Rabu

Maksud Wali Allah....


Soalan
Dato’, selalu kedengaran orang menyebut perkataan waliullah, tok wali ataupun orang tertentu yang digelar wali Allah. Siapakah mereka itu sebenarnya, dan apakah di zaman kita ini ada wali-wali Allah yang disebutkan?
ABU HUZAIFAH
Kuala Lumpur
Wali adalah perkataan mufrat ataupun singular, kata prural atau jamaknya adalah auliya’. Makna asal perkataan ini ada berbagai-bagai, di antaranya bermakna ‘amat hampir’. Wali Allah maknanya orang yang benar-benar hampir dengan Allah SWT.
Orang ini ialah insan yang amat memahami dan mentaati perintah Allah dalam semua keadaan dan menjauhi larangan Allah dalam semua hal. Istilah wali berlawanan dengan istilah ‘adaawah’ yang beerti bermusuh.
Orang yang hampir kepada Allah dipanggil wali, orang yang bermusuh dengan Allah digelar ‘aduu. Musuh Allah ialah orang yang melawan hukum, perintah dan menderhakai Allah sedangkan wali adalah orang yang paling taat kepada Allah.
Waliullah memang wujud dari dahulu hingga sekarang. Al-Quranul Karim, menyebut (mafhumnya):
“Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada ketakutan ke atas mereka dan tidak pula mereka itu berdukacita.
“Wali-wali Allah itu (adalah) orang yang sungguh-sungguh beriman kepada Allah dan mereka bertaqwa kepada Allah SWT. (Surah Yunus, ayat 62 dan 63 ).
Dalam tafsir yang muktabar seperi Tafsir al-Qurtubi dan Tafsir al-Maraaghi, ketika menghuraikan ayat ini menyebut bahawa wali-wali Allah adalah orang-orang yang ikhlas mematuhi perintah Allah dan berserah diri kepadanya, tanpa mensyirikkannya tanpa sesuatu apapun. Mereka mengasihi-Nya dengan sebenar-benar kasih dan mentaati-Nya dengan sepenuh ketaatan.
Ali bin Abi Talib (karammallahu wajhah), bersabit dengan ayat di atas menyebutkan, “Wali-wali Allah adalah orang yang kelihatan pucat-pucat muka mereka kerana banyak beribadat, mata-mata mereka kuyu dan layu kerana banyak berjaga malam untuk beribadah, perut-perut mereka cerut dan kempis kerana banyak berpuasa dan kurang makan.” Itulah gambaran waliullah oleh Ali.
Merujuk kepada ayat ini, Umar bin al-Khattab (r.a) pernah berkata, “Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, ‘ada di antara manusia, adalah menjadi hamba-hamba-Nya yang sebenar. Mereka bukan para Nabi dan bukan juga para Syuhada, tetapi amat disegani oleh para Nabi dan Syuhada di hari Kiamat kerana makam mereka amat istimewa disisi Allah pada hari tersebut.
“Lalu ditanya kepada Rasulullah s.a.w siapakah mereka dan apa amalan mereka, semoga kami boleh mencontohi dan mengasihi mereka, lalu Rasulullah bersabda, ‘mereka adalah kaum yang berkasih sayang kerana Allah, tanpa ada hubungan darah dan harta benda yang mengikat mereka, muka mereka bercahaya indah dalam kilauan cahaya dalam cahaya, mereka tidak takut ketika sekelian insan takut dengan azab Allah, mereka tidak berdukacita ketika insan sekelian berdukacita kerana takut kemurkaan Allah SWT.” Lalu Nabi membaca dua-dua ayat dari Surah Yunus tadi.
Itulah gambaran waliullah yang disebut banyak kali oleh al-Quran. Dalam hadis yang sahih, Nabi pernah menyebut perkataan wali dengan jelas yang mafhumnya, “Barangsiapa yang memusuhi wali-wali aku, maka sesungguhnya dia mengisytiharkan perang dengan aku dan aku benarkan wali aku memerangi mereka. (Hadis Qudsi).
Waliullah, disemuapakati oleh ilmuan Islam yang terbilang, terdiri dari para Rasul (tanpa khilaf), kerana merekalah yang paling hampir kepada Allah, paling cinta dan mematuhi perintah Allah. Wailullah adalah orang yang makam mereka amat tinggi disisi Allah. Mereka disebut sebagai muqarrabuun.
Firman Allah (mafhumnya), ” Dan orang-orang paling dahulu beriman, mereka yang paling dahulu masuk syurga. Mereka itulah yang paling tinggi makamnya (disisi Allah). Mereka di tempatkan di syurga-syurga yang penuh dengan kenikmatan. Dahulunya berbondong-bondong begitu ramah. Dan yang mutakhir ini amat berkurangan.”
(Surah al-Waqiah ayat 10-14).
Maksud muqarrabuun adalah orang-orang yang berlumba-lumba melakukan kebaikan di atas perintah Allah SWT, mereka itulah auliya Allah. Mereka wujud dari dahulu hingga sekarang. Dahulunya ramai,. sekarang ini amat berkurangan.
Apa yang penting, waliullah adalah orang yang amat istimewa disisi Allah SWT.

Khamis

5 PERKARA AKAN DITANYA DI AKHIRAT


5 PERKARA AKAN DITANYA DI AKHIRAT


images (1)
قالَ رسولُ اللهِ صلى اللهُ عليهِ وسلمَ: “لا تزولُ قَدَمَا عَبْدٍ يومَ القيامةِ حتى يُسألَ عنْ أربع ٍ عنْ عُمُرِهِ فيما أفناهُ وعنْ جسدِه فيما أبْلاهُ وعنْ مالهِ مِنْ أيْنَ أخذهُ وفيما أنْفَقَهُ وعنْ عِلمِهِ ماذا عَمِلَ بهِ”.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud ; (Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat di hadapan ALLAH sehingga disoal tentang lima perkara; tentang umurnya, waktu mudanya,dan hartanya daripada mana ia dapat dan bagaimana membelanjakannya, dan apa yang dia amalkan daripada ilmunya).( Riwayat  Ibnu Hibban & Tarmizi )
ULASAN HADIS :
  1. Sebagai makhluk terbaik yang diciptakan oleh ALLAH, manusia dikurniakan akal budi, boleh berfikir dan menentukan sesuatu yang terbaik. Kehidupan manusia merupakan anugerah yang tidak ternilai daripada ALLAH di muka bumi ini. Kita makhluk yang sempurna serta mampu menguruskan kehidupan menggunakan akal fikiran yang dikurniakan. Namun masih ada yang lupa dan leka.
  2. Maka hidup dan pekerjaan yang dilakukan semuanya berdasarkan apa yang dikehendaki semasa hayat kita. Untuk memperolehi semua itu, manusia terpaksa sentiasa berlumba dalam kehidupan dengan orang lain yang menyebabkan kita kadang-kadang terpaksa mengetepikan soal halal haram, yang boleh dan tidak boleh.
  3. Kita bekerja seharian, bertungkus-lumus, keluar pada waktu pagi dan pulang pada sebelah petang. Untuk apa kita bekerja hingga sebegitu rupa. Sehinggakan ada kalanya kita bekerja seolah-olah tidak cukup siang, sehinggakan waktu rehat pada malamnya dikorbankan, semata-mata untuk bekerja. Sedangkan aturan dan panduan hidup yang telah digariskan oleh ALLAH tidak begitu.
  4. Oleh yang demikian sekiranya apa yang diusahakan di dunia ini kita belanjakan dan kita gunakannya untuk tujuan kebaikan serta mendapat keredhaan ALLAH, maka itulah jawabannya.
    Mungkin ada yang mempunyai rumah besar dan mewah yang digunakan untuk memberi perlindungan kepada anak-anak dan isteri. Di dalam rumah itu pula dipenuhi dengan amalan yang baik seperti membaca Al-Quran dan bukannya kegiatan maksiat parti arak dan tari-menari.
  5. Apakah masih belum kita temui pencarian kita di dunia ini? Dunia hanyalah tempat persinggahan untuk menambahkan bekalan bagi meneruskan perjalanan yang masih jauh iaitu ke akhirat.
    Justeru kita mencari bekalan yang memungkinkan kita sampai ke akhirat dengan baik dan dapat kita “membeli” keadaan yang baik, mewah dan sempurna di akhirat.
  6. ALLAH tidak akan membiarkan kaki kita berganjak di akhirat nanti sehinggalah ditanyakan tentang lima perkara yang disebut di dalam hadis di atas. Fikir-fikirkanlah bagaimanakah cara kita menggunakan 5 perkara tersebut?. WALLAHU’ALAM