mengingati Allah dengan memperbanyakkan Istighfar, kerana kita terlupa mungkin disebabkan banyaknya maksiat yang dilakukan. Ini selaras dengan firmanNya dalam Surah Kahfi, ayat 24.

3. Perbanyakkan selawat kepada Rasulullah S.A.W. kerana selawat akan mengundang rahmat dari Allah.



Cubalah amalkannya, InsyaAllah, anda akan merasai keberkatannya nanti. Yang penting, katakan pada diri anda sekarang : ’Wahai penyakit lupa, aku telah menjatuhkan ‘talak tiga’ kepadamu!’

- jawapan di atas dipetik dari ebook kaedahjibril. Anda boleh mengetahui teknik termudah dan paling prkatikal utk start azam menghafaz AlQuran sempena ramadhan ini dnegna mengunjungi