Isnin

Polemik Anjing: Khilaf Fiqh dan Sanggah Budaya Melayu Islam

Polemik Anjing: Khilaf Fiqh dan Sanggah Budaya Melayu Islam

Kini berulang lagi polemik anjing untuk kesekian kalinya ketika mood Aidil Fitri masih menebal. Awal Ramadan baru-baru ini ada isu anjing dibawa ke meja makan McDonalds. Namun itu hanya melibatkan ceroboh budaya dari kaum lain ke atas sensitiviti dan nilai budaya Melayu Islam, iaitu isu yang mungkin agak mudah dipersepsikan. Namun bila ia melibatkan isu bela dan belai anjing dalam kalangan Melayu Muslim sendiri, polemik ini menjadi kompleks dan mengundang debat tanpa noktah lantaran ia melibatkan isu khilaf fiqh yang tercerna dalam isu nilai sakral budaya Melayu Islam. 

Polemik anjing sebenarnya bukan isu besar dalam tasawwur perjuangan ummah kini. Ia hanya juzuk kecil dalam isu furuk taharah yg diulang dalam sekuel debat aliran-aliran semasa di Malaysia ini. Namun ia agak menarik untuk diulas kerana melibatkan hukum agama yang resiprokal dengan nilai tradisi budaya umat Melayu Muslim di samping saat ini juga wabak anjing gila sedang menular.

Sejarah Debat Anjing Di Malaysia

Debat tersohor tentang anjing yang pernah tercatat dalam sejarah Malaya ialah pada 1937 antara Kaum Tua dan Kaum Muda di Istana Sri Cemerlang Kelantan yang dihadiri lebih 2000 audiens. Debat ini dianalisis secara ilmiah oleh ramai cendekiawan termasuk cendekiawan Barat, William R Roff yang juga merupakan second supervisor PhD saya. Sila cari artikel menarik beliau “Whence Cometh The Law? Dog Saliva in Kelantan 1937” di Google Scholars.  Artikel ini sangat baik utk dihadam oleh pengkaji ikhtilaf di Malaya. Keputusannya setiap pihak kekal dengan pegangan masing-masing. Kedua pihak bersetuju merujuk isu ini kepada Al-Azhar yang akhirnya merumuskan pandangan status quo sebagaimana dalam fiqh.

2014 juga kecoh tentang program I Want To Touch The Dog yg juga meributkan polemik anjing buat seketika hingga melibatkan campurtangan pihak berkuasa.  Sebelum dan selepas itu ada tularan sekali sekala di internet dan media sosial di mana beberapa individu lelaki bani Melayu termasuk yg berjubah memperagakan belaian anjing belaan mereka yang pelbagai jenis. Lalu pelbagai kritikan dan herdikan dihamburkan di blog2 dan di laman sosial kerana seolah mereka ini telah tercampak keluar dari batas agama.

Kini Syawal 2017, seorang wanita Melayu berhijab berlatar pendidikan dari universiti Islam tersohor negara yg membela dan membelai anjingnya muncul dan ditonjolkan di laman sosial dengan motif hakiki yg masih tidak dapat dipastikan. Sama ada tujuannya utk mempromosi satu "nilai budaya" baru berteras fikrah "liberal" untuk bani Melayu sekaligus meroboh benteng tradisi kudus sedia ada, atau semata-mata satu persembahan kecenderungan baru gen Y dan Z yg mahu menampilkan peribadi insan berjiwa halus yang menyayangi haiwan, ia tetap memprovokasi majoriti umat Melayu.

Justeru medan debat anjing dibuka lagi. Debat anjing ini adalah salah satu dari sequel konflik yang panjang antara dua aliran pemikiran di alam Melayu Islam. Ia simbol dikotomi aliran reformis dan tradisionalis yang kekal hingga hari ini walaupun corak, orientasi dan fokus agak berbeza mengikut zamannya. Justeru, oleh kerana anjing isu khilaf dalam fiqh, ia sentiasa menjadi mauduk kegemaran para pendebat dari kedua aliran hingga era millenium ini.

Anjing Dalam Tamadun Manusia dan Tradisi Islam

Dalam tamadun manusia, anjing mempunyai hubungan baik dengan manusia sejak awal lagi terutama sebagai pembantu manusia memburu. Ia antara haiwan yang IQnya tinggi dan memiliki upaya mengesan yang sangat baik serta mudah dilatih manusia. Ia haiwan pertama yang dijadikan sebagai pet (binatang belaan di dalam rumah, disayangi dan dimanjakan dan dianggap sebagai rakan) oleh masyarakat Barat. Banyak variasi baka anjing yang dimanfaatkan oleh manusia sebagai pemburu, pengawal, penjaga, termasuk baka garang spt Rottweiler yang sering menyerang dan membahayakan manusia. Tidak seperti babi, anjing secara umumnya tidak dianggap sebagai binatang yang biasa dimakan oleh manusia melainkan oleh sesetengah bangsa di Asia termasuk kaum Batak di Medan.

Dalam tamadun dunia moden, selain dijadikan pet oleh golongan non Muslim anjing digunakan oleh pihak pasukan keselamatan untuk tujuan pengesanan dan SAR. Terdapat unit khas anjing iaitu K-9 (asal perkataaan canine -anjing) dlm pasukan polis, tentera, bomba, kastam dsb bagi tujuan tersebut. Di Barat, ia juga dijadikan sebagai guide-dog yang membantu memimpin pergerakan dan perjalanan orang buta di luar rumah.

Masyarakat Barat sangat  menyayangi anjing, bukan sahaja menganggap ia sahabat baik tetapi menganggapnya sebagai anak yang taat. Jiran sebelah rumah saya semasa di UK memperkenalkan dua ekor anjingnya kepada saya sebagai anak-anaknya yang sangat baik.  Menjauhi dan mentakuti anjing di UK adalah satu sikap yang dianggap sebagai tidak bertamadun. Menyantuni dan menyayangi binatang adalah budaya yang asas dalam masyarakat Barat. Sebelum memahami budaya ini, saya dan isteri pernah beberapa kali dikejar dan hampir digigit anjing ketika berjalan balik ke rumah kerana  diarahkan oleh pemilik anjing tersebut (yang agak racist mungkin) yang marahkan kami kerana kami mengelak jauh dari anjing yang dibawanya. Rupanya mengelak jauh ketika bertembung dengan anjing dianggap biadab dan seolah-olah kita menganggap anjing itu sangat jijik, atau binatang ganas, sesuatu yang tidak dapat diterima oleh masyarakat barat.  

Dalam Islam, sebagai makhluk ciptaan Allah SWT, anjing ada manfaat yang tersendiri kepada manusia. Dalam al-Quran, watak anjing digambarkan dalam dua sisi, positif dan negatif. Sisi positif:

(i) Sebagai pengawas atau penjaga, iaitu anjing milik Ashab al-Kahfi yang mengawasi gua lokasi persembunyian mereka. Ia disebut berkali kali dalam penegasan bilangan pemuda Kahfi dan perihal tidur mereka (Al-Kahf 18, 22).
(ii) Sebagai pemburu binatang yg terlatih. Anjing diizinkan dlm al-Quran dijadikan binatang pemburu terlatih bagi menangkap binatang buruan utk si pemiliknya. Dalam tradisi Arab Badawi, mereka menggunakan binatang pemburu seperti anjing, singa, helang dsb utk membantu menangkap binatang buruan (Al-Maidah 4).

Sisi negatif: Sifat anjing yg menjelirkan lidahnya termengah-mengah sama ada dihalau atau dibiarkan, sebagai bidalan kepada golongan pendusta ayat-ayat Allah yg mempertuhankan nafsu (Al-A'raf 176).

Dalam hadis Nabi SAW banyak disebut tentang anjing. Antara yg masyhur ialah hadis jilatan anjing yg perlu dibasuh (disertu) 7 kali; Jibril AS tidak memasuki rumah Nabi SAW kerana terdapat seekor anak anjing sesat di bawah katil baginda, arahan Nabi SAW supaya semua anjing di Madinah dibunuh  dan hadis tentang berkurangan pahala orang yang membela anjing di dalam rumahnya. Semua ini dalam konotasi negatif. Dalam kes positif pula Nabi SAW membenarkan anjing digunakan utk berburu dan menjaga tanaman dan ternakan. Pemberi minum anjing kehausan termasuk wanita bernoda Bani Israel juga diampun dosanya menurut satu hadis'.

Allah SWT menjadikan haiwan termasuk anjing utk diambil 'ibrah oleh manusia. Banyak sifat baik anjing yg boleh difikirkan oleh insan. Anjing mudah terlatih dan mendengar kata tuannya. Ibnu al-Marzuban ulama kurun ke 3H mengarang karya sinis terhadap manusia menerusi kitabnya Fadl al-Kalb 'ala Kathir min man Labisa al-Thawb yg menonjolkan sifat-sifat baik anjing dari segi kepatuhan dan kesetiaan berbanding ramai manusia yg selalu ingkar dan diselaputi pelbagai sifat mazmumah.

Jadi, dalam tradisi Islam, anjing dianggap haiwan yg bermanfaat kpd manusia utk membantu menjalankan tugas-tugas tertentu terutamanya bagi masyarakat Badawi. Bagaimanapun penggunaannya adalah terhad kpd tujuan penjagaan kawasan pertanian, penternakan dan menjalankan tugas hirasah. Ia tidak biasa dijadikan haiwan belaan dan belaian manja manusia. Justeru, dari perspektif agama, penggunaan manfaat anjing tertakluk kepada hukum fiqh.

Fiqh al-Kalb

Antara khilaf fuqaha yang panjang dalam isu taharah ialah tentang kenajisan anjing. Tiada dalil qat’i tentang kenajisan anjing dalam al-Quran atau Hadis dan tiada ijmak mujtahidin dalam isu ini. Yang ada ialah petunjuk dan isyarat yang terbuka kepada pelbagai interpretasi fuqaha.  Ringkasan khilaf anjing antara fuqaha adalah seperti berikut:

Khilaf paling utama ialah sama ada 'ain atau fizikal anjing itu najis atau tidak:
Jumhur fuqaha dari mazhab Hanafi, Syafii dan Hanbali berpandangan 'ain anjing itu najis, manakala fuqaha Maliki tidak menganggapnya najis. Jika badan anjing kering, fuqaha Hanafiyyah berpandangan tidak najis, tetapi Syafiiyyah dan Hanabilah menyatakan ia tetap najis kerana tabiat anjing yg suka menjilat badannya.

Air liur, lembapan (peluh dari tapak kaki dan bahagian domoinya – anjing tiada kelenjar peluh di badannya), darah, kencing, tahi anjing dsb adalah najis ittifaq fuqaha mazhab Hanafi, Syafii dan Hanbali. Bagi fuqaha Maliki air liur dan lembapannya tidak najis tetapi perlu disertu kerana ta`abbud berdasarkan hadis. Kencing dan tahinya adalah najis dan perlu disertu.

Hampr semua fuqaha mengharamkan makan daging anjing kerana kenajisannya (jumhur) dan kerana ia bertaring (Maliki), tetapi ada riwayat bahawa sebahagian fuqaha mazhab Malik yang memakruhkannya.

Membela anjing tanpa sebab syar’ie adalah haram atau makruh berdasarkan hadis berkurangannya pahala seseorang satu qirat atau 2 qirat sehari bagi pembela anjing tanpa tujuan yang dibenarkan. Jumhur ulama menyatakan haram kerana secara mafhum, tidaklah berkurangannya pahala seseorang melainkan dengan dosa kerana dosa hanya terhasil dari perbuatan haram. Justeru membela anjing dalam situasi tiada keperluan syar’ie adalah  berdosa. Sebahagian lagi menyatakan makruh kerana istidlal terhadap haram dan dosa tidak jelas dalam nas. Bagaimanapun,tiada seorang fuqaha pun yang mengharuskan anjing diambil sebagai pet.

Perbahasan yang lengkap dan terperinci tentang kenajisan anjing mengikut mazhab boleh dirujuk dalam Fiqh al-Taharah karya Syeikh ‘Abd al-Wahhab ‘Abd al-Salam Tawilah.

Rumusannya, membela anjing untuk tujuan yang syar’ie diharuskan seperti yang telah disebut di atas, iaitu sebagai haiwan pemburu, menjaga ladang, mengawal ternakan, menjaga harta benda dan rumah, mencari orang hilang (SAR), mengesan barangan terlarang spt dadah dsb. Kaedah membelanya telah diperincikan oleh para fuqaha khususnya dari aspek kebersihan dengan  tidak membenarkan anjing bebas bergerak di kawasan rumah sehingga tercemar dengan najis.

Dari segi beramal, kita boleh sahaja berpegang kepada keluasan fiqh Islam. Di Malaysia yang umumnya berzhab Syafi’e, fiqh anjing berasaskan mazhab Syafie terpakai secara meluas hatta di Perlis sekali pun yang tidak terikat dengan mazhab Syafi'e. Tetapi jika kita berada di kawasan majoriti penduduknya non Muslim yang membela anjing atau tinggal di barat di mana majoriti rakyatnya membela anjing sebagai pet, boleh sahaja kita yang bermazhab Syafie beramal dengan pandangan mazhab Hanafi atau Maliki berasaskan prinsip umum al-balwa dan  raf’u al-haraj.

Pihak berautoriti agama kita telah menggariskan panduan dalam isu anjing. Tidak susah pun untuk mengikut garis panduan berkenaan. Cuma dalam isu mengambil dan membela anjing terbiar di kawasan rumah masih belum ada satu panduan dan pengurusan secara holistik. Dulu ada arwah Pak Mie di Alor Setar yang membela anjing terbiar di kawasan rumahnya sebagai pusat perlindungan. Sekarang ada Norashikin di Melaka yang megusahakan rumah perlindungan anjing dan kucing terbiar. Sebaiknya pihak PBT atau NGO yang menjalankan kerja ini, bukan individu lebih-lebih lagi yang Muslim. Ini boleh mengelakkan fitnah dan elemen sanggah budaya dalam masyarakat Melayu Islam.

Budaya Melayu

Selain babi, anjing adalah binatang yang paling banyak berlaku polemik dalam masyarakat Melayu kini. Dua binatang ini adalah taboo dalam budaya Melayu Islam terutama di Malaysia ini. Bagi Bani Melayu Muslim, babi adalah binatang paling jijik tahap maha, manakala anjing jatuh nombor dua. Nilai ini telah diindoktrinasi sejak generasi datuk nenek moyang kita hingga kini. Amalan syirik, tahayul, judi, rasuah, zina dan dadah pun tidak dapat menandingi kejijikan babi dan anjing dari perspektif kaum Melayu. Ramai yang tergamak makan rasuah tetapi tidak sanggup makan babi  padahal kesemuanya haram secara qat’ie. Status mughallazah babi dan anjing tersemat kemas di benak pemikiran mereka dan menjadi nilai yang kudus dalam budaya Melayu Muslim.

Ini sebenarnya adalah satu nilai budaya suci yang tercerna dari yang kefahaman hukum berteraskan fiqh Islam mazhab Syaf’ie. Ia menjadi nilai sejagat masyarakat Melayu yang terpelihara sejak sekian lama. Justeru, sebarang percubaan untuk keluar dari nilai ini dianggap sebagai percubaan menyanggah dan meruntuhkan sistem nilai yang telah well established sejak sekian lama. Hakikat ini yang gagal difahami oleh sebahagian mereka yang cuma mempromosikan belaan anjing sebagai pet. Ia ibarat satu cubaan berunsur jahat atau jahil yang perlu dibanteras atau diperbetulkan. Tidak hairanlah percubaan sebegini akan mendapat tentangan sengit dari masyarakat Melayu Islam. Alasan “ia tidak ada kena mengena dengan Islam” adalah natijah pemikiran sekular dan tidak boleh diterima kerana semua amalan kita tertakluk kepada dosa pahala.

Kecenderungan keluar dari budaya asal berasaskan agama ini seolah-olah menjadi satu trend masa kini. Ini adalah natijah dari cengkaman pemikiran sekular barat dan liberal yang jauh dari nilai, prinsip dan teras agama. Dalam masyarakat elit Kuwait kini, hobi membela anjing sebagai pet semakin membudaya. Di Malaysia ini, percubaan demi percubaan dilakukan oleh mereka-mereka yang tertentu untuk menguji sensitiviti atau mungkin membebaskan diri dari budaya Melayu Islam yang mungkin dirasakan mengongkong atau cuba membawa “Islam versi baru” yang lebih bebas dan melakukan “ijtihad” secara semberono dengan justifikasi akal dan nafsu semata-mata.

Isu anjing sebagai pet ini menyamai isu LGBT, wanita sebagai imam solat jamaah lelaki, kahwin tanpa wali dan saksi, arak harus diminum jika tidak memabukkan dsb, yang dimanifestasikan oleh pemikiran songsang yang cuba dipaksakan terhadap syariat Islam yang suci. Jika kita tidak sama-sama mengawal fenomena songsang ini, tunggulah pelbagai isu pelik lagi yang akan dipromosikan oleh golongan ini.

Rumusan:

1. Anjing ada banyak faedah yang boleh dimanfaatkan manusia. Bagi umat Islam ia boleh dimanfaatkan dalam limitasi yang dibenarkan oleh syariat Islam. Adapun keburukan anjing terutama spesis super garang dan menyerang manusia perlu dihadkan kegunaannya kerana mungkin mafsadahnya lebih besar dari faedahnya. Telah berlaku banyak kes serangan anjing peliharaan dari spesis garang ke atas manusia. Pihak berautoriti tidak sepatutnya membenarkan spesis ini dibela di rumah.

2. Anjing terbiar dan terbukti menyebarkan virus berbahaya spt rabies dsb haruslah dielakkan dan dimusnahkan atau diberi pelalian oleh pihak berkuasa. Ia satu bentuk sadd al-zari'ah sbgmana Nabi SAW mengarahkan anjing-anjing terbiar di Madinah dibunuh kerana mungkin menyebarkan penyakit, menyebabkan kekotoran persekitaran dan menggigit atau menyerang manusia.

3. Pihak kerajaan perlu menyediakan prasarana perlindungan yg bersesuaian utk menempatkan anjing terbiar bagi mengelakkan penyakit dan gangguan. Ini juga boleh mengelakkan fitnah dan persepsi negatif terhadap pencinta binatang khususnya anjing dlm kalangan Muslim yg mengambil anjing terbiar sebagai peliharaan tanpa sebab syar'ie. PBT atau NGO haruslah mengambil tanggungjawab ini dan mengelakkan orang Islam dari berkhidmat di sini.

4. Dalam semua ikhtilaf tentang kenajisan anjing sejak zaman fuqaha hingga kini, tiada keputusan tuntas yang boleh dibuat kerana tabii isu khilaf yang tiada dilalah qat`iyyah dari nas, ia terbuka kepada ijtihad fuqaha’ yang menatijahkan hukum yang bersifat zanni. Lantaran sifat hukum yang zanni dan masih berlegar dalam domain khilaf, ia tidak boleh “dipaksakan” kepada semua umat melainkan dalam 3 situasi: (i) apabila difatwakan; (ii) dijadikan keputusan mahkamah; (iii) dikodifikasikan sebagai perundangan oleh pemerintah. Justeru, dalam konteks Malaysia hari ini, pemerintah di negeri masing-masing boleh membuat peraturan atau undang-undang atau mengeluarkan fatwa yang jelas tentang isu anjing ini. Yang melanggar fatwa dan undang-undang ini boleh dikenakan tindakan. Ini boleh mengelakkan umat Islam dari mempromosikan idea songsang mereka di media umum.

5. Islam menggalakkan umatnya menyayangi binatang, tetapi melalui kaedah yg betul. Menyayangi anjing perlu dibatasi oleh hukum dan tidak boleh dijadikannya sebagai pet. Banyak lagi spesis binatang suci yg boleh dijadikan pet. Jika berpegang kpd mazhab Maliki sekalipun, tiada qawl dari mazhab itu yg mengharuskan anjing dibela sebagai pet. Malah tidak ada qawl dalam mana-mana mazhab dalam Islam harusnya membela anjing sbg pet. Jika sesiapa ingin melakukan ijtihad baru yg berbeza darinya, pastikan anda berkelayakan sebagai mujtahid dan ada kompetensi untuk berijtihad!

6. Membela anjing sbg pet bukan tradisi Islam dan bukan budaya Melayu. Umat Melayu Islam secara tuntasnya tidak boleh menerima anjing sbg pet. Tradisi dan budaya ini diterima sebagai suatu nilai yg sakral oleh umat Islam Malaysia. Budaya ini menjadi uruf yg muktabar dan menjadi 'adah yg muhakkamah.

7. Jika ada bani Melayu yang mahu keluar dari tradisi ini kerana elemen rebel, liberal, raver, hipster, atau mengidolakan western culture sekalipun, maka hilanglah jatidirinya dan mereka perlu berhadapan dengan segala kemungkinan risiko perundangan atau cercaan dan nistaan yg tidak terkawal. Jika kerana jahil, belajarlah dengan guru yang muktabar. Jika tersilap, kembalilah ke dasar agama. Hukum berkaitan anjing dan babi termasuk perkara yang wajib diketahui oleh semua umat Islam (ما يعلم من الدين بالضرورة).

8. Provokasi terhadap nilai yg sudah bersemi sekian lama tidak membantu apa-apa dalam kemajuan tamadun sesebuah bangsa. Apa tujuan dan faedah provokasi sedemikian, hanya sekadar mahu meruntuhkan nilai suci agama dan budaya warisan bangsa.

9. Org mahu keluar dari tradisi dan budaya Melayu Islam perlu belajar lebih tentang kaitan nilai hukum agama dan budaya bangsa dan perlu menghadam fiqh budaya supaya akal mereka tidak direndahkan oleh nafsu dan budaya barat.

10. Jika ada bani Melayu yang kononnya melakukan ijtihad sendiri dengan melaungkan tiada larangan dalam Islam untuk membela anjing, babi dsb sebagai pet, tidak perlulah anda mempromosikan dan berkongsi video, foto dan idea songsang anda di laman sosial sehingga menimbulkan fitnah dan kekecohan. Jika yakin dengan “ijtihad” anda sendiri, amallah secara peribadi dan tidak perlulah kecoh-kecoh di media sosial. Apa tujuan anda berbuat demikian? Untuk populariti, untuk dikecam, untuk mempromosi budaya baru yang menyanggah agama dan budaya atau untuk apa? Apa yang kita lakukan buatlah atas dasar ilmu dan panduan syariat yang jelas. Jangan kerana terikut dengan runtunan nafsu, kita melicikkan akal untuk menjustifikasikannya lalu meruntuhkan prinsip agama.

Allah al-Musta’an

DSM
15 Syawal 1438

Terima kasih sudi baca walaupun agak panjang. Boleh share..

Muzakarah pengajian Maulana Hussein.

Maulana Hussien selalu berpesan, sesiapa yang mahir mengatakan hadis ini maudhuk, hadis ini dhaif.. hadis ini tak boleh amal..ketahuilah mereka yang mengatakan sebegini baru menyebut "kulit" kepada ilmu hadis.. bukan isi sebenar kepada ilmu hadis..

Pelajari ilmu hadis mengikut manhaj muhadisin..

Muzakarah pengajian Maulana Hussein.

1.Mengenai Imam Ibnu Jauzi.

-Beliau adalah pengarang kitab (الموضوعات). Iaitu kitab yang di dalamnya menghimpunkan hadis2 palsu. Sebenarnya Imam Ibnu Jauzi ini beliau adalah seorang ulama yang mahir di dalam ilmu hadis. Sekalipun demikian, beliau termasuk di kalangan ulama2 yang tersangat syadid ( من المتشددين) terhadap hadis2 Nabi S.A.W. Sehinggakan hadis2 yang pada hakikatnya adalah hadis hasan dan dhaif pun turut dikatogerikan maudhu' di sisi beliau. Maka dengan yang demikian itulah datang pula selepas daripada itu ulama yang bersederhana (من المعتدلين) terhadap hadis2 nabi iaitu Imam Ibnu Hajar dan Syeikh Zakaria al-Anshori yang meneliti dan menjawab terhadap kitab tersebut dengan mengatakan bukan semua hadis2 didalam kitab tersebut adalah maudhu' kesemuanya, bahkan ada sebahagiannya hasan, dhaif dan seumpamanya.

Ibnu al-Iraq juga mengkaji hadis2 yang telah di dikatogerikan sebagai palsu oleh Imam Ibnu al-Jauzi ini di dalam kitabnya itu. Ternyata di dalamnya ada hadis2 hasan, dhaif dan sebagainya. Maka beliau meneliti hadis2 maudhu di dalam kitab itu, sekiranya hadis itu disepakati oleh Muhaddisin sebagai maudu'. (Yakni bukanlah hanya maudhu' dari sebelah pihak Imam Ibnu al-Jauzi sahaja) barulah beliau akan mengatakan hadis ini adalah hadis maudhu'.

Kata Maulana: Imam Ibnu Jauzi ini bermazhab Hanbali, dan aqidahnya adalah aqidah Ahli Sunnah Waljamaah (iaitu bukanlah aqidah mujassimah). Dan di dalam dunia ini mazhab yang paling sikit pengikutnya adalah mazhab hanbali, yang hanya boleh kita mendapatinya di pendalaman benua2 afrika sahaja. Berbanding dgn mazhab2 lain seperti mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafie yang begitu ramai pengikutnya. Dahulu mazhab hanbali masih ramai pengikutnya, tetapi setelah zaman-berzaman datang sebahagian ulama hambali itu ada yang berfahaman mujassimah, maka ketika itulah semakin berkurang pengikut mazhab hanbali.

Kata Maulana lagi: Imam Ibnu al-Jauzi ini sekalipun beliau seorang yang sangat syadid di dalam hadis 2 nabi ini. Tetapi beliau beraqidah Ahli Sunnah Waljamaah (bukanlah beraqidah mujassimah). Puak2 wahabi ini suka ikut Imam Ibnu Jauzi di dalam hadis, tetapi tidak mahu ikut pula di dalam aqidah. Mereka ini mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian lainnya. Sekiranya mereka benar2 nak ikut Imam Ibnu al-Jauzi ini, ikutlah kesemua sekali. Tambah2 di dalam bab aqidah, bukan hanya di dalam hadis. KERANA HAKIKATNYA AQIDAH ITU ADALAH LEBIH PENTING DARIPADA PENGAJIAN HADIS. Mereka ini sebenarnya hanya mengikuti hawa nafsu. Sekiranya 99 peratus hadis jadi maudhu' maka mereka akan lebih seronok.

________________________________________________

2.Tentang perawi hadis.

-Di zaman ini ada sebahagian golongan manusia yang menganggap diri mereka adalah ahli hadis tetapi mereka tidak mahu untuk menerima perawi yang berfahaman salah seperti fahaman syiah, murjiah dan sebagainya. Contoh yang boleh diberikan adalah seperti seorang perawi yang bernama Muhammad bin Ishak. Ada sebahagian orang menganggapnya berfahaman syiah, maka mereka isytiharkan supaya tidak boleh menerima hadis yg diriwayatkan oleh beliau. SEBENARNYA APA YANG DISEBUTKAN ITU ADALAH BETUL, CUMA PENJELASAN YANG SEDEMIKIAN RUPA TIDAK LENGKAP DAN AKAN MENIMBULKAN MASAALAH. Ada seorang perawi yang bernama Abu Muawiyah, beliau ini disifatkan oleh sebahagian Muhaddisin dengan mardud, tidak siqah,bukan Ahli Sunnah, dan ada pula yang menyifatkannya dengan ketua bagi golongan Murjiah (رإيس المرجأة). Tetapi di dalam Saheh Al-Bukhari, Imam Al-Bukhari juga dengan bangganya meriwayatkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Muawiyah ini. Dengan sanadnya yang berbunyi (عن ابي معاوية عن هشام عن عروة). Begitulah juga di dalam Saheh Muslim. Imam Muslim pun banyak meriwayatkan hadis2 daripada beliau. Begitulah juga para perawi yang disebutan dengan gelaran (متكلم فيه أو مختلف فيه ). Maka bukan mudah2 untuk kita menolak mereka. Contohnya ada seorang perawi yang dibincang/dipertikaikan dari sudut hafalannya seperti seorang perawi yang bernama Abdullah bin Muhammad bin Aqil. Beliau ini termasuk perawi yang digelarkan padanya dengan المتكلم فيه. Walaupun beliau siqah, tetapi hafalannya ada sedikit masaalah. Sekalipun demikian, jumhur Muhaddisin termasuk Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim tetap menerima riwayat daripadanya dan perawi yang seangkatan dengannya. Buktinya di dalam Saheh al-Bukhari ada 480 orang perawi, dan 80 orang daripadanya adalah perawi yang dikatogerikan sebagai (المتكلم فيه). Begitulah juga di dalam Saheh Mulim ada 620 orang perawi, dan 160 orang dari kalangan mereka adalah para perawi (المتكلم فيه). Maka dengan itu janganlah mudah2 kita menolak hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang kurang ingatan dan sebagainya. Maka inilah manhaj yang diajarkan Muhaddisin kepada kita.Adakah kita ingin mengatakan bahawa Imam2 Hadis ini telah melakukan perkara yang salah? Lalu kita mahu disingkirkan sahaja?

Kata Maulana: Sekiranya kita mahu mengambil kaedah daripada Muhaddisin. Hendaklah mengambil kesemuanya. Janganlah kita mengambil sebahagian dan menolak sebahagian yang lainnya seperti mengatakan hadis2 dhaif tidak boleh diamalkan. Kerana itulah sekiranya perawi itu salah dari sudut aqidah sekalipun, seperti berfahaman syiah dan sebagainya, tetap juga kita tidak boleh sewenangnya2 menolak mereka. Kerana itu para Muhaddisin mengajarkan bahawa kita boleh menerima hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang dikatogerikan sebagai golongan yang sering melakukan perkara bid'ah dan bermasaalah pada aqidah ini dengan 4 Syarat.

Pertama: Aqidah perawi tersebut tidak sampai kepada tahap syirik dan kufur. Maka Muhammad bin Ishak misalnya walaupun beliau dikatakan cenderung kepada fahaman syiah, tetapi beliau tidaklah sampai menafikan kenabian Nabi Muhammad S.A.W seperti sebahagian puak2 syiah yang mengatakan bahawa Malaikat Jibril sebenarnya silap menghantarkan wahyu kepada Nabi Muhammad, sepatutnya dihantarkan kepada Sayidina Ali. Maka golongan Syiah yang berpegang dengan pegangan seperti ini tidak syak lagi mereka terkeluar daripada islam kerana menafikan nubuwwah Nabi S.A.W. Adapun perawi yang berfahaman murjiah seperti Abu Muawiyah. Yang mereka menganggap bahawa siapa sahaja yang mengucapkan لا إله إلا الله akan masuk ke dalam syurga sekalipun tidak melakukan apa2 amalan. Seperti mana seseorang itu tidak akan masuk ke dalam syurga kerana ada sedikit kekufuran di dalam hatinya. Maka begitulah juga seseorang itu akan masuk ke dalam syurga dengan hanya mengucapkan لا إله إلا الله . Di sisi Ahli Sunnah golongan murjiah ini tidaklah sampai kepada tahap syirik dan kufur. Tetapi mereka ini layak disifatkan dengan golongan yang mentafsirkan hadis Nabi secara salah. Kesimpulannya sekalipun mereka ini bermasaalah dari sudut aqidah, tetapi tidaklah aqidah mereka sampai kepada tahap kufur dan syirik. Maka riwayat daripada mereka diterima oleh Imam2 hadis.

Kedua: Mestilah perawi tersebut siqah (الثقة). Yakni menjauhkan diri dari dosa2 kecil dan kefasikkan.

Ketiga: Tidak ada unsur2 di dalam meriwayatkan hadis tersebut untuk menarik kepada fahamannya.

Keempat: Hadis tersebut mestilah tidak bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Apabila ada keempat2 syarat ini berulah para Muhaddisin menerima riwayat hadis yang diriwayatkan oleh mereka. Kerana itulah sekalipun perawi yang bernama Abu Muawiyah itu digelarkan sebagai mardud, tidak siqah, bukan Ahli Sunnah hatta sebahagian Muhaddisin menggelarkannya dengan gelaran  (رإيس المرجأة). Tetap juga Imam al-Bukhari dan Imam Muslin dan lain2nya menerima riwayat daripadanya. Jawapannya kerana beliau adalah seorang perawi yang menepati 4 syarat di atas.

Pesan Maulana: Inilah pandangan yang diajarkan oleh para Ulama yang hidup di zaman sebaik2 kurun (خير القرون). Adapun pandangan mereka yang hidup pada seburuk2 kurun (شر القرون) ini mereka menolak semua hadis yang diriwayatkan oleh para perawi yang lemah ingatan. Maka Hendaklah kita memilih sama ada nak kita nak ikut sebaik2 kurun ataupun seburuk2 kurun. JANGALAH KITA MENUNJUKKAN BAHAWA KITA LEBIH PANDAI DARIPADA IMAM AL-BUKHARI.

Maulana pesan: Bilamana orang dah mula pertikai Kitab Hadis Saheh Al-Bukhari dan Muslim, maka dia akan membawa kepada HILANGNYA KEPERCAYAAN KEPADA HADIS NABI. Maka yang demikian itu sedikit demi sedikit aka membawa kepada KELUAR DARIPADA ISLAM.  نعوذ بالله من ذلك

________________________________________________

3.Tentang kitab2 hadis seperti Sunan al-Tirmizi dan sebagainya.

-Ada sebahagian manusia yang suka mempertikai. Dia berani mempertikaikan Imam al-Tirmizi dengan mengatakan bahawa Imam al-Tirmizi ini tidak pandai mengumpulkan hadis2. Kerana kata mereka beliau bukan sahaja mengumpulkan hadis2 sebaliknya mencampur adukkan sekali dengan pandangan ulama2 besar dan sebagainya.

Maka jawab Maulana: Kalaulah apa yang dilakukan oleh Imam al-Tirmizi itu tidak betul sudah tentu beliau akan ditegur oleh Imam al-Bukhari, iaitu guru beliau sendiri. Sebenarnya di dalam Shaheh Al-Bukhari pun Imam Al-Bukhari juga memasukkan pandangan2 para tabiein seperti Imam Hasan Al-Basri dan sebagainya di samping beliau mengumpulkan hadis2 di dalam kitab beliau. Tujuan sebenar Imam al-Tirmizi membukukan kitab (سنن الترمذي) ini adalah untuk menjelaskan mazhab2 (بيان المذاهب). Bukanlah semata2 menghimpunkan hadis sahaja. Kerana itulah beliau memasukkan di dalam kitab beliau pandangan ulama2 muktabar, khususnya Imam2 mazhab.

-Adapun Imam al-Bukhari pula menghimpunkan hadis2 di dalam صحيح البخاري tujuannya adalah untuk mengijtihad hukum. Bukanlah semata2 nak himpunkan. Kerana itulah kita dapati di dalam Saheh Al-Bukhari ini terhadap hadis yang pendek2. Adapun hadis yang pendek2 yang dimasukkan di dalam Saheh Al-Bukhari ini dinamakan sebagai تقطيع.

-Adapun Imam Muslim membukukan Kitab (صحيح مسلم) ini adalah tujuannya ingin mengumpulkan hadis 2 yang sama di dalam sanad yang pelbagai.

-Adapun Imam Abu Daud membukukan kitab سنن أبي داود ini tujuannya adalah untuk menghimpunkan hadis2 yang menjadi dalil bagi Imam2 Mazhab. Tidak kiralah hadis itu dhaif hasan dan sebagainya.

-Adapun Imam al-Nasaie pula membukukan kitab سنن النسائي ini tujuannnya adalah بيان العلة.

Begitulah seterusnya. Setiap Ulama hadis ini ada manhaj dan tujuannya di dalam membukukan sesebuah kitab. Janganlah kita jangan memandai2 di dalam mempertikai para Ulama ini. Ukurlah diri kita ini betapa jauhnya daripada mereka.

Al-Faqir Amidi Syeikh Muhd Zainul Asri
Kompleks Wadi Muhammady,
Mujamma Darul Hadis,
Kuala Nerang, Kedah.
30/10/16.

Website :
http://www.darulhadis.edu.my

Page :
http://bit.ly/islamedu